..::AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKUM::..

ASSALAMU'ALAIKUM & SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN.

..::MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM::..



MUAT TURUN MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM :
MUSHAF AL-QURAN TAJWID BESERTA TERJEMAHAN DALAM BAHASA MALAYSIA

YA ALLAH YA TUHAN KAMI, SAMPAIKANLAH KAMI KE BULAN RAMADHAN TAHUN 1443H

..::GALERI ALBUM PANITIA BAHASA ARAB SKBLM::..

                                                                                                                                                                                                                   

PENDEKATAN BEYBLADE BURST TARIK MINAT MURID SEKOLAH RENDAH PELAJARI BAHASA ARAB DENGAN LEBIH SANTAI, SERONOK DAN TERHIBUR



HARIAN METRO ONLINE :
BEYBLADE BURST LONJAK SEMANGAT BELAJAR MURID DALAM MATA PELAJARAN BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH
SEMINAR PINTAR BESTARI BAHASA ARAB 2022
BERSAMA DR. ABD RAZAK ABU CHIK (DR. ARABIC) KHUSUS UNTUK MURID SKBLM

.::(SABTU, 6 OGOS 2022)::.

.::BERSAMA MEMARTABAT & MEMPERKASAKAN BAHASA AL-QURAN.::.

..::MAKLUMAN TERKINI::..

Blog ini telah dikemaskini pada 16 April 2022.


.::Aktiviti Panitia Bahasa Arab SK Bandar Laguna Merbok Tahun 2022::.

Seminar Pintar Bestari Bahasa Arab 2022 Bersama Dr. Arabic.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 6 Ogos 2022.
Masa : 8.00 Pagi - 1.00 Tengah Hari.

Tempat :
Dewan Serbaguna SK Bandar Laguna Merbok.


Majlis Pelancaran Minggu Bahasa Arab Peringkat Sekolah Tahun 2022.

Hari : Ahad.
Tarikh : 23 Oktober 2022.
Masa : 7.45 Pagi - 8.15 Pagi.
Tempat : Dataran Perhimpunan SK Bandar Laguna Merbok.


Bengkel Digital Classroom Panitia Pendidikan Islam/Bahasa Arab SKBLM Tahun 2022.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 5 November 2022.
Masa : 8.30 Pagi - 12.30 Tengah Hari.
Tempat : Bilik Bestari j-QAF SK Bandar Laguna Merbok.


Klik sini :
Telegram Rasmi Ustaz Syahmi Beyblade (USB)


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Pendidikan Islam


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Bahasa Arab

PENGUNJUNG SETIA BLOG RASMI MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN (GBA SK LAGUNA MERBOK)

28 September 2008

TAKBIR RAYA


TAKBIR RAYA

HARI RAYA 'AIDILFITHRI


HARI RAYA 'AIDIL FITHRI



Definisi `Ied Al-Fithri


Secara bahasa `Ied adalah sesuatu yang berlaku secara berulang-ulang atau suatu hari yang terjadi perkumpulan. Menurut Ibnul `Arabirahimahullah: Hari raya disebut `Ied, kerana hari itu kembali muncul setiap tahun dan membawa kegembiraan baru. - Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari (edisi terjemahan oleh M. Abdul Ghoffar E.M., Pustaka Imam Asy-Syafi'i, Jakarta 2005), ms. 11.


Fithri atau fitrah pula bermaksud sediakala atau sifat asal. Justeru itu Hari Raya `Ied al-Fithri adalah salah satu dari hari kebesaran umat Islam yang disambut pada tanggal 1 Syawal setiap tahun bagi menyambut kejayaan umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadah sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak dan kembali kepada fitrah iaitu sifat asal manusia yang dibenarkan makan dan minum sepanjang hari. Menurut al-`Allamah Ibnu `Abidin rahimahullah:


Disebut `Ied, kerana pada hari itu Allah Ta'ala memiliki berbagai macam kebaikan yang akan kembali kepada hamba-hambaNya setiap hari, yang di antaranya (tidak berpuasa) setelah adanya larangan makan dan minum (pada bulan Ramadan), zakat fitrah, … Dan kerana kebiasaan yang berlaku pada hari tersebut adalah kegembiraan, kebahagiaan, keceriaan dan hubur (kenikmatan). - Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 11.


Dalil disyari'atkan `Ied al-Fithri sebagai hari kebesaran bagi umat Islam adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik radhiallahu 'anh, dia berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya `Ied al-Adha dan `Ied al-Fithri." - Hadis riwayat Imam al-Nasa'i, di dalam Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Sholah, hadis no: 959


Amalan-Amalan Yang Disunnahkan Pada Hari Raya `Ied Al-Fithri


Bertakbir


Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena `Ied al-Fithri merupakan suatu amalan yang disyari'atkan. Ini sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. - al-Baqarah (2) : 185


Tentang jangka masa untuk bertakbir Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah berkata: Takbir pada hari `Ied al-Fithri dimulai ketika terlihatnya hilal (anak bulan), dan berakhir dengan selesainya `Ied iaitu ketika imam selesai dari khutbah, (demikian) menurut pandangan yang benar. - Majmu' Fatawa, jilid 24 ms. 220 dan 221. Penulis nukil daripada artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S yang diterbitkan oleh Majalah As-Sunnah Edisi 07/VIII/1425H/2004M, ms. 39.


Perihal lafaz takbir raya maka terdapat beberapa riwayat dari para sahabat radhiallahu 'anhum yang di antaranya adalah:


• Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anh pernah mengucapkan:


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa ilaha illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahilhamd. (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang berhak diibadahi kecuali hanya Allah semata, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah). - Hadis riwayat Imam Ibnu Abu Syaibah di dalam Mushannaf, hadis no: 5649.


• Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh pernah mengucapkan:


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahilhamd, Allahu Akbar wa A-khallu, Allahu Akbar `alaa maa hadaana. (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar segala puji hanya bagi Allah, Allah Maha Besar lagi Maha Agung, Allah Maha Besar di atas petunjuk yang telah diberikan kepada kita). - riwayat Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra (III/315)


• Salman al-Farisi radhiallahu 'anh pula berkata:


Agungkanlah Allah dengan menyebut Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Kabira (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar). - Hadis riwayat Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra (III/316)


Ketika dalam perjalan ke tempat solat `Ied, disunnahkan juga untuk kita bertakbir sehinggalah apabila solat akan didirikan. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani rahimahullah: … disyari'atkan apa yang dikerjakan oleh kaum Muslimin berupa takbir dengan suara lantang selama di dalam perjalanan menuju tempat perlaksanaan solat (musholla), meskipun banyak dari mereka mulai meremehkan sunnah ini. - Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32.


Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah untuk menyerlahkan syi'ar Islam di seluruh perjalanan yang ditempuhi untuk menuju ke tempat solat. Syaikh Wahid Abdussalam Bali telah berkata:


…setiap muslim bertakbir sejak keluar dari rumahnya sehingga sampai ke tempat solat, dengan mengeraskan suaranya, sebagai memaklumkan syi'ar Islam yang agung ini.


Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. - al-Hajj (22) : 32


Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dengan sanad sahih dari al-Zuhri rahimahullah: Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri dengan bertakbir hingga sampai di tempat solat. - Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya (edisi terjemahan oleh Ahmad Syaikhu, Darul Haq, Jakarta 2005), ms. 415-416.


Tentang tatacara takbir yakni dengan suara yang kuat, maka ianya tidak berbeza antara `Ied al-Fithri atau `Ied al-Adha (Hari Raya Haji). Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah: Sa'id bin Manshur meriwayatkan dengan sanad yang maushul (sanadnya bersambung sampai kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam), dari Ubaid bin Umair, dia berkata: "Bahawa `Umar ketika sedang berada di dalam khemahnya di Mina selalu mengumandangkan takbir, begitu pula dengan orang-orang yang berada di dalam masjid dan orang-orang yang berada di pasar, hingga kota Mina bergemuruh dengan suara takbir." - Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Tahqiq Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, (Edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta 2004) Jilid 5, ms. 315. Selepas ini kitab ini hanya akan disebut sebagai Fathul Baari sahaja.


Ada pun cara bertakbir, maka ia adalah umum sebagaimana keumuman dalil yang menganjurkannya. Oleh itu bertakbir boleh secara bersendirian atau berkumpulan, sama ada secara serentak atau dipimpin oleh seseorang. Semuanya bergantung kepada suasana ketika sedang bertakbir. Yang dilarang adalah menetap atau mengkhususkan cara bertakbir kepada satu cara sahaja sehingga orang ramai menganggap ia adalah satu-satunya cara untuk bertakbir.


Ada pun lafaz takbir yang pelbagai pada masa kini, yang lebih utama adalah lafaz takbir yang diriwayatkan daripada para sahabat sebagaimana yang dikemukakan di atas. Sekali pun dalam riwayat-riwayat tersebut tidak dinyatakan bahawa ia berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dalam kaedah usul fiqh sedia diterangkan bahawa perbuatan sahabat dalam ibadah memiliki nilai marfu', iaitu berasal daripada Rasulullah, sekali pun mereka tidak menyandarkan secara jelas kepada baginda.


Mandi Di Pagi `Ied


Adalah disunnahkan untuk mandi di pagi Hari Raya iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat `Ied al-Fithri. Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah: Baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) mandi sebelum berangkat mengerjakan solat `Ied. - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtasar Zaadul Ma'ad Bekal Menuju Ke Akherat, (edisi terjemahan oleh Kathur Suhardi, Pustaka Azzam, Jakarta 1999), ms. 48. Di mukasurat seterusnya kitab ini hanya akan disebut sebagai Zaadul Ma'ad sahaja.


Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh pernah ditanya tentang mandi; apakah perlu mandi setiap hari? Maka beliau menjawab: Tidak perlu. Namun, yang perlu mandi ialah pada hari Jumaat, hari `Arafah, hari `Ied al-Adha dan `Ied al-Fithri. - Hadis riwayat Imam al-Syafi'i di dalam Musnad al-Syafi'i, I/118-119


Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah pula di dalam kitab Majmu'nya (jilid 1, ms. 7): Imam al-Syafi'i dan rakan-rakannya mengatakan: "Untuk melaksanakan solat `Ied al-Fithri dan `Ied al-Adha dianjurkan mandi. Tidak ada perbezaan pendapat di dalam masalah ini." - Dinukil dari artikel karangan Abu Ihsan al-Atsari bertajuk Mendulang Sunnah Nabi Pada Hari Raya `Iedul Fitri yang diterbitkan oleh majalah As-Sunnah, edisi 08/VII/1424H/2003M, ms. 23.


Tatacara mandi sunat di pagi Hari Raya ini adalah sama dengan tatacara mandi wajib (janabah).


Makan Sebelum Solat `Ied Al-Fithri


Adalah disunnahkan untuk menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan Solat `Ied al-Fithri. Ini bertujuan untuk menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari `Ied. Menurut al-Muhallab rahimahullah: Adapun hikmah makan sebelum solat `Ied adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia harus berpuasa sampai melaksanakan solat `Ied. Maka seakan-akan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ingin menutup prasangka semacam ini. - Dinukil dari Fathul Baari, jilid 5, ms. 272


Adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan kurma dalam jumlah yang ganjil di pagi `Ied. Dari Anas bin Malik (radhiallahu 'anh), dia berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak pergi (ke musholla) pada pagi `Ied al-Fithri hingga baginda makan beberapa buah kurma." Murajja' bin Raja' berkata: "'Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memakannya di dalam jumlah yang ganjil." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 953.


Memakai Pakaian Yang Indah


Adalah disunnahkan untuk kita menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada Hari Raya. Imam al-Syafi'i rahimahullah berkata: Saya lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dia miliki pada hari-hari raya iaitu hari Jumaat, dua hari raya (iatu `Ied al-Adha dan `Ied al-Fithri), dan tempat-tempat keramaian. Hendaklah dia memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian. - Imam al-Syafi'i, Ringkasan Kitab Al-Umm, jilid 1, ms. 327.


Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah berkata: Baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) mengenakan pakaian yang paling indah ketika keluar untuk solat `Ied. Bahkan baginda mempunyai pakaian khusus yang digunakan hanya untuk solat Jumaat dan `Ied. - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Za'adul Maad, ms. 48.


Berjalan Kaki Menuju Tempat Dikerjakan Solat `Ied


Adalah dianjurkan untuk berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat `Ied jika tidak memberatkan. Ini sebagaimana yang diwayatkan dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh: Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju tempat solat `Ied dan memakan sesuatu sebelum berangkat. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi di dalam Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Jamaah, hadis no: 487.


Imam al-Syafi'i rahimahullah juga menjelaskan di dalam kitab al-Umm:


Kami mendengar dari al-Zuhri bahawa dia berkata: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah naik kenderaan baik ketika solat `Ied ataupun solat jenazah." - Dinukil dari Fathul Baari, jilid 5, ms. 286.


Mengikuti Jalan Yang Berbeza Ketika Pergi Dan Kembali Dari Mengerjakan Solat `Ied


Disunnahkan bagi kita mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat `Ied. Jabir bin `Abdullah radhiallahu 'anh berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melalui jalan yang berbeza pada hari `Ied. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 986.


Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah berkata: Baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) selalu menempuh jalan yang berbeza ketika berangkat dan ketika pulang dari tempat solat `Ied. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui dua jalan tersebut. Ada pula yang berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada yang berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua jalan tersebut. Ada yang berpendapat untuk menampakkan syi'ar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih menepati kebenaran adalah agar perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, maka salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjatnya, sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya. - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Za'adul Maad, ms. 49.


Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah: Imam al-Syafi'i (rahimahullah) di dalam kitabnya al-Umm mengatakan bahawa seorang imam dan makmum disunnahkan untuk mengikuti jalan yang berbeza dengan jalan waktu pergi ketika pulang dari solat `Ied. Demikian juga pendapat majoriti pengikut mazhab Syafi'i. - Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.341.


Tempat Perlaksanaan Solat `Ied Adalah Di Musholla


Mengerjakan solat `Ied al-Fithri di musholla merupakan satu amalan yang hampir tidak dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil manusia yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Apakah itu musholla dan apakah perbezaanya dengan masjid? Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:


Adapun perbezaan di antara musholla dan masjid adalah bahawa musholla berada di tempat terbuka (seperti padang-pen) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin. Sedangkan masjid berada di dalam sebuah tempat (bangunan-pen) yang tertutup, sehingga terkadang seorang khatib hanya dapat melihat sebahagian sahaja para hadirin. Shalat `Ied disunnahkan untuk dilakukan di musholla, dan tidak dilakukan di masjid kecuali apabila di dalam keadaan darurat (seperti hujan, angin kencang dan lainnya-pen). - Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.282.


Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat `Ied di musholla adalah sebuah hadis dari Abu Sa'id al-Khudri (radhiallahu 'anh), dia berkata: Pada hari `Ied al-Fithri dan `Ied al-Adha, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat `Ied. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 956.


Ketahuilah bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah 1000 kali lebih baik dari bersolat di masjid-masjid lain. Ini sebagaimana sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam: Solat di masjidku ini (iaitu Masjid Nabawi) adalah lebih baik dari seribu kali solat di masjid lainnya kecuali Masjidil Haram (di Mekah al-Mukarramah). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jamaah, hadis no: 1190.


Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tetap memerintahkan para sahabat radhiallahu 'anhum untuk mendirikan solat `Ied al-Fithri di musholla. Ibnu Qudamah rahimahullah di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:


Mengerjakan solat `Ied di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa' al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat `Ied. - Penulis nukil dari artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S, ms. 40.


Tentang hikmah diselenggarakan solat `Ied di musholla, Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:


Sesungguhnya mengerjakan dua solat `Ied di tanah lapang (musholla) memiliki hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidaknya boleh berkumpul bersama dua kali selama setahun. Semua orang dari penjuru negeri berkumpul di sebuah tempat, baik lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (kalimat tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan demikian, Hari Raya benar-benar memiliki erti yang agung bagi mereka. - Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, Koreksi Total Ritual Shalat, (edisi terjemahan oleh W. Djunaedi S, Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms. 394.


Menurut Syaikh Wahid Abdussalam pula: Para ulama' telah mengemukakan sejumlah hikmahnya:


a) Berkumpulnya kaum muslimin di satu tempat untuk menampakkan kejayaan kaum muslimin.



b) Berkumpulnya kaum muslimin di tempat terbuka yang terlihat awal dan akhirnya disertai takbir dan tahlil, dapat menguatkan keimanan dan memantapkan keyakinan.



c) Keluarnya kaum muslimin di satu tempat, dewasa dan kanak-kanak, laki-laki dan perempuan, adalah salah satu fenomena kegembiraan pada Hari Raya.



d) Tercerai-berainya kaum muslimin di beberapa masjid pada hari yang diberkahi ini menyebabkan perselisihan hati dan tercerai-berainya kalimat.



e) Kaum muslimin memakai pakaian baru dan berkumpul di satu tempat dengan bertakbir, bertahlil, solat dan mendengarkan nasihat (khutbah), adalah salah satu bentuk rasa syukur kepada Allah, Rabb semesta Alam yang berfirman:



“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” - al-Baqarah (2) : 185



f) Berkumpulnya kaum muslimim di dalam pemandangan yang disegani ini dapat menggentarkan para musuh agama dan membuat marah kaum kafir. - Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 298-299.


Oleh itu sewajarnya umat Islam di Malaysia berusaha untuk mengembalikan pengamalan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang semakin dipinggirkan ini.


Namun begitu janganlah disebabkan di Malaysia Solat `Ied al-Fithri tidak dilaksanakan di musholla maka ada yang beranggapan tidak perlu untuk menunaikan solat tersebut kerana menghindari amalan bid'ah. Insya Allah penulis akan membahaskan hukum solat `Ied al-Fithri di dalam risalah ini. Menunaikan solat `Ied al-Fithri di masjid adalah diperbolehkan oleh Imam al-Syafi'i rahimahullah sekiranya masjid tersebut mampu menampung seluruh penduduk di daerah tersebut. Imam al-Syafi'i berkata:


Jika sesebuah masjid di dalam sebuah daerah dapat menampung seluruh penduduk, maka menurut saya mereka tidak perlu lagi pegi ke tanah lapang (untuk mengerjakan solat `Ied al-Fithri). Tetapi jika tidak dapat menampung seluruh penduduk, maka tidak dianjurkan melakukan solat `Ied di dalamnya. - Dinukil daripada Fathul Baari, jilid 5, ms. 283.


Dari fatwa Imam al-Syafi'i ini maka al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah membuat kesimpulan seperti berikut:


Dari sini dapat disimpulkan, bahawa permasalahan ini sangat bergantung kepada luas atau sempitnya sesuatu tempat, kerana diharapkan pada Hari Raya itu seluruh masyarakat dapat berkumpul di suatu tempat. Oleh kerana itu, jika hal itu dapat dilakukan di dalam masjid, maka melakukan solat `Ied di dalam masjid lebih utama daripada di tanah lapang. - al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 283.


Apa pun jua, mencontohi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah lebih utama kerana hadis-hadis baginda bersifat umum tanpa meletakkan sebarang syarat berkaitan keluasan atau kesempitan sesebuah masjid dalam menentukan tempat untuk di laksanakan solat `Ied al-Fithri. Wallahu'alam


Menunaikan Zakat Fitrah


Zakat Fitrah adalah sejenis zakat yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam yang merdeka, kanak-kanak mahupun dewasa, lelaki dan wanita. Zakat fitrah ini boleh dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan. Dari Ibnu `Umar radhiallahu 'anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah satu sha' kurma, atau satu sha' syair atas budak, orang yang merdeka, laki-laki, wanita, anak-anak dan orang tua di antara kaum muslimin, dan baginda memerintahkan agar (zakat tersebut) dikeluarkan sebelum manusia keluar untuk solat (`Ied al-Fithri). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat, hadis no: 1503



Satu sha' bersamaan dengan 2.5 sehingga 3 kilogram. Bagi kita di Malaysia majoriti berpendapat satu sha' adalah bersamaan dengan satu Gantang Baghdad iaitu 2.7 kilogram. Oleh itu bagi setiap ahli keluarga kadar zakat fitrahnya adalah 2.7 kilogram beras. Imam al-Syafi'i rahimahullah mewajibkan membayar zakat fitrah hanya dengan menggunakan makanan ruji (asas) sesebuah negara. Namun begitu Imam Abu Hanifah rahimahullah membenarkan makanan ruji tersebut digantikan dengan wang sebagai medium untuk membayar zakat. Wallahu'alam.



Bagi mereka yang membayar zakat fitrah setelah solat `Ied al-Fithri ia hanya akan dikira sebagai sedekah sahaja dan bukan zakat fitrah. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh dia berkata: Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat `Ied maka itulah zakat yang diterima, sedangkan barangsiapa yang menunaikannya sesudah solat maka itu dihitung sebagai sedekah daripada berbagai macam sedekah. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Zakat, hadis no: 1371.



Hikmahnya zakat fitrah ini adalah untuk membersihkan mereka yang berpuasa dari segala perkara yang menyebabkan ibadahnya menjadi kurang sempurna seperti melakukan perkara yang sia-sia dan mengucapkan perkataan yang tidak sewajarnya. Di samping itu di sebalik kemeriahan menyambut `Ied al-Fithri, Islam tetap menitik beratkan perihal orang miskin. Melalui zakat fitrah ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan miskin ketika menyambut Hari Raya `Ied al-Fithri dan membolehkan mereka bersama-sama umat Islam yang lain menyambut Hari Raya di dalam suasana yang menyenangkan. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh dia berkata:



Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menetapkan kewajipan zakat fitrah sebagai pembersih bagi orang-orang yang berpuasa dari kesia-sian dan perkataan kotor serta sebagai makanan untuk orang-orang miskin. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Zakat, hadis no: 1371.



Hukum Solat `Ied



Ulama' berbeza pendapat tentang hukum solat `Ied al-Fithri. Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia mereka berpegang kepada pendapat bahawa hukum solat `Ied adalah sunat mu'akkadah (yang dituntut). Ulama' yang berpegang kepada pendapat ini berpandangan bahawa dengan wujudnya hadis-hadis yang menyatakan solat yang hukumnya wajib hanyalah solat lima waktu membuktikan solat `Ied tidak termasuk di dalam kumpulan solat yang wajib. Antara hadis yang dijadikan pegangan mereka adalah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:



Ada lima solat yang diwajibkan Allah ke atas hamba-hamba-Nya. Maka siapa yang mengerjakannya dan tidak mengsia-siakan walau satu pun di antaranya disebabkan menganggap mudah, Allah berjanji akan memasukkanya ke dalam syurga. - Hadis riwayat Imam al-Nasa'i di dalam Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Sholah, hadis no: 457.



Namun ada juga sebahagian ulama' yang berpendapat Solat `Ied al-Fithri adalah fardhu `ain atau wajib. Mereka melihat kepada kesungguhan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam menganjurkan para sahabat radhiallahu 'anhum untuk mengerjakannya sebagai bukti kewajipannya. Malah baginda shallallahu 'alaihi wasallam sendiri tidak pernah gagal untuk mengerjakan solat `Ied. Baginda memerintahkan para wanita yang sedang haid untuk turut serta menghadirkan diri di musholla hanya untuk menyaksikan upacara solat `Ied tersebut. Bahkan bagi wanita yang tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat telah diperintahkan untuk dipinjamkan pakaian kepada mereka hanya semata-mata untuk turut serta di musholla.



Ummu `Athiyah radhiallahu 'anha telah berkata:



Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu `Aun berkata: "atau wanita-wanita pingitan," dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 981



Bagi wanita yang tidak memiliki pakaian sempurna untuk bersolat `Ied al-Fithri, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:



(Jika dia tidak mempunyai jilbab) hendaklah temannya meminjamkan jilbabnya, sehingga dia dapat menyaksikan kebaikan dan dakwah orang-orang mukmin. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 980.



Pandangan akan wajibnya solat `Ied al-Fitri ini diperkuatkan lagi dengan hakikat bahawa solat `Ied ini dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari yang sama. Hanya sesuatu yang wajib dapat mengugurkan kewajipan yang lain. – Inilah pendapat Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani rahimahullah di dalam Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, (edisi terjemahan oleh Afifuddin Said, Maktabah Salafy Press, Gajah Mada 2002) jilid 2, ms. 103.



Dalil yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya serentak dengan hari `Ied adalah:



Dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: "Aku pernah menyaksikan Mu'awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: "Apakah engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (hari `Ied dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari?" Dia menjawab: "Ya." Mu'awiyah bertanya: "Lalu apa yang baginda kerjakan?" Dia menjawab: "Baginda mengerjakan solat `Ied, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: "Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat." - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 904



Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu' Fatawa (jilid 23, ms. 161) berkata:… oleh kerana itu, kami mentarjih (menguatkan) bahawa solat `Ied itu wajib bagi setiap individu muslim, sebagaimana pendapat Abu Hanifah dan lain-lainnya. Dan ini merupakan salah satu pendapat al-Syafi'i, dan ia merupakan salah satu dari dua pendapat di dalam mazhab Ahmad.



Adapun pendapat mereka yang menyatakan tidak wajib maka ia benar-benar jauh (dari kebenaran), kerana ia termasuk salah satu syi'ar agama Islam yang paling agung. Dan orang-orang yang berkumpul untuk mengerjakannya lebih banyak dari solat Jumaat. Di dalamnya disyari'atkan bacaan takbir. Sedangkan pendapat orang yang menyatakan bahawa solat `Ied merupakan fardhu kifayah, sama sekali tidak kuat… - Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh

Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 47-48.



Apa pun jua pendapat yang dipegang sama ada wajib mahupun sunat mu'akkadah, ketahuilah bahawa baginda shallallahu 'alaihi wasallam amat menitik-beratkan agar kesemua umat Islam memenuhi musholla termasuk kaum wanita sebagaimana yang tercatat di dalam hadis-hadis di atas. Ini berbeza dengan amalan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang mana kaum wanita hanya ditinggalkan di rumah untuk menyiapkan apa-apa persediaan yang diperlukan di rumah sempena budaya rumah terbuka di hari Lebaran. Budaya sedemikian rupa perlu dikikis. Berusahalah untuk membawa seluruh isi keluarga untuk menghadirkan diri bagi mengerjakan solat `Ied al-Fithri. Setelah selesai solat `Ied boleh teruskan apa jua agenda yang berupaya menggembirakan keluarga anda asalkan tidak bertentangan dengan syari'at.



Tatacara Solat `Ied



Waktu untuk mengerjakan solat `Ied adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk dilewatkan solat `Ied agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya.



Tidak ada solat sunat sebelum dan sesudah Solat `Ied. Dari Ibnu `Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada `Ied al-Fithri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989.



Hanya sahaja di Malaysia ini solat `Ied dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyat al-Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari'atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyat al-Masjid. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:



Apabila salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sholah, hadis no: 444


• Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat `Ied. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh: Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakan solat `Ied tanpa azan dan tanpa iqamah. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 968.



Namun untuk kemaslahatan umum, dibolehkan membuat pengumuman ringkas untuk memberi tahu para hadirin bahawa solat `Ied berjamaah akan bermula, agar mereka dapat bangun dan mula menyusun saf, lebih-lebih di tempat solat yang luas dimana kedudukan imam tidak dapat dilihat.



Jumlah rakaat solat `Ied al-Fithri adalah dua. Dari bnu `Abbas radhiallahu 'anh dia berkata: Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada `Ied al-Fithri kemudian solat dua rakaat… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989.



• Terdapat tambahan takbir di dalam solat `Ied. Dari `Aisyah (radhiallahu 'anha), dia berkata: "Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat `Ied al-Fithri dan `Ied al-Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 970.



Ada pun tentang jumlah takbir secara keseluruhannya sebelum bacaan al-Fatihah, maka terdapat dua pendapat yang masyhur:



1. Untuk rakaat pertama lapan takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan tujuh takbir kerana solat `Ied. 1 + 7 = 8. Untuk rakaat kedua enam takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan lima takbir kerana solat `Ied. 1 + 5 = 6.



2. Untuk rakaat pertama tujuh takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan enam takbir solat `Ied. 1 + 6 = 7. Untuk rakaat kedua lima takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan empat kali takbir solat `Ied. 1 + 4 = 5.



Kedua-dua pendapat termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang dibenarkan. Boleh memilih salah satu daripadanya atau yang lebih tepat, mengikuti takbir imam solat `Ied dalam pendapat yang dipilihnya.



• Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan: Tidak pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat `Ied (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)… Hanya sahaja Ibnul Mundzir berkata: "Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunnah yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai." - Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Total Koreksi Ritual Salat, ms. 395-396.



Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu'alam.



• Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari berkata: Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat `Ied, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anh bahawasanya dia berkata mengenai solat `Ied: "Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah 'Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atasNya." - Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 61.



Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi'i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti:



"Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar". - Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286.



• Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu 'alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata: Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A'laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih dari beliau tentang bacaan itu (iaitu pada solat `Ied). - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma'ad, ms. 49.



• Apabila seseorang tidak dapat turut serta untuk solat `Ied bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha' bahawa dia berkata:



Jika seseorang terlewatkan (tidak mendapatkan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat `Ied, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat.


Khutbah `Ied Al-Fithri



Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan solat `Ied al-Fithri. Dari Abu Sa'id al-Khudri (radhiallahu 'anh), dia berkata:



Pada hari `Ied al-Fithri dan `Ied al-Adha, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat `Ied. Kemudian baginda berpusing dan menghadap jamaah yang sedang duduk di saf-saf mereka. Kemudian baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 956.



Ada pun cara memulakan khutbah, maka menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:



Baginda memulakan khutbahnya dengan bacaan ‘Hamdallah’ dan tidak disebutkan di dalam satu hadis pun bahawa baginda memulai khutbah `Ied dengan takbir. Hanya sahaja Ibnu Majah (rahimahullah) menyebutkan di dalam Sunan-nya, bahawa Sa'd al-Qaradh (radhiallahu 'anh), salah seorang mu'adzin Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah memperbanyakkan takbir di dalam khutbah `Ied. Sekiranya hadis ini benar, (Seolah-olah Ibnu al-Qayyim meragui kualiti sanad hadis tersebut. Yang benar ia adalah dhaif, rujuk keterangan Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari dalam bukunya Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 72. Bertakbir sempena `Ied al-Fithri berhenti dengan terdirinya solat `Ied al-Fithri) tetap hal itu tidak menunjukkan bahawa baginda memulai khutbah `Ied dengan takbir. Yang benar, baginda memulai semua khutbah dengan Hamdallah. - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma'ad, ms. 49.



Khutbah `Ied juga berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ianya tidak dibahagikan menjadi dua khutbah dan khatib tidak perlu duduk di antara dua khutbah tersebut. Imam al-Nawawi rahimahullah telah berkata:



Apa yang diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud bahawa dia mengatakan: "Disunnahkan berkhutbah pada Hari Raya dengan dua khutbah yang keduanya dipisahkan dengan duduk adalah dhai'f (lemah) lagi tidak bersambung. Tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebutkan dua khutbah. - Dinukil dari kitab 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, karya Syaikh Wahid Abdussalam Bali, ms. 424.



Ini tidak lain menunjukkan sikap keterbukaan Imam al-Nawawi rahimahullah memandangkan pendapat ini sebenarnya bercanggah dengan pendapat Imam al-Syafi'i rahimahullah yang mengsunnahkan bagi imam memisahkan antara dua khutbahnya dengan duduk ketika solat `Ied. Inilah sikap yang sepatutnya kita ambil dalam bermazhab. Sekiranya terdapat hujjah yang lebih kukuh dari pendapat mazhab yang kita pegangi, maka sepatutnya kita meninggalkan pendapat tersebut dan mengikuti al-Qur'an dan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Sebenarnya Imam al-Syafi'i rahimahullah sendiri telah melarang kita untuk taksub terhadap pendapatnya. Menurut beliau:



Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu. (Diriwayatkan oleh Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafi'i, Ibnu Asakir, al-Nawawi di dalam al-Majmu', al-Fullani, Ibnul Qayyim, Abu Nu'aim di dalam al-Hilyah dan Ibnu Hibban di dalam Shahihnya. Penulis nukil daripada buku Sifat Shalat Nabi karya Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani, ms. 58)



Penulis ingin menganjurkan para pembaca yang budiman untuk mendapatkan sebuah buku bertajuk Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam yang ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah terbitan Jahabersa.



Para jemaah juga tidak diwajibkan untuk menghadiri khutbah `Ied ini. Oleh itu setelah selesai mengerjakan solat `Ied bagi seseorang yang tidak ingin turut serta untuk mendengar khutbah maka dia dibenarkan untuk meninggalkan majlis tersebut. Ini sebagaimana diriwayatkan dari `Abdullah bin al-Sa'ib (radhiallahu 'anh), dia berkata:



Aku pernah menghadiri solat `Ied bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan ketika selesai solat baginda bersabda: "Sesungguhnya kami akan berkhutbah, barangsiapa ingin duduk untuk mendengarkan khutbah maka dipersilakan. Dan barangsiapa yang ingin pergi, maka dipersilakan untuk pergi. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 975



Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga amat mengambil berat tentang perihal kaum wanita. Setelah selesai berkhutbah baginda akan menemui kaum wanita dan memberi nasihat khusus kepada mereka lalu menganjurkan mereka untuk banyak bersedekah. Dari Jabir bin `Abdullah radhiallahu 'anh dia berkata bahawa dia mendengar Atha' radhiallahu 'anh berkata:



Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdiri pada hari `Ied al-Fithri melakukan solat dan berkhutbah. Setelah selesai, baginda turun lalu menemui para wanita, baginda menasihati mereka seraya memegang tangan Bilal. Bilal membentangkan bajunya, dan para wanita menghulurkan sedekah mereka… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 978.



Bergembira Di Hari Raya `Ied Al-Fithri



Islam adalah agama yang praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah 'Azza wa Jalla, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan tersebut dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada Hari Raya `Ied al-Fithri adalah sebahagian daripada syi'ar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.



Bagi kita di Malaysia kegembiraan sambutan Hari Raya `Ied al-Fithri dapat dilihat dengan berkumpul seluruh ahli keluarga dan ziarah-menziarah sesama umat Islam. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum Hari Raya `Ied al-Fithri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut `Ied al-Fithri selagi mana ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:



Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, begitupun pelbagai macam nyanyian yang baik, semua itu menjadi syi'ar agama yang disyari'atkan Allah pada Hari Raya, untuk melatih tubuh jasmani dan untuk kepuasan serta kesenangan hati. - Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 2, ms. 290.



Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan suasana kegirangan di Hari Raya pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di mana baginda membenarkan acara-acara permainan untuk tontonan umum dan nyanyian yang tidak bercanggah dengan syarak. Di antara hadis-hadis tersebut adalah:



Hari itu adalah Hari Raya, di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku (`Aishah radhiallahu 'anha) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya ataukah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang berkata: "Apakah kamu ingin melihatnya." Aku pun menjawab: "Ya." Aku disuruhnya berdiri di belakangnya, di mana pipiku dekat dengan pipi baginda. Baginda berkata: "Biar yang lain, wahai Bani Arfidah!" Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: "Sudah cukup?" Aku menjawab: "Ya." Bagindapun bersabda: "Pergilah." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 950



Dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam masuk ke rumahku (pada Hari Raya), dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu'ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya. Ketika Abu Bakar (radhiallahu 'anh) masuk ke rumahku, dia memarahiku dan berkata: "Pada pandangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, (nyanyian) itu adalah seruling setan." Mendengar itu maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menemui Abu Bakar dan berkata kepadanya: "Biarkanlah mereka." Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lengah, aku memberikan isyarat dengan mata kepada kedua budak perempuan itu hingga mereka keluar. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 949.



Dari kedua-dua hadis ini al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah berkata: Pada Hari Raya dibolehkan mengadakan kegiatan yang dapat menghiburkan keluarga untuk melepas kelelahan setelah melakukan ibadah. Menampakkan kegembiraan pada Hari Raya merupakan sebahagian dari syi'ar Islam. - Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms 262.



Oleh itu kebiasaan masyarakat kita dalam berhari Raya seperti bersalaman dengan orang tua sambil meminta maaf, saling mengucapkan "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin", menjamu rendang, lemang, ketupat dan kuih-muih serta melanjutkan sambutan Hari Raya sehingga genap sebulan adalah sesuatu yang dibolehkan. Ia tidak menyalahi syari'at mahu pun sunnah.



Kesimpulan



Demikianlah sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam dalam berhari Raya. Di antara sunnah-sunnah tersebut adalah memiliki nilai hukum, ada yang memiliki nilai anjuran dan ada yang terbuka kepada uruf (kebiasaan) masyarakat mengikut masa dan tempat. Hayatilah ia dan ikutilah ia, nescaya kita seolah-olah berhari Raya bersama Rasulullah sekali pun kita hidup lebih 1400 tahun selepas kewafatan baginda.