..::AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKUM::..

ASSALAMU'ALAIKUM & SELAMAT DATANG KE BLOG MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN.

SEMINAR PINTAR BESTARI BAHASA ARAB 2017
BERSAMA DR. ABD RAZAK ABU CHIK (DR. ARABIC)

.::(SABTU, 29 APRIL 2017)::.


LAWATAN PENANDAARASAN BAHASA ARAB & PENDIDIKAN ISLAM DARI SK KELANA JAYA 1
KE SK LAGUNA MERBOK TAHUN 2017

.::(SABTU, 06 MEI 2017)::.


..::MAKLUMAN TERKINI::..

Blog ini telah dikemaskini pada 09 Mac 2017.


.::Aktiviti Panitia Bahasa Arab SK Laguna Merbok Tahun 2017::.

Seminar Pintar Bestari Bahasa Arab 2017
Bersama Dr. Abd Razak Bin Abu Chik (Dr. Arabic)

Hari : Sabtu.
Tarikh : 29 April 2017.
Masa : 8.00 Pagi - 1.30 Tengah Hari.

Tempat :
Dewan Serbaguna SK Laguna Merbok.


Majlis Pelancaran Minggu Bahasa Arab Peringkat Sekolah Tahun 2017

Hari : Ahad.
Tarikh : 08 Oktober 2017.
Masa : 7.45 Pagi - 8.15 Pagi.
Tempat : Dataran Perhimpunan SK Laguna Merbok.

.::MUAT TURUN TERKINI::.

1). DSKP Bahasa Arab Tahun 1 Kegunaan 2017

2). DSKP Pendidikan Islam Tahun 1 Kegunaan 2017


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Pendidikan Islam


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Bahasa Arab

PENGUNJUNG SETIA BLOG RASMI MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN (GBA SK LAGUNA MERBOK)

~PERMAINAN INOVASI PEMBELAJARAN BAHASA ARAB ABAD KE-21~

رحلة المعرفة

.::KEMENTA::.

~SEMINAR PINTAR BESTARI BAHASA ARAB 2016~

BERSAMA DR. ABD RAZAK BIN ABU CHIK (DR. ARABIC)

~PERMAINAN INOVASI PEMBELAJARAN BAHASA ARAB ABAD KE-21~

BALANG AJAIB (BALIB)

~PERMAINAN INOVASI PEMBELAJARAN BAHASA ARAB ABAD KE-21~

DAM INOVASI KERETA (DAMISTA)

26 December 2008

HUKUM ORANG ISLAM MENYAMBUT PERAYAAN KRISMAS



HUKUM ORANG ISLAM MENYAMBUT PERAYAAN KRISMAS

DAN PERAYAAN AGAMA-AGAMA LAIN.



HARAM MELIBATKAN DIRI DALAM PERAYAAN KUFUR



Pada dasarnya, Islam telah melarang kaum muslimin menyambut dan melibatkan diri dalam perayaan orang-orang kafir serta mengucapkan selamat hari krismas, selamat tahun baru cina, happy deepavali, hadir di jalan-jalan untuk menyaksikan atau melihat perayaan orang kafir, mengirim kad selamat/ucapan perayaan orang kafir dan sebagainya.



Ketentuan ini didasarkan pada firman Allah swt;



وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا (الفرقان: 72).



Menurut sebahagian besar ulama tafsir, makna kata al-zur (kepalsuan) di sini adalah syirik (Imam al-Syaukani, Fath al-Qadir, juz 4, hal. 89). Beberapa ulama tafsir seperti Abu ‘Aliyah, Thawus, Muhammad bin Sirrin, al-Dhahhak, al-Rabi’ bin Anas, dan lainnya, menyatakan bahawa makna al-zur di sini adalah perayaan kaum Musyrik. Selanjutnya, Amru bin Qays menafsirkannya sebagai majlis-majlis yang buruk dan kotor (Imam Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, juz 3, hal. 1346).



Sedangkan kata la yasyhaduna, menurut jumhur ulama’ lafaz la yahdhuruna al-zur bermakna tidak menghadirinya (Imam al-Syaukani, Fath al-Qadir, juz 4, hal. 89). Memang ada yang memahami ayat ini berkenaan dengan pemberian kesaksian palsu (syahadah al-zur) yang di dalam Hadis Shahih dikategorikan sebagai dosa besar. Akan tetapi, dari konteks kalimahnya, la yahdhurunahu lebih tepat diberi makna tidak menghadirinya. Dalam frasa berikutnya disebutkan:



وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا



“Dan apabila mereka melintasi (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya” (TMQ. al-Furqan [25]: 72).



Dengan demikian, keseluruhan ayat ini memberikan pengertian bahawa mereka tidak menghadiri al-zur. Dan jika mereka melintasi/melaluinya, maka mereka segera melaluinya, dan tidak mahu terjebak sedikit pun olehnya (lihat Imam Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, juz 3, hal. 1346).



Berdasarkan ayat ini pula, banyak fuqaha’ yang menyatakan haramnya menghadiri perayaan orang kafir. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Kaum Muslimin telah diharamkan untuk merayakan perayaan orang-orang Yahudi dan Nasrani. “ (Ibnu Tamiyyah, Iqtidha’ al-Shirath al-Mustaqim, hal.201).



Imam Baihaqi menyatakan, “Jika kaum muslimin diharamkan memasuki gereja, apalagi merayakan hari raya mereka.” (Ibnu Tamiyyah, Iqtidha’ al-Shirath al-Mustaqim, hal.201).



Imam al-Amidi dan Qadhi Abu Bakar al-Khalal menyatakan,”Kaum Mmuslim dilarang keluar untuk menyaksikan perayaan orang-orang kafir dan musyrik.” (Ibnu Tamiyyah, Iqtidha’ al-Shirath al-Mustaqim, hal.201).



Al-Qadhi Abu Ya’la al-Fara’ berkata, “Kaum Muslimin telah dilarang untuk merayakan perayaan orang-orang kafir atau musyrik”. (Ibnu Tamiyyah, Iqtidha’ al-Shirath al-Mustaqim, hal. 201)



Imam Malik menyatakan, “Kaum Muslimin telah dilarang untuk merayakan perayaan orang-orang musyrik atau kafir, atau memberikan sesuatu (hadiah), atau menjual sesuatu kepada mereka, atau naik kenderaan yang digunakan mereka untuk merayakan perayaannya. Sedangkan memakan makanan yang disajikan kepada kita hukumnya makruh, baik makanan itu dihantar oleh mereka atau mereka mengundang kita.” (Ibnu Tamiyyah, Iqtidha’ al-Shirath al-Mustaqim, hal. 201).



Ibnu Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, “Sebagaimana mereka (kaum Musyrik) tidak diperbolehkan menampakkan syiar-syiar mereka, maka tidak diperbolehkan pula bagi kaum Muslimin menyetujui dan membantu mereka melakukan syiar itu serta hadir bersama mereka. Demikian menurut kesepakatan ahli ilmu.” (Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Dzimmah, juz 1. hal. 235).



Abu al-Qasim al-Thabari mengatakan, “Tidak diperbolehkan bagi kaum Muslimin menghadiri perayaan mereka kerana mereka berada dalam kemungkaran dan kedustaan (zawr). Apabila ahli ma’ruf bercampur dengan ahli mungkar, tanpa mengingkari mereka, maka ahli ma’ruf itu sebagaimana halnya orang yang meredhai dan terpengaruh dengan kemungkaran itu. Maka kita takut akan turunnya murka Allah atas jama’ah mereka, yang meliputi secara umum. Kita berlindung kepada Allah dari murka-Nya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Dzimmah, juz 1. hal. 235).



Abdul Malik bin Habib, salah seorang ulama Malikiyyah menyatakan, “Mereka tidak dibantu sedikit pun pada perayaan mereka. Sebab, tindakan itu merupakan penghormatan terhadap kemusyrikan mereka dan membantu kekufuran mereka. Dan seharusnya para penguasa melarang kaum Muslimin melakukan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat Imam Malik dan lainnya. Dan aku tidak mengetahui perselisihan tentang hal itu” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, juz 6 hal 110).



Pada masa-masa kejayaan Islam, pemerintahan Islam saat itu –sejak masa Rasulullah saw –, kaum muslimin tidak diperbolehkan merayakan perayaan ahlul Kitab dan kaum musyrik. Dari Anas ra bahawa ketika Rasulullah saw datang ke Madinah, mereka memiliki dua hari raya yang mereka rayakan, baginda saw pun bersabda:



قَدْ أَبْدَلَكُمْ اللَّهُ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا : يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ



“Sungguh Allah swt telah mengganti dua hari itu dengan dua hari yang lebih baik daripada keduanya, iaitu Idul Adha dan Idul Fithri.” (HR. Abu Dawud dan al-Nasa’i dengan sanad yang shahih).



Pada masa pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khaththab, beliau juga telah melarang kaum muslimin merayakan perayaan orang-orang kafir. Imam Baihaqi telah menuturkan sebuah riwayat dengan sanad shahih dari ‘Atha’ bin Dinar, bahawa Umar ra pernah berkata,



لَا تَعَلَّمُوا رَطَانَةَ الْأَعَاجِمِ وَلَا تَدْخُلُوا عَلَى الْمُشْرِكِينَ فِي كَنَائِسِهِمْ يَوْمَ عِيدِهِمْ فَإِنَّ السُّخْطَ يَنْزِلُ عَلَيْهِمْ



“Janganlah kalian mempelajari bahasa-bahasa orang-orang Ajam. Janganlah kalian memasuki kaum Musyrik di gereja-gereja pada hari raya mereka. Sesungguhnya murka Allah swt akan turun kepada mereka pada hari itu.” (HR. Baihaqi).



Umar bin al-Khaththtab ra juga mengatakan:



اجْتَنِبُوا أَعْدَاءَ اللَّهِ فِي عِيدِهِمْ



“Jauhilah musuh-musuh Allah pada hari raya mereka.”



Demikianlah, Islam telah melarang umatnya melibatkan diri dalam perayaan orang-orang kafir.



Menghilangkan Syubhat



Di antara ayat yang seringkali digunakan untuk menjustifikasi pandangan golongan yang membolehkan mengucapkan selamat hari krismas adalah firman Allah Swt:





وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا





“Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali” (TMQ. Maryam [19]: 33).





Memang dalam ayat ini disebutkan tentang keselamatan pada hari kelahiran Isa. Akan tetapi, itu tidak ada kaitannya dengan ucapan selamat hari krismas. Sebab, krismas adalah perayaan dalam rangka memperingati kelahiran Yesus di Bethlehem. Sejak abad keempat Masehi, pesta atau perayaan krismas ditetapkan tanggal 25 Disember, menggantikan perayaan Natalis Solis Invioti (kelahiran matahari yang yang tak tertandingnya/terkalahkan).





Telah diketahui, bahawa keyakinan Nasrani terhadap Isa as –yang mereka sebut Yesus– adalah sebagai Tuhan. Dan keyakinan ini menjadi salah satu penyebab kekufuran mereka. Banyak sekali ayat menegaskan hal ini, seperti firman Allah Swt:





لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ ُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ





“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah adalah Al Masih putera Maryam”, padahal Al Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu” Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” (TMQ. al-Maidah [5]: 72).





لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلَّا إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنْ لَمْ يَنْتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ





“Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah salah satu dari yang tiga”, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih. Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (TMQ. al-Maidah [5]: 73-74).



Bertolak dari fakta tersebut, perayaan Natal yang merayakan ‘kelahiran Tuhan’ merupakan sebuah kemunkaran besar. Sikap yang seharusnya dilakukan kaum Muslim terhadap pelakunya adalah menjelaskan kesesatan mereka dan mengajak mereka ke jalan yang benar, Islam. Bukan malah mengucapkan selamat terhadap mereka. Tindakan tersebut dapat dimaknai sebagai sikap ridha dan cenderung terhadap kemunkaran besar yang mereka lakukan. Padahal Allah Swt berfirman:



وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ



“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” (TMQ. Hud [11]: 113).



Menurut Abu al-Aliyah, makna kata al-rukun adalah redha. Ertinya redha terhadap perbuatan orang-orang zalim. Ibnu Abbas memberi makna al-mayl iaitu (cenderung). Sedangkan menurut al-Zamakhsyari, al-rukun tidak sekadar al-mayl, namun al-mayl al-yasir (kecenderungan ringan). Ini bererti, setiap Muslim wajib membebaskan dirinya dari kezaliman. Bukan hanya dalam praktik, namun sekadar kecenderungan sedikit saja sudah tidak diperbolehkan. Jelaslah, haram hukumnya kaum Muslimin terlibat dalam perayaan orang-orang kafir, samada Musyrik mahupun Ahli Kitab.





15 December 2008

NAFKAH ISTERI (PART 3)

NAFKAH ISTERI



Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu

Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa perempuan itu dua macam iaitu perempuan yang kebiasaannya mempunyai pembantu (khadam) dan perempuan yang tidak mempunyai pembantu. Oleh yang demikian menurut mazhab Syafi‘è tidak wajib menyediakan pembantu bagi isteri jika suami tidak mampu. Walau bagaimanapun suami dituntut menyediakan pembantu jika isteri dari keluarga yang kebiasaannya mempunyai pembantu. (Raudhah At-Talibin: 6/453-455) Dalam hal ini, suami juga dituntut (wajib) membayar nafkah bagi pembantu tersebut seperti bayaran gaji, makan minum dan pakaian (sekali setiap enam bulan). (Raudhah At-Talibin: 6/453-455)

Dalam pada itu Imam As-Syirazi pula menyebutkan bahawa suami hanya patut menyediakan seorang pembantu sahaja bagi isterinya dan pembantu itu adalah seorang perempuan atau seorang lelaki yang mempunyai hubungan mahram dengan siisteri. (Al-Majmuk: 19/367)

Pekerjaan yang wajib dilakukan oleh seorang pembantu isteri itu hanyalah mengenai hal-hal yang khusus dan diperlukan oleh isteri sahaja seperti menyediakan makan minum isteri, membasuh pakaian isteri, memasak makanan isteri dan menganggkat air untuk mandian dan untuk minuman.

Ada ulamak menyebutkan bahawa kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak makanan suami dan mencuci pakaian suami, bukanlah menjadi kewajipan isteri dan pembantu tersebut; isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela, bahkan ia adalah tugas suami sendiri atau ditangani oleh orang lain dengan cara upah dan sebagainya. (Al-Majmuk: 19/369 & I‘anah At-Thalibin: 4/114-115) Hukum ini adalah hasil ijtihad ulamak dan ia bertentangan dengan urf atau kebiasaan dalam masyarakat. Sedangkan urf dan kebiasaan itu boleh dipakai dalam menentukan dan menetapkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya, tetapi bukan sebagai kewajipannya. Beberapa alasan berikut juga boleh dijadikan hujah:

i. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman kepada para isteri yang tafsirnya :

“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya”.

(Surah Al-Baqarah: 228)

Sebahagian ulamak tafsir menta’wilkan ayat di atas, supaya para isteri berkhidmat dengan baik ke atas para suami sepertimana para isteri berbuat taat kepada suami mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.(At-Thabari:2/613-614)

Pengarang kitab Fatawa Mu‘asyirah ada menyebutkan mengenai maksud perkataan al-makruf dalam ayat di atas, beliau berkata yang maksudnya :

“Khidmat seorang isteri kepada suaminya adalah makruf (kebaikan). Adapun membuat perempuan (isteri) itu bersenang-senang sementara lelaki melaksanakan urusan rumah seperti menyapu, mengisar gandum, menguli tepung, membuat roti, membasuh … (lain-lain lagi), bukanlah perkara yang makruf, (kerana) lelaki itu bekerja dan membanting tulang di luar rumah, maka demi keadilan sewajarnya wanita berperanan melaksanakan tugas-tugas rumah tersebut.

(Fatawa muàsyirah: 1/506)

ii. Suami adalah qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta‘àla yang tafsirnya ;

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita”.

(Surah An-Nisaa’: 34)

Oleh yang demikian, isteri hendaklah menjaga kepentingan suami. Maka jalan yang serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya orang Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah manakala suami pula hanya membantu. Tidaklah menjadi kesalahan, jika ada suami yang berminat dan bersedia melakukan kerja-kerja di rumah seperti kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga melakukan perkara-perkara tersebut, sementara isteri pula bekerja di luar seperti berniaga dan sebagainya di atas kerelaan suami isteri.

iii. Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan kehidupan harian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat sebagai suami dan isteri, yang masing-masing itu memberi khidmat dan bantu membantu antara satu sama lain; Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam membantu dan menolong ahli keluarga Baginda telah dijadikan contoh tauladan oleh umat manusia. Baginda sebagai seorang Rasul sekaligus sebagai pemimpin negara tidak camah mata kepada ahli keluarga Baginda. Ini terbukti dalam satu riwayat daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya :

“Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid)”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Hadis diatas disokong lagi oleh hadis-hadis lain yang menceritakan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri membuat kerja-kerja rumah seperti menjahit baju, mencuci pakaian, menampal kasut, memerah susu dan lain-lain, sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada seorang lelaki katanya yang maksudnya :

“Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda sendiri telah menjahit baju dan menmpal kasut atau seumpama ini”.

(Hadis riwayat Ahmad)

Dalam riwayat yang lain yang maksudnya ;

Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab:”Baginda sendiri menjahit bajunya dan menampal kasutnya, dan Baginda juga membuat pekerjaan yang dibuat oleh kebanyakkan orang lelaki (suami) di rumah-rumah mereka”.

(Hadis riwayat Ahmad)

Dalam riwayat yang lain lagi yang maksudnya ;

Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda adalah manusia seperti manusia biasa di mana Baginda sendiri membersihkan (mencuci) pakaiannya, memerah susu kambing dan membuat kerja-kerja (yang lain) untuk dirinya sendiri”.

(Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah bahawa mengurus rumah dengan membantu para isteri itu adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan amalan tersebut bukanlah sebagaimana anggapan sebahagian orang awam sebagai “queen control”. Maka perbuatan tersebut hendaknya dikekalkan demi kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga.

Begitu juga kehidupan harian para sahabat sebagai suami isteri, masing-masing mereka memberi khidmat dan bantu membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma’ binti Abu Bakar, isteri sahabat Zubair bin Al-Awwam, sentiasa membantu suaminya dengan memberi makan kuda, mengangkat air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya. Hal ini diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abi Mulaikah yang maksudnya;

“Sesungguhnya Asma’ telah berkata: “Aku pernah memberikan khidmat (melayani) Az-Zubair dalam urusan rumahtangga. Dia (Az-Zubair) mempunyai seekor kuda dan akulah yang mengurusnya. Tidak ada suatu khidmat (kerja) yang lebih berat bagiku daripada mengurus kuda kerana akulah yang mencarikan rumput, menjaganya dan mengurus segala keperluannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain yang maksudnya :

“Daripada Asma’ binti Abu Bakar katanya: “Az-Zubair mengahwini aku, dia tidak mempunyai harta, hamba dan apa pun di muka bumi ini selain seekor kuda”. Kata Asma’ lagi: “Akulah yang memberi makan kudanya, mencukupkan keperluan makannya, mengurusnya, menumbuk biji kurma sebagai minumannya, memberinya makan, meminumkan air, melubangi timbanya dan mengadun roti. Tetapi aku tidak boleh membuat roti dengan baik, dan kaum wanita Ansharlah yang biasa membuatkan roti untukku. Mereka adalah para wanita yang ikhlas”. Beliau berkata lagi: “Aku biasa mengangkat biji kurma di atas kepalaku dari kebun Az-Zubair iaitu tanah yang diberikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tanah itu kira-kira jauhnya satu pertiga farsakh dari kota.”

(Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain Fatimah telah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta seorang pembantu yang maksudnya;

“Daripada Ali bin Abi Talib, sesungguhnya Fatimah pernah mengadu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, meminta kepada Baginda seorang pembantu. Lalu Baginda bersabda: “Bagaimana jika aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik untuk mu daripada seorang pembantu; iaitu kamu bertasbih kepada Allah sebanyak tiga puluh tiga kali ketika hendak tidur, bertahmid (memuji Allah) sebanyak tiga puluh tiga kali dan membaca takbir kepada Allah sebanyak tiga puluh empat kali”.

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam agar mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah. Tetapi Baginda mengajar Fatimah perkara yang lebih baik daripada seorang pembantu. Dengan makna yang lain Baginda melazimkan Fatimah agar terus melakukan sendiri kerja-kerja dan urusan rumahnya sekaligus tidak pula mengatakan kerja itu diserah kepada Ali kerana tanggungjawabnya sebagai suami. Jawapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada puterinya itu adalah suatu perakuan (taqrir) yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai oleh umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan kerja-kerja rumah, suami atau isteri.

Fatimah Az-Zahra adalah salah seorang puteri Nabi iaitu penghulu segala wanita. Sebagai isteri kepada Saiyidina Ali bin Abi Talib, beliau turut serta memberi khidmat kepada suaminya dan melakukan sendiri kerja-kerja memasak, membuat tepung, mengadun, membuat roti dan mengisar tepung sehingga pecah-pecah kedua tangannya.

Berdasarkan hadis di atas juga Ibnu Hubaib mengatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memutuskan supaya Fatimah berperanan melakukan tugas-tugas dalaman, sementara Ali berperanan melakukan tugas-tugas luar. Maksud tugas-tugas dalaman ialah membuat tepung, memasak, menyapu dan semua kerja rumah. (Fath Al-Bari: 10/635)

Berdasarkan hujjah-hujjah di atas, adalah elok jika isteri dapat membuat pekerjaan atau perkara-perkara yang lazimnya dibuat oleh para isteri seperti memasak, mencuci pakaian, menyediakan makanan dan sebagainya untuk suaminya kerana agama Islam sangat menggalakkan umatnya bantu membantu dan tolong menolong antara satu dengan lain lebih-lebih lagi suami isteri. Dalam perkara tolong menolong dan bantu membantu ini Allah Ta‘àla telah menjelaskan dalam firmanNya yang tafsirnya :

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”

(Surah Al-Maidah: 2)

FirmanNya yang lain yang tafsirnya :

“Dan mereka pula bersegera pada membuat dan mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah dari orang-orang yang salih”.

(Surah Ali Imran: 114)

Perkara sedemikian juga bersesuaian dengan budaya masyarakat Melayu iaitu kerja-kerja berat biasanya menjadi kewajipan suami manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi kewajipan isteri.

Nafkah ‘Iddah

Nafkah wajib diberikan kepada perempuan yang sedang dalam ‘iddah. Perempuan yang ber‘iddah raj‘e berhak mendapatkan nafkah berdasarkan firman Allah Ta‘àla yang tafsirnya :

“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘idahnya) itu di tempat kediaman kamu”

(Surah At-Thalaq: 6)

Ayat di atas mewajibkan untuk memberikan tempat tinggal kepada isteri. Apabila tempat tinggal wajib diberikan, maka memberi nafkah juga wajib kerana nafkah itu mengikuti kewajipan memberikan tempat tinggal.

Wanita hamil yang ditalak juga berhak mendapatkan nafkah berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya”.

(Surah At-Thalaq: 6)

Berdasarkan ayat di atas nafkah adalah wajib ke atas perempuan hamil yang ber‘idah sama ada kerana talak raj‘i atau talak ba’in. Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini tidak wajib nafkah terhadap isteri yang ber‘idah kerana kematian suami sekalipun mengandung sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Tidak (berhak) nafkah bagi isteri yang hamil dan kematian suami”.

(Hadis riwayat Ad-Daruqutni)

Manakala bagi perempuan yang sedang ber‘idah ba’in dan tidak hamil hanya berhak menerima tempat tinggal tanpa nafkah dan kiswah (pakaian). (Mughni Al-Muhtaj: 3/561-562)

Perempuan Yang Tidak Berhak Menerima Nafkah

Berdasarkan syarat-syarat di atas, kewajipan suami dalam memberikan nafkah adalah bergantung kepada syarat-syarat yang mesti ditunaikan oleh isterinya.

Imam An-Nawawi (Al-Majmuk: 19/244-247) menyebutkan bahawa perempuan yang tidak berhak untuk menerima nafkah itu terdiri daripada:

(i) Isteri yang masih kecil (yang belum disetubuhi) sekalipun dia sudah menyerahkan dirinya untuk dicampuri. Berdasarkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika berkahwin dengan Aisyah Radhiallahu ‘ànha, Baginda tidak memberi nafkah selama dua tahun kerana belum mengaulinya. Sebaliknya jika yang masih kecil itu ialah suami sedangkan isteri sudah baliqh, maka wajib bagi suami yang kecil itu memberi nafkah kepada isterinya.

(ii) Apabila isteri berpindah dari rumah suaminya ke rumah lain tanpa alasan syar‘i atau pergi (musafir) tanpa izin suami.

(iii) Apabila isteri berpuasa sunat atau beri‘tikaf sunat tanpa izin suami.

(iv) Apabila isteri itu nusyuz (derhaka, berbuat maksiat terhadap suaminya atau tidak mahu mematuhi suaminya).

Sebab-sebab di atas adalah menyebabkan seorang isteri itu tidak berhak menerima nafkah, kerana dia telah menghalangi hak suami untuk menikmati dirinya tanpa uzur yang dibenarkan oleh syara‘.

Ulama juga sepakat mengatakan bahawa isteri yang dipenjarakan kerana melakukan kejahatan atau seumpamanya tidak wajib diberikan nafkah. (Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 10/7382)

Penutup

Berdasarkan penjelasan yang telah dihuraikan di atas, dalam apa jua keadaan suami mempunyai satu darjat kelebihan ke atas seorang perempuan (isteri), kerana suamilah yang berkuasa mengawalnya dan memberi mereka nafkah, sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darajat kelebihan atas orang-orang perempuan (isteri-isteri)”.

(Surah Al-Baqarah: 228)

Pendeknya, seorang isteri adalah menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik, maka begitulah juga suami menanggung kewajipan terhadap isterinya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik juga, sebagaimana dijelaskan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya :

“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (tidak dilarang oleh syarak)”.

(Surah Al-Baqarah: 228)


NAFKAH ISTERI (PART 2)

NAFKAH ISTERI


Nafkah Makanan

Suami wajib memberi nafkah makan kepada isterinya dengan makanan yang asasi bagi sesebuah negeri seperti beras di negara kita.

Jumlah nafkah yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya sama dengan jumlah kafarah sumpah yang dibayar kepada setiap orang iaitu satu mudd (Al-Majmuk: 19/360) iaitu kira-kira bersamaan 566.85 gram. Ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

"Daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu".

(Surah Al-Maidah: 89)

Mazhab Syafi‘e juga menetapkan bahawa pemberian nafkah tersebut iaitu pada setiap hari bermula dari terbit matahari. Bagi suami yang mampu/kaya, dia wajib memberi nafkah sebanyak dua mudd bersamaan 1 kilo 133.70 gram beras. Manakala suami yang tidak mampu hanya wajib memberi satu mudd iaitu 566.85 gram bagi setiap hari. Adapun orang pertengahan, wajib membayar 1½ mudd bersamaan 850.275 gram. (Raudhah At-Talibin: 6/450 & Al-Majmuk: 19/358) Walau bagaimanapun adalah harus pula memberi nafkah itu dengan segera atau melambatkannya tertakluk kepada persetujuan suami isteri tersebut. (Al-Fiqh wa Adillatuhu:10/7389)

Menurut Imam As-Syirazi pula adalah harus bagi suami memberi beras itu dengan nilaian harga jika suami isteri bersetuju. (Al-Muhazzab: 4/607-608)

Termasuk dalam kategori makanan itu ialah lauk pauk, rempah- ratus, minyak makan dan sebagainya. Dari itu suami juga wajib menyediakan alat dapur seperti tempat memasak, pinggan mangkuk dan yang berkaitan dengannya. (Raudhah At-Talibin: 6/ 453)

Mengenai makanan daging, menurut Imam An-Nawawi, suami wajib memberikannya kepada isteri. Berdasarkan perkataan Imam As-Syafi‘e, suami yang kurang mampu hendaklah memberikannya seminggu sekali dan sunat memberikannya pada hari Juma‘at. (Raudhah At-Talibin: 6/452)

Kewajipan Menyediakan Pakaian

Adapun yang berkaitan dengan masalah pakaian, ulama sepakat menyatakan bahawa hal itu tergantunglah kepada kemampuan suami kerana tidak ada nas yang menentukan kadar dan jumlahnya, akan tetapi menurut mereka; hakim atau kadi boleh menentukan kadar dan jumlahnya itu dengan mempertimbangkan keadaan dan kemampuan suami. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu: 10/7389)

Menurut Asy-Syirazi bahawa suami wajib memberikan pakaian kepada isterinya pada setiap enam bulan sekali dengan makna yang lain dua kali dalam setahun. (Al-Muhazab: 4/613) Walau bagaimanapun Asy-Syirazi menyebutkan bilangan minima pakaian yang wajib diberikan oleh suami adalah tiga helai pakaian pada musim panas dan empat pada musim sejuk iaitu qamis yang menutup seluruh badan, Qina‘ (tudung) yang menutup kepala, seluar atau kain menutup badan dan jubah (long outer garment) pada musim sejuk. (Al-Majmuk: 19/362)

Termasuk dalam kategori pakaian yang wajib disediakan itu ialah milhafah (selimut), wisadah (bantal), labid (hamparan permaidani yang tebal atau tilam), hasyir (tikar) dan lain-lain. (Al-Majmuk: 19/362)

Al-Mawardi pula menyebutkan dalam kitab An-Nafakat bahawa suami hendaklah memberikan pakaian kepada isterinya bukan dengan nilaian harga pakaian itu kerana hak kepada isteri itu adalah pakaian bukan nilaian harganya, ini termasuk upah menjahit. (An-Nafakat 78)

Kewajipan Menyediakan Tempat Tinggal

Suami wajib menyediakan tempat tinggal atau rumah untuk isterinya sama ada dengan membeli, menyewa, meminjam atau didapatkan melalui wakaf. (Mughni Al-Muhtaj: 3/550) Hal ini sesuai dengan firman Allah Subhanhu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

Tafsirnya: "Tempatkanlah isteri-isteri kamu itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)."

(Surah At-Thalaq: 6)

Ulama juga sepakat mensyaratkan bahawa rumah yang disediakan itu hendaklah sempurna sebagaimana kelazimannya bagi sesebuah rumah yang mempunyai kemudahan-kemudahan seperti dapor dan perkakasnya, bilik air (tandas) serta kemudahan-kemudahannya, alat-alat pencuci, peralatan makan minum dan lain-lain, kecuali bagi suami yang tidak mampu mengadakan kemudahan-kemudahan tersebut. (Mughni Al-Muhtaj: 4/550 & Al-Fiqh Wa Adillatuhu: 10/7393).

Ayat di atas juga menjelaskan masalah tempat tinggal bagi perempuan dalam ìddah dan masalah perbelanjaan dalam masa tersebut iaitu para suami diperintahkan menempatkan isteri yang diceraikan itu di rumah-rumah kediaman mengikut kemampuan mereka. Mereka juga diperintahkan memberi nafkah kepada isteri-isteri hamil sehingga mereka bersalin iaitu masa berakhir ‘iddah. Tujuannya supaya para suami tidak akan menyakiti isteri-isteri mereka yang sedang dalam ‘iddah itu dengan menyempit-nyempitkan keselesaan tempat tinggal atau merendahkan tarafnya atau memberi layanan yang buruk. (Tafsir Fi Zilalil Qur’an (trj): 16/168)

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini bahawa tidak gugur nafkah isteri sekalipun isteri itu keluar rumah tanpa izin suami dan isteri tersebut tidak dianggap nusyuz dalam beberapa keadaan (Mughni Al-Muhtaj: 3/557), di antaranya adalah seperti yang dinyatakan di bawah ini:

(i) Apabila rumah tempat tinggal itu hendak runtuh.

(ii) Apabila dipaksa keluar daripada rumah itu secara zalim.

(iii) Apabila isteri bersendirian dalam rumah dan bimbang akan diri dan hartanya daripada orang fasiq dan pencuri.

(iv) Apabila dihalau keluar oleh tuan yang empunya rumah (rumah sewa atau seumpamanya) selain rumah suami.

(v) Apabila isteri keluar menemui kadi atau hakim bagi menuntut haknya daripada suami.

(vi) Apabila isteri hendak memohon fatwa.

(vii) Isteri keluar rumah tanpa izin (kerana ziarah atau mengucapkan takziah) kepada kerabat seperti bapa atau jiran, ketika suami berada di luar daerah atau negeri. Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini urf (kebiasaan) seperti ini tidak dianggap nusyuz.

Dalam hal ini Imam As-Syafi‘e menjelaskan bahawa suami mempunyai hak melarang isteri keluar rumah bagi menziarahi kedua ibu bapa siisteri sama ada mereka masih hidup atau sebaliknya. Walau bagaimanapun adalah sunat (mustahab) bagi suami memberi kebenaran kepada si isteri untuk menjengok kedua ibu bapanya (si isteri) apatah lagi menziarahi mayat mereka kerana perbuatan melarang siisteri keluar menziarahi mereka itu boleh mendatangkan kebencian kerana sikap benci-membenci itu adalah ditegah oleh Islam. (Al-Majmuk: 18/94-95)

Menurut pengarang kitab Fath Al-Mu‘in pula, keluar kerana mencari nafkah (rezeki) seperti berniaga atau bekerja disebabkan oleh suami yang mu‘sir (melarat) tidak dianggap nusuz. (Fath Al-Mu‘in: 4/122)


NAFKAH ISTERI (PART 1)

NAFKAH ISTERI


Perkahwinan itu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia membawa kepada ketenteraman jiwa, menahan emosi, menutup pandangan dari segala yang dilarang dan untuk mendapatkan kasih sayang suami isteri yang dihalalkan.

Perkahwinan juga dapat menjalin ikatan kekeluargaan di antara keluarga suami dengan keluarga isterinya, iaitu memperkuat ikatan kasih sayang sesama mereka. Keadaan ini setentunya memberi sumbangan kepada kekukuhan keluarga dan masyarakat. Disamping itu perkahwinan juga berfungsi untuk mengembangkan keturunan.

Perkahwinan itu bererti tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh suami dan isteri. Antara tanggungjawab atau kewajipan suami terhadap isteri dan orang-orang yang di bawah tanggungannya adalah memberikan nafkah. Nafkah itu meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kewajipan memberi nafkah timbul kerana ikatan pernikahan iaitu suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Manakala jumlah nafkah yang wajib diberikan adalah mengikut kemampuan dan kebiasaan setempat.

Pengertian Nafkah

Nafkah ialah penunaian belanja daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya. (An-Nawawi: Raudah At-Talibin 6/449 & Al-Mawardi: An-Nafakat 29)

Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

Tafsirnya: "Dan kewajipan bapa (suami) pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (isteri) menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya".

(Surah Al-Baqarah: 233)

Menurut tafsir Al-Mawardi bahawa maksud "al-maulud" dalam ayat di atas ialah bapa, "ar-rizq" maksudnya makanan secukupnya, "kiswah" ertinya pakaian. Manakala perkataan "al-ma‘ruf" ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan. (Tafsir Al-Mawardi: 1/300 & Al-Qurtubi: 2/845)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai seorang suami dan bapa yang menjadi contoh tauladan kepada umat manusia juga telah mengingatkan tentang kewajipan nafkah di dalam khutbah Baginda ketika menunaikan haji wada‘ yang maksudnya :

"Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang tidak engkau sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukainya. Mereka berhak atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik".

(Hadis riwayat Muslim)

Pembahagian Nafkah

Ulama membahagikan nafkah kepada dua bahagian iaitu nafkah diri sendiri dan nafkah terhadap orang lain. Dalam hal ini, seseorang hendaklah mendahulukan nafkah untuk dirinya daripada nafkah kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Mulailah dengan dirimu, maka sedekahkanlah jika ada kelebihan kepada ahli keluargamu, dan jika mempunyai kelebihan daripadanya berikanlah kepada kerabatmu"

(Hadis riwayat Muslim)

Menurut jumhur ulama, kewajipan nafkah terhadap orang lain, terjadi disebabkan oleh tiga perkara iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). (Raudah At-Talibin: 6/449)

Syarat Untuk Mendapatkan Nafkah

Apabila berlaku suatu akad nikah dengan memenuhi rukun dan syaratnya, maka seorang isteri dengan sebab adanya akad nikah itu, menjadikan dia terikat oleh suaminya, dia berada di bawah kekuasaan suaminya dan suami pula berhak menikmati dirinya. Si isteri wajib taat kepada suaminya, tinggal di rumah yang telah disediakan oleh suaminya, bertanggungjawab mengatur rumahtangga suami, mengasuh anak dan sebagainya.

Agama Islam telah menetapkan kepada suami supaya memberikan nafkah kepada isterinya selama perkahwinan itu berterusan. Walau bagaimanapun bagi mendapatkan nafkah tersebut, seorang isteri hendaklah memenuhi beberapa syarat. Apabila syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi maka seorang isteri itu tidak berhak menerima nafkah dari suaminya. Dalam kitab Al-Majmuk (19/344) Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

i. Akad yang sah.

ii. Perempuan itu sudah menyerahkan dirinya kepada suaminya.

iii. Isterinya tidak keberatan untuk pindah ke rumah (suami) apabila suami menghendakinya.

Khusus mengenai kewajipan nafkah ke atas isteri adalah bersandarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuanya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan oleh Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan oleh Allah".

(Surah At-Thalaq:7)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengingatkan mengenai kewajipan nafkah terhadap isteri itu, sebagaimana khutbah Baginda dalam haji wada’ yang maksudnya :

"Ingat! Sesungguhnya kamu mempunyai hak terhadap isteri-isteri kamu, bagi isteri-isteri kamu juga mempunyai hak terhadap kamu. Adapun hak kamu terhadap isteri-isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan masuk ke tempat tidur kamu orang yang kamu tidak sukai dan mereka tidak membenarkan orang yang kamu tidak sukai masuk ke rumah kamu. Sesungguhnya hak-hak isteri terhadap kamu ialah berbuat baik terhadap mereka (dengan memberikan) pakaian dan makanan mereka".

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Menurut As-Syeikh As-Syarbini bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara iaitu;

i. Makanan.

ii. Bahan-bahan seperti rempah-ratus (bawang, minyak masak, garam, gula, asam termasuk lauk-pauk dan sebagainya).

iii. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.

iv. Pakaian.

v. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya.

vi. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidor dan sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal (rumah). (Mughni Al-Muhtaj: 4/542 & Raudah At-Talibin: 6/450-461)

Maka penjelasan berikutnya hanya tertumpu kepada penjelasan mengenai nafkah makanan, pakaian, pembantu dan tempat tinggal sahaja.


06 December 2008

DERHAKA KEPADA IBU BAPA MENEMPA KEMURKAAN ALLAH (PART 4)


DERHAKA KEPADA IBU BAPA MENEMPA KEMURKAAN ALLAH


Pengajaran Dari Kisah ‘Alqamah

Satu kisah yang berlaku pada zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang dialami oleh seorang sahabat yang bernama ‘Alqamah.

‘Alqamah tergolong daripada salah seorang sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang taat dan rajin beribadat; mendirikan sembahyang, berpuasa dan bersedekah. Namun pada saat kematiannya ‘Alqamah sangat menderita. Begitu sulit dia hendak menghadap Allah Ta‘ala. Mulutnya seperti terkunci untuk mengucapkan kalimah tauhid sungguhpun setelah ditalqin yakni diajarkan oleh para sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang lainnya.

Peristiwa ini dikhabarkan kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Setelah mendengar khabar berita ini Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya apakah dia mempunyai kedua ibu bapa yang masih hidup? Dijawab pertanyaan Baginda itu: “Wahai Rasulullah! ‘Alqamah mempunyai seorang ibu yang sudah tua.”

Kamudian Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam mengutus seseorang untuk pergi berjumpa ibu ‘Alqamah dan menyampaikan pesan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjemputnya datang berjumpa Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam jika ibunya itu mampu untuk berjalan, jika tidak mampu berjalan Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri akan datang berjumpa dengannya.

Apabila pesan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam disampaikan kepada ibu ‘Alqamah, diapun sanggup untuk datang berjumpa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Setelah tiba, diapun memberi salam dan dijawab oleh Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam, lalu Baginda bertanya: “Apakah gerangan keadaan ‘Alqamah anakmu ini?” Ibunya menjawab: “Dia seorang yang banyak bersembahyang, banyak berpuasa dan banyak bersedekah.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya lagi: “Bagaimana pula keadaanmu?” Ibu ‘Alqamah menjawab: “Aku marah kepadanya wahai Rasulullah!” Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam terus bertanya: “Kenapa pula?” Siibu menjawab: “Dia (‘Alqamah) lebih mengutamakan isterinya daripada aku dan menderhakai aku.”

Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam pun bersabda: “Sesungguhnya kemurkaan ibu ‘Alqamah telah mengunci lidah ‘Alqamah lantas dia tidak dapat mengucapkan syhadah.” Kemudian Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan Bilal Radhiallahu ‘anhu mengumpulkan kayu api sebanyaknya. Siibu bertanya: “Wahai Rasulullah! Tuan hendak buat apa dengan kayu api yang banyak ini?” Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Aku akan bakar ‘Alqamah dengan api.”

Maka pada saat itulah, cinta seorang ibu yang telah lama terkubur dalam hatinya mulai hidup dan bersemi lagi. Siibu berkata: “Wahai Rasulullah! ‘Alqamah anak saya, aku tidak sanggup melihat anakku sendiri dibakar di hadapanku.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Wahai ibu ‘Alqamah! Azab Allah lebih pedih dan lebih lama. Jika engkau mahu Allah Mengampunkannya, engkau redhailah dia, engkau maafkanlah dia. Demi diriku berada di dalam kekuasaanNya, segala sembahyang yang dikerjakan oleh ‘Alqamah, puasanya dan sedekahnya tidak akan memberi apa-apa manfaat kepadanya selagi engkau tidak redha kepadanya.” Ibu ‘Alqamah pun berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku naik saksi di hadapan Allah, para MalaikatNya dan orang-orang Islam yang hadir ini bahawa aku redha akan anakku ‘Alqamah.”

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan Bilal Radhiallahu ‘anhu pergi melihat ‘Alqamah apakah dia sudah boleh mengucapkan kalimah tauhid ataupun tidak? Mungkin ibu ‘Alqamah hanya bercakap begitu hanya dibibir saja tetapi tidak sepenuh hati, kerana menjaga hati Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam. Lalu Bilal pun pergi melihat ‘Alqamah, dan dilihatnya ‘Alqamah sudah boleh mengucapkan kalimah tauhid. Selepas itu ‘Alqamah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang.

Setelah selesai mayat ‘Alqamah disempurnakan, Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam berdiri di tepi kubur ‘Alqamah dan bersabda: “Wahai sekalian orang-orang Muhajirin dan Anshar! sesiapa yang mengutamakan isterinya daripada ibunya, maka wajib ke atasnya laknat Allah, para Malaikat dan sekalian manusia. Allah tidak akan menerima segala amalannya, sama ada yang sunat ataupun yang fardhu melainkan setelah dia bertaubat kepada Allah Ta‘ala, berbuat baik kepada ibunya dan mencari keredhaannya, maka redha Allah ‘Azza wa Jalla terletak pada redha ibunya dan kemurkaan Allah itu terletak pada kemurkaan ibunya.”

Iktibar atau pengajaran yang dapat diambil dari kisah yang berlaku kepada ‘Alqamah di atas di antaranya ialah:

1) Memang benar syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam ketika seorang sahabat Baginda meminta izin untuk ikut berperang. Tetapi sebelum itu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya kepadanya apakah dia masih mempunyai ibu? Dia menjawab: “Ya”. Lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan dengan bersabda yang maksudnya :

“Jaga baik-baik ibumu, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah dua kaki ibu.”

(Hadits riwayat An-Nasa’ie dan Ahmad)

‘Alqamah seorang sahabat Nabi yang taat dan baik, tetapi disebabkan kedurhakaannya kepada ibunya semua amalannya menjadi sia-sia. Dia diseksa oleh Allah menjelang kematiannya, mulutnya terkunci dan tidak dapat mengucapkan kalimat tauhid .Kalaulah dia meninggal dalam keadaan begini tentulah dia akan mati dalam kesudahan yang tidak baik. Setelah ibunya memaafkan kesalahannya barulah dia dapat mengucapkan kalimah tauhid dan meninggal dengan tenang.

2) Kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapa mestilah menjadi keutamaan yang paling atas selepas kewajipan untuk taat kepada Allah dan RasulNya. Ia tidak boleh diatasi oleh kepentingan orang lain seperti isteri, anak-anak, kawan-kawan dan sebagainya.

‘Alqamah berbuat yang sebaliknya. Dia mengutamakan kepentingan isterinya daripada kepentingan ibunya sendiri. Inilah kederhakaan yang mendatangkan seksa kepada dirinya.

3) Memang benar redha Allah itu terletak pada redha kedua ibu bapa dan murka Allah terletak pada murka kedua ibu bapa.

Maka dengan sebab itu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri tidak dapat berbuat apa-apa terhadap penderitaan yang menimpa ‘Alqamah, dan hanya redha ibunya sahaja yang dapat mengatasinya.

Sebagai suatu rumusan, memang tabiat semulajadi manusia untuk menyayangi zuriat mereka. Sebab itu ibu bapa tidak akan mudah luntur kasih sayang mereka terhadap anak-anak. Mereka akan mengorbankan apa saja yang termampu demi anak-anak. Akan tetapi di sebelah pihak anak-anak pula, mereka cepat lupa akan kasih sayang dan pengorbanan kedua ibu bapa. Mungkin inilah di antara hikmatnya Allah Subhanahu wa ta'ala memperuntukkan di dalam Al-Qur’an secara tegas akan kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa supaya anak tidak mudah mengabaikan kewajipannya kepada kedua ibu bapa. Sebaliknya di pihak ibu bapa pula tidak lagi perlu diperingatkan untuk sentiasa menyayangi anak-anak mereka, kerana sifat semulajadi sudah cukup untuk mendorong mereka berbuat demikian.

Sebagai renungan kita perhatikan sebuah hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

“Berbuat baiklah kepada bapa-bapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu.”

(Hadits riwayat Ath-Thabarani dengan sanad yang baik)


VIDEO PEMBELAJARAN BAHASA ARAB PRAKTIKAL

.::BERSAMA USTAZAH RIHAM::.

.::UPLOAD BAHAN::.

PERKONGSIAN BAHAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

..::GALERI ALBUM SK LAGUNA MERBOK::..