NAFKAH ISTERI
Perkahwinan itu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia membawa kepada ketenteraman jiwa, menahan emosi, menutup pandangan dari segala yang dilarang dan untuk mendapatkan kasih sayang suami isteri yang dihalalkan.
Perkahwinan juga dapat menjalin ikatan kekeluargaan di antara keluarga suami dengan keluarga isterinya, iaitu memperkuat ikatan kasih sayang sesama mereka. Keadaan ini setentunya memberi sumbangan kepada kekukuhan keluarga dan masyarakat. Disamping itu perkahwinan juga berfungsi untuk mengembangkan keturunan.
Perkahwinan itu bererti tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh suami dan isteri. Antara tanggungjawab atau kewajipan suami terhadap isteri dan orang-orang yang di bawah tanggungannya adalah memberikan nafkah. Nafkah itu meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kewajipan memberi nafkah timbul kerana ikatan pernikahan iaitu suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Manakala jumlah nafkah yang wajib diberikan adalah mengikut kemampuan dan kebiasaan setempat.
Pengertian Nafkah
Nafkah ialah penunaian belanja daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya. (An-Nawawi: Raudah At-Talibin 6/449 & Al-Mawardi: An-Nafakat 29)
Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
Tafsirnya: "Dan kewajipan bapa (suami) pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (isteri) menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya".
(Surah Al-Baqarah: 233)
Menurut tafsir Al-Mawardi bahawa maksud "al-maulud" dalam ayat di atas ialah bapa, "ar-rizq" maksudnya makanan secukupnya, "kiswah" ertinya pakaian. Manakala perkataan "al-ma‘ruf" ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan. (Tafsir Al-Mawardi: 1/300 & Al-Qurtubi: 2/845)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai seorang suami dan bapa yang menjadi contoh tauladan kepada umat manusia juga telah mengingatkan tentang kewajipan nafkah di dalam khutbah Baginda ketika menunaikan haji wada‘ yang maksudnya :
"Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang tidak engkau sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukainya. Mereka berhak atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik".
(Hadis riwayat Muslim)
Pembahagian Nafkah
Ulama membahagikan nafkah kepada dua bahagian iaitu nafkah diri sendiri dan nafkah terhadap orang lain. Dalam hal ini, seseorang hendaklah mendahulukan nafkah untuk dirinya daripada nafkah kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
"Mulailah dengan dirimu, maka sedekahkanlah jika ada kelebihan kepada ahli keluargamu, dan jika mempunyai kelebihan daripadanya berikanlah kepada kerabatmu"
(Hadis riwayat Muslim)
Menurut jumhur ulama, kewajipan nafkah terhadap orang lain, terjadi disebabkan oleh tiga perkara iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). (Raudah At-Talibin: 6/449)
Syarat Untuk Mendapatkan Nafkah
Apabila berlaku suatu akad nikah dengan memenuhi rukun dan syaratnya, maka seorang isteri dengan sebab adanya akad nikah itu, menjadikan dia terikat oleh suaminya, dia berada di bawah kekuasaan suaminya dan suami pula berhak menikmati dirinya. Si isteri wajib taat kepada suaminya, tinggal di rumah yang telah disediakan oleh suaminya, bertanggungjawab mengatur rumahtangga suami, mengasuh anak dan sebagainya.
Agama Islam telah menetapkan kepada suami supaya memberikan nafkah kepada isterinya selama perkahwinan itu berterusan. Walau bagaimanapun bagi mendapatkan nafkah tersebut, seorang isteri hendaklah memenuhi beberapa syarat. Apabila syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi maka seorang isteri itu tidak berhak menerima nafkah dari suaminya. Dalam kitab Al-Majmuk (19/344) Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
i. Akad yang sah.
ii. Perempuan itu sudah menyerahkan dirinya kepada suaminya.
iii. Isterinya tidak keberatan untuk pindah ke rumah (suami) apabila suami menghendakinya.
Khusus mengenai kewajipan nafkah ke atas isteri adalah bersandarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuanya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan oleh Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan oleh Allah".
(Surah At-Thalaq:7)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengingatkan mengenai kewajipan nafkah terhadap isteri itu, sebagaimana khutbah Baginda dalam haji wada’ yang maksudnya :
"Ingat! Sesungguhnya kamu mempunyai hak terhadap isteri-isteri kamu, bagi isteri-isteri kamu juga mempunyai hak terhadap kamu. Adapun hak kamu terhadap isteri-isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan masuk ke tempat tidur kamu orang yang kamu tidak sukai dan mereka tidak membenarkan orang yang kamu tidak sukai masuk ke rumah kamu. Sesungguhnya hak-hak isteri terhadap kamu ialah berbuat baik terhadap mereka (dengan memberikan) pakaian dan makanan mereka".
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
Menurut As-Syeikh As-Syarbini bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara iaitu;
i. Makanan.
ii. Bahan-bahan seperti rempah-ratus (bawang, minyak masak, garam, gula, asam termasuk lauk-pauk dan sebagainya).
iii. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.
iv. Pakaian.
v. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya.
vi. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidor dan sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal (rumah). (Mughni Al-Muhtaj: 4/542 & Raudah At-Talibin: 6/450-461)
Maka penjelasan berikutnya hanya tertumpu kepada penjelasan mengenai nafkah makanan, pakaian, pembantu dan tempat tinggal sahaja.
No comments:
Post a Comment