KADAR MAHAR
Para fuqaha telah bersepakat bahawa mahar itu tidak ada had banyaknya, kerana tidak ditentukan kadar banyaknya oleh syara‘. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
"Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?"
(Surah an-Nisa’: 20)
Seorang perempuan pernah berhujjahkan ayat ini ketika ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu menghadkan pembayaran mahar di dalam khutbahnya dengan tidak melebihi empat ratus dirham. Beliau berkata dalam khutbahnya yang maksudnya :
"Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam memberi maskahwin wanita. Sesungguhnya jika sekiranya (berlebih-lebihan dalam membayar maskahwin itu) menjadi penghormatan di dunia atau ketakwaan di sisi Allah, nescaya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih utama dan berhak meninggikan mahar itu daripada kamu. Baginda tidak memberi maskahwin kepada seorang perempuan daripada isteri-isterinya dan tidak juga memberi maskahwin kepada seorang perempuan daripada anak-anaknya melebihi daripada dua belas uqiyyah."
(Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasaie, Ahmad dan Ibnu Majah)
Sementara dalam riwayat yang lain ada menyebutkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu berkata dalam khutbahnya, sesiapa yang melebihi maharnya daripada empat ratus dinar nescaya lebihan itu diserahkan kepada baitulmal. Sesudah beliau turun daripada mimbar, datang seorang perempuan Quraish membantah khutbah beliau dengan katanya yang maksudnya :
"Wahai Amirul Mukminin! Apakah kitab Allah Ta‘ala lebih berhak diikuti ataupun kata-katamu?"
Beliau berkata: "Kitab Allah Ta‘ala yang diikuti, apa itu?"
Perempuan itu berkata: "Engkau telah melarang orang ramai sebentar tadi daripada berlebih-lebihan memberi maskahwin wanita. Allah Ta‘ala berfirman dalam kitabNya: "Dan kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu."
‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata: "Setiap orang lebih faqih daripada ‘Umar, dua kali atau tiga kali (beliau berkata demikian). Kemudian beliau kembali ke atas mimbar.
Beliau berkata kepada orang ramai: "Sesungguhnya tadi aku telah pun melarang kamu daripada berlebih-lebihan dalam membayar maskahwin wanita, maka sekarang lakukanlah oleh lelaki pada hartanya apa yang dia mahu."
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Akan tetapi adalah disunatkan agar tidak berlebih-lebihan dalam membayar mahar perempuan. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
"Sesungguhnya nikah yang paling besar berkatnya adalah yang sedikit maharnya."
(Hadis riwayat Ahmad)
Dalam riwayat yang lain pula, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
"Sebaik-baik pernikahan adalah yang sedikit (maharnya)."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Hikmat mengelakkan daripada berlebih-lebihan dalam membayar mahar itu, yang jelas adalah memudahkan pemuda-pemuda untuk berkahwin supaya tidak terpesong kepada perkara yang tidak diingni seperti zina dan perkara-perkara yang membawa kepada buruk akhlak. Sebagaimana ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata dalam khutbahnya yang maksudnya :
"Sesungguhnya lelaki yang berlebih-lebihan dalam memberi mahar perempuannya sehingga menjadikan perempuan itu permusuhan dalam diri lelaki itu."
(Hadis riwayat an-Nasaie)
Adapun had sedikit bagi kadar mahar itu tidak disepakati oleh para fuqaha. Namun dalam mazhab Syafi‘e, mahar itu tidak ada had sedikitnya. Firman Allah Subahanhu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
"Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina."
(Surah an-Nisa’: 24)
Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa harta yang disebutkan di atas tidak ditentukan oleh syara’. Demikian juga dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan bahawa cincin diperbuat daripada besi dan sepasang sepatu boleh dijadikan mahar. Ini menunjukkan bahawa mahar itu sah dengan setiap sesuatu yang boleh dinamakan sebagai harta.
Oleh itu, tidak ada had bagi mahar perempuan sama ada banyak atau sedikit asalkan ianya terdiri daripada sesuatu yang boleh dijual beli iaitu ada padanya nilai.
Berapakah Kadar Mahar Yang Elok Dibayar
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menikahi isteri-isterinya dan mengahwinkan anak-anaknya dengan mahar tidak melebihi daripada dua belas setengah uqiyyah iaitu lima ratus dirham.
Oleh yang demikian, mustahab (disunatkan) bagi lelaki memberi mahar kepada perempuannya dengan tidak melebihi lima ratus dirham untuk bertabarruk dengan perbuatan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini pun tertakluk kepada kemampuan lelaki tersebut. (al-Majmu‘: 18/8,10) Imam as-Syafi‘e berkata yang ertinya:
"Dan Qashad (tujuan) dalam mahar adalah disukai kepada kita, dan disunatkan mahar itu tidak melebih atas apa yang diberikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada isteri-isterinya dan anak-anaknya. Dan itu adalah lima ratus dirham, mengharap keberkatan pada setiap sesuatu yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam."
Tiadalah menjadi kesalahan jika lelaki itu memberi mahar kepada isterinya lebih daripada lima ratus dirham sebagaimana perbuatan an-Najasyie ketika dia menjadi wakil Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada waktu Baginda menikahi Ummu Habibah dengan dibayarkan oleh an-Najasyie maharnya sebanyak empat ribu dirham. Jika demikian itu hukumnya makruh, nescaya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan menegahnya.
Walau bagaimanapun sayugialah digalakkan agar memberi mahar itu tidak kurang daripada sepuluh dirham. Ini kerana menghindarkan daripada pendapat sesetengah ulama yang mengatakan kadar sekurang-kurang mahar itu sebanyak sepuluh dirham. (al-Fiqh al-Islami waadillatuhu: 9/6765-6766)
Selain pemberian mahar itu daripada sesuatu yang bermanfaat dan bernilai sama ada banyak atau sedikit, ianya juga tergantung kepada persetujuan kedua pihak. Jika terdapat perselisihan antara dua belah pihak dalam menentukan mahar, jatuhlah mahar tersebut kepada mahar mitsil.
No comments:
Post a Comment