Mahar Para Sahabat Dan Selainnya
Sayyidina Umar Radhiallahu ‘anhu mengahwini Ummu Kalthum binti ‘Ali Radhiallahu ‘anhu dengan mahar empat puluh ribu dirham. Thalhah bin ‘Ubaidullah mengahwini anak perempuan Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu dengan mahar seratus ribu dirham. Sementara Mush‘ab menikahi Sakinah binti Husain Radhiallahu ‘anhuma dengan mahar sejuta dirham. (al-Majmuk: 18/8-9)
Abdul Rahman bin ‘Auf bernikah pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan mahar emas seberat biji buah kurma iaitu tiga dan sepertiga dirham. Manakala Sa‘id bin al-Musayyab menikahkan anak perempuannya dengan mahar dua dirham. (Ahkam az-Ziwaj: 77)
Sementara Khalifah al-Ma’mun daripada Bani ‘Abbas, menikahi puteri Bauran iaitu anak kepada Perdana Wazir Khalifah al-Ma’mun yang bernama Fadhl bin Sahl dengan mahar beratus-ratus talam emas yang dipenuhi dengan wang emas (dinar). Dihiasi dengan lilin-lilin yang dibakar dengan minyak ‘Anbar yang harum semerbak serta dicampur dengan kesturi yang digiling halus. Sehinggalah tercatat dalam sejarah bahawa majlis pernikahan itu sangat mewah serta mahar yang paling mahal bersesuaian dengan kekayaan Khalifah al-Ma’mun. (Tafsir al-Azhar: 2/1097)
Hukum Mahar
Seorang suami diwajibkan memberi mahar kepada isterinya walaupun mahar itu bukan salah satu daripada syarat sah atau rukun nikah. Jika tidak disebutkan mahar di dalam akad nikah atau ada perselisihan di dalamnya, maka pernikahan tersebut tetap sah. Ini membuktikan bahawa ada perbezaan di antara pernikahan dan jual beli. Jual beli itu tidak sah melainkan di dalamnya akad harga yang diketahui. Manakala nikah pula, ianya sah tanpa disebutkan mahar itu di dalam akad.
Kewajipan mahar itu telah disebutkan dalam al-Qur’an, di antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
"Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya."
(Surah an-Nisa’: 4)
Menurut al-Qurthubi bahawa ayat di atas ditujukan kepada pihak suami. Ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya pihak suami bertabarru‘ dengan memberikan mahar kepada isteri-isteri mereka. (al-Jami‘ Liahkam al-Qur’an: 3/1330)
Syarat-Syarat Mahar
Hendaklah mahar yang diberikan kepada pihak isteri itu merupakan sesuatu benda yang boleh dijual beli atau sesuatu yang ada harga atau boleh sewa sama ada yang nampak (ada di tangan seseorang) atau hutang yang dalam tanggungan. Mahar itu juga boleh diberi secara tunai, bertangguh atau dibayar secara beransur-ansur. Untuk jelasnya dhuraikan syarat-syarat mahar:
1. Hendaklah mahar itu terdiri daripada sesuatu yang suci dan bukan sesuatu yang haram. Oleh yang demikian tidak sah sekiranya arak, bangkai, babi atau sesuatu yang najis dijadikan mahar.
2. Hendaklah mahar itu dalam milik atau kuasa suami. Tidak sah sekiranya barang curian, rampasan atau barang yang memang tidak dimilikinya seperti disebutkan mahar di dalam akad sebanyak seribu ringgit akan tetapi dia tidak memilikinya. Begitu juga sekiranya dia menjadikan sesuatu yang bermanfaat sebagai mahar tetapi tidak dimilikinya, seperti dia menjadikan khidmat seorang hamba sebagai mahar akan tetapi dia tidak memiliki hamba itu.
3. Hendaklah mahar itu bersih daripada sebarang penipuan, seperti sesuatu yang tidak ada atau tidak diketahui sama ada pada jenis, jumlah atau sifatnya. Sebagai contoh, menjadikan rumah atau binatang ternak atau sebagainya yang tidak ditentukan yang mana satu untuk dijadikan mahar.
Demikian juga tidak sah dijadikan mahar sesuatu yang belum sempurna miliknya, seperti barang belian yang belum diterima (qabadh) atau sesuatu yang tidak mampu untuk diserahkan, seperti burung yang terbang di udara atau binatang liar di dalam hutan atau ikan di lautan.
4. Hendaklah mahar itu mempunyai nilai dan manfaat. Seperti memberi khidmat kepada pihak isteri. Sebagai contoh, memelihara kambing si isteri dengan masa yang tertentu atau menjahit pakaiannya atau mengajar al-Qur’an atau mengajar sya‘ir yang dibolehkan oleh syara‘ atau mengajar menulis atau bertukang dan sebagainya daripada sesuatu yang bermanfaat dan dibolehkan oleh syara‘. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tentang hikayat Syu‘aib bersama Musa ‘alaihimassalam yang tafsirnya :
"Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya."
(Surah al-Qashash: 27)
Sementara dalil bagi menjadikan pengajaran al-Qur’an itu sebagai mahar, adalah hadis Sahl bin as-Sa‘idiy yang maksudnya :
"Bahawasanya telah datang seorang perempuan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya datang kepadamu untuk menghibahkan diriku kepadamu." Perempuan itu berdiri begitu lama.
Maka bangun seorang lelaki lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Kahwinkanlah aku dengannya, sekiranya engkau tidak berhajat kepadanya."
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Adakah kamu mempunyai sesuatu untuk diberikan kepadanya sebagai mahar?"
Katanya: "Tidak ada padaku melainkan kain sarung ini."
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Jika engkau berikan kain sarung itu kepadanya, sudah tentu kamu duduk tanpa memakai kain sarung, maka oleh itu carilah sesuatu."
Dia berkata: "Saya tidak mempunyai apa-apa."
Kemudian Baginda bersabda: "Carilah walaupun sebentuk cincin besi." Lalu lelaki itu pun mencari, namun tidak diperolehinya sesuatu pun.
Maka bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Apakah engkau hafal sesuatu daripada al-Qur’an?"
Dia berkata: "Ya, surah ini dan surah ini dengan menyebutkan nama-nama surah tersebut."
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Aku mengkahwinkanmu bersamanya dengan mahar daripada al-Qur’an yang engkau hafal ."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Demikian juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah sama seperti hadis di atas, akan tetapi tidak disebutkan kain sarung dan cincin. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
"Apakah yang kamu hafal daripada al-Qur’an?"
Dia berkata: "Surah al-Baqarah dan surah berikutnya."
Baginda bersabda: "Bangunlah! Lalu ajarkan dua puluh ayat kepadanya, dan dia adalah isterimu."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam sebuah hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Amir bin Rabi‘ah daripada ayahnya, bahawa seorang perempuan daripada bani Fazarah telah berkahwin dengan maskahwin sepasang sandal yang maksudnya :
"Bahawasanya seorang perempuan daripada bani Fazarah telah berkahwin dengan sepasang sepatu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Apakah engkau reda menyerahkan diri dan hartamu dengan sepasang sepatu?"
Perempuan itu berkata: "Ya."
Dia berkata: "Maka Rasulullah membolehkan perkahwinannya itu."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Oleh itu tidak sah menjadikan sesuatu yang tidak bermanfaat dan tidak bernilai pada kebiasaannya sebagai mahar. Seperti serangga, sebutir biji gandum dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment