..::AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKUM::..

ASSALAMU'ALAIKUM & SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN.

..::MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM::..



MUAT TURUN MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM :
MUSHAF AL-QURAN TAJWID BESERTA TERJEMAHAN DALAM BAHASA MALAYSIA

YA ALLAH YA TUHAN KAMI, SAMPAIKANLAH KAMI KE BULAN RAMADHAN TAHUN 1443H

..::GALERI ALBUM PANITIA BAHASA ARAB SKBLM::..

                                                                                                                                                                                                                   

PENDEKATAN BEYBLADE BURST TARIK MINAT MURID SEKOLAH RENDAH PELAJARI BAHASA ARAB DENGAN LEBIH SANTAI, SERONOK DAN TERHIBUR



HARIAN METRO ONLINE :
BEYBLADE BURST LONJAK SEMANGAT BELAJAR MURID DALAM MATA PELAJARAN BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH
SEMINAR PINTAR BESTARI BAHASA ARAB 2022
BERSAMA DR. ABD RAZAK ABU CHIK (DR. ARABIC) KHUSUS UNTUK MURID SKBLM

.::(SABTU, 6 OGOS 2022)::.

.::BERSAMA MEMARTABAT & MEMPERKASAKAN BAHASA AL-QURAN.::.

..::MAKLUMAN TERKINI::..

Blog ini telah dikemaskini pada 16 April 2022.


.::Aktiviti Panitia Bahasa Arab SK Bandar Laguna Merbok Tahun 2022::.

Seminar Pintar Bestari Bahasa Arab 2022 Bersama Dr. Arabic.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 6 Ogos 2022.
Masa : 8.00 Pagi - 1.00 Tengah Hari.

Tempat :
Dewan Serbaguna SK Bandar Laguna Merbok.


Majlis Pelancaran Minggu Bahasa Arab Peringkat Sekolah Tahun 2022.

Hari : Ahad.
Tarikh : 23 Oktober 2022.
Masa : 7.45 Pagi - 8.15 Pagi.
Tempat : Dataran Perhimpunan SK Bandar Laguna Merbok.


Bengkel Digital Classroom Panitia Pendidikan Islam/Bahasa Arab SKBLM Tahun 2022.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 5 November 2022.
Masa : 8.30 Pagi - 12.30 Tengah Hari.
Tempat : Bilik Bestari j-QAF SK Bandar Laguna Merbok.


Klik sini :
Telegram Rasmi Ustaz Syahmi Beyblade (USB)


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Pendidikan Islam


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Bahasa Arab

PENGUNJUNG SETIA BLOG RASMI MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN (GBA SK LAGUNA MERBOK)

Showing posts with label HUKUM-HAKAM ISLAM. Show all posts
Showing posts with label HUKUM-HAKAM ISLAM. Show all posts

22 December 2010

LARANGAN TABARRUJ KE ATAS WANITA


 
Larangan Syara' Berkenaan Tabarruj (Berhias) Ke Atas Wanita

Oleh: Sheikh Ata Ibnu Khaleel Abu Al-Rashta

Soalan:  

Saya tahu bahawa Tabarruj adalah cara berpakaian atau perbuatan berhias secara berlebih-lebihan yang boleh menarik perhatian. Jadi, jika Khimar (tudung) seseorang wanita itu kecil, maka kelihatan leher atau rambut wanita tersebut, maka,  adakah ia dianggap Tabarruj? Walhal, rambut dan leher yang  kelihatan hanya sedikit dan tidak menarik perhatian dimana kebanyakan wanita yang tidak berjilbab biasanya berjalan dijalan-jalan  dan mereka tidak menarik perhatian?

Jawapan:

Tabarruj adalah perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan bagi seseorang wanita sehingga menarik perhatian ramai, tetapi tanpa membuka bahagian–bahagian sulit (aurat).  Ini dibatasi dengan tanpa membuka bahagian-bahagian sulit (aurat) kerana Tabarruj dengan memperlihatkan aurat adalah dilarang tanpa mengambil kira samada seseorang wanita itu menarik perhatian ataupun tidak.     

Isunya bukanlah kerana tidak menutupi aurat, contohnya perbuatan seperti memakai make-up dimuka, dijari, ditudung atau baju atau menghiasi kaki seperti memakai gelang kaki.  Kesemua perbuatan berhias ini, jika tidak menjadi kebiasaan di kawasan dimana seseorang wanita itu tinggal, dan perhiasan ini menarik perhatian, maka ini dipanggil Tabarruj dan ini adalah  dilarang. 

Jadi, contohnya, jika seseorang wanita itu mewarnai kukunya didalam sebuah kampung yang kebiasaan wanita-wanitanya tidak mewarnai kuku mereka, maka perbuatan berhias ini akan menarik perhatian, dan ini adalah dilarang, walaupun tapak tangan bukanlah aurat.  

Dan jika dia berjalan, kedengaran bunyi gelang kakinya dan menarik perhatian kepada perhiasan dikakinya, walaupun kakinya tertutup, ini juga dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang.

Jika seseorang wanita itu memakai sehelai tudung broked yang bukan kebiasaannya,  dan ini menarik perhatian, maka ini dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun rambutnya terlindung.

Jika seseorang wanita itu memakai Jilbab (jubah) yang mempunyai motif dibahagian dada yang boleh menarik perhatian, maka ini adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun Jilbab adalah pakaian yang syar’i.

Oleh yang demikian, berpakaian menutupi aurat, tetapi menarik perhatian adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Manakala berpakaian dengan membuka aurat adalah sama sekali dilarang  samada ia menarik perhatian ataupun tidak.

Dalil tentang perkara ini adalah;

“Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” [TMQ An-Nur (24):31].

Seseorang wanita itu dilarang untuk berjalan dengan cara yang boleh menarik perhatian kearah gelang kakinya walaupun kakinya tertutup. Oleh itu, berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang.

Kesimpulan: Berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Berpakaian dengan cara yang membuka aurat adalah sama sekali dilarang, tidak kira samada ia menarik perhatian ataupun tidak. Sudah semestinya membuka aurat adalah sesuatu yang dilarang.

Oleh itu, berpakaian walaupun dengan cara yang dibenarkan tetapi menarik perhatian seperti yang diterangkan diatas, adalah Tabarruj dan dilarang. Ini hanya boleh diketahui dari keadaan dan realiti persekitaran dimana wanita tersebut tinggal dan untuk mengetahui kebiasaan disana tidak sukar kerana komuniti – lelaki dan wanita boleh menilai dan mengetahuinya. 

Menarik perhatian adalah penentu samada berpakaian itu adalah Tabarruj atau pun tidak.  Manakala berpakaian yang tidak menutup aurat pula bukan terletak pada hukum Tabarruj, tetapi pada hukum aurat dan dalil-dalilnya adalah jelas, dimana seseorang wanita itu dilarang untuk membuka auratnya ,walaupun tidak menarik perhatian. Allah Subhanahu wa Taala berfirman :

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka …..” [TMQ An-Nur (24) : 31]

“kecuali yang (biasa)  nampak daripadanya”  bererti muka dan dua tapak tangan seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (semoga Allah merahmatinya), Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam,  pernah bersabda,
“Jika seorang anak  perempuan itu telah baligh, hanya muka dan kedua tapak tangannya yang boleh kelihatan.” [Riwayat Abu Dawud]

Oleh yang demikian,  menurut dalil-dalil yang diberi, seseorang wanita itu tidak boleh memperlihatkan selain dari muka dan dua tapak tangannya kecuali kepada suami dan mahramnya.  Inilah kewajipan  untuk memakai Khimar yang sesuai untuk menutupi rambut dan leher dan melabuhkannya kedada, supaya tiada yang kelihatan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Allah Subhanahu wa Taala  berfirman;
      
“Dan hendaklah mereka menutup kain tudung kedadanya…” [TMQ Al-Nur (24) : 31]

Yang bermaksud melilit tudung ke bahagian pembukaan baju supaya leher tidak kelihatan dan tudung akan menutupi  bahagian kepala, telinga dan leher, hanya kelihatan muka dan tapak tangan sahaja.

AURAT WANITA MUSLIMAH MENURUT SYARA'



Pembahasan tentang masalah aurat wanita Islam tidak pernah sunyi dari diperkatakan. Malangnya, apa yang mendukacitakan adalah sering kali penjelasan tentangnya tidak berlandaskan nas yang sahih sebaliknya hanyalah takwilan yang dilatari hawa nafsu serta kebencian kepada sumber yang qat’ie. Sebahagian kaum Muslimah yang telah dirasuk pemikiran kufur turut mempertikaikan kewajaran pemakaian tudung yang juga dipanggil ‘hijab’ dengan menganggap menutup kepala sebagai menutup akal. Contoh golongan ini adalah seperti Pengurus Program Sisters In Islam (SIS), Norhayati Kaprawi dalam sesi dialog Islam Liberal di Hotel Selesa, Pasir Gudang yang berkata bahawa pakaian taqwa itu lebih baik dari menutup aurat.

Ada juga yang beranggapan menutup aurat adalah penyebab kemunduran umat Islam. Ahmad Reda yang merupakan penyeru agar ditumbangkan sistem pemerintahan Islam di Turki menganggap bahawa selagi lelaki dan wanita Turki tidak bercampur bebas dan membuka hijabnya maka tiada kedaulatan undang-undang dan kebebasan di Turki [Rujuk al-Ittijah al-Wataniah fi al-Adab al-Mu’sir, Jil. 2, ms273). Manakala Taha Husin dari Mesir menyatakan dalam bukunya ‘Mustaqbal al-Thaqafah fi Misr’: “Kita mesti mengikut jejak langkah orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamadunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicaci.” Baginya menutup aurat perlu ditentang kerana ianya berbeza dengan Barat. Dr. ‘Imad ‘Abd Hamid An-Najar dalam Jaridah al-Akhbar pula menyatakan: “Adapun mengenai hijab dan percampuran antara wanita dan lelaki dalam kehidupan harian, ini adalah perkara yang boleh ditentukan oleh sesebuah masyarakat berdasarkan keadaannya. Bagi setiap masyarakat ada pakaian dan cara-cara yang memudahkan individunya. Apa yang disebut di dalam al-Qur’an mengenai hijab adalah khusus untuk isteri-isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Hukum-hakam ini bukanlah semestinya berkaitan dengan seluruh wanita.”

Demikianlah di antara sebahagian penentangan-penentangan terhadap hukum Allah yang ditunjukkan oleh kumpulan atau individu yang sudah teracun oleh pemikiran kufur Barat. Di samping itu, masih terdapat ramai juga wanita Muslim yang masih tidak tahu, tidak faham atau salah faham dengan cara-cara menutup aurat secara syar’ie di dalam kehidupan mereka. Justeru, mereka terjatuh di dalam dosa dan keharaman. Justeru, hukum menutup aurat ke atas Muslimah ini mestilah diperhatikan betul-betul agar kita tidak terjerumus ke dalam kesesatan dan dosa.

Dalil-dalil tentang Aurat Wanita

(i) Batasan aurat wanita
Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup. Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [TMQ An-Nur (24):31].

Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa", maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316].

Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].

Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan.

Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu alaihi wa Sallam sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani, 1990:45].

Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah  kepada Asma’ binti Abu Bakar,

“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” [HR Abu Dawud]

(ii) Aurat Wanita dalam Hayaatul ‘Am (Kehidupan Umum/Public Life)
Yang dimaksudkan dengan hayaatul ‘am adalah keadaan di mana wanita itu berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka bercampur dengan masyarakat. Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar rumahnya terdiri dari dua jenis iaitu

(a) libas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan
(b) libas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).

Dengan dua pakaian inilah seseorang wanita itu boleh berada dalam kehidupan umum seperti di jalanan, di pasar-pasar, pasar raya, kampus, taman-taman, dewan orang ramai dan seumpamanya. Dalil wajib memakai jilbab bagi wanita adalah berdasarkan firman Allah,

“Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [TMQ Al-Ahzab (33):59].

Oleh sebab Al-Quran adalah berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan Arab, maka kita hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang diperintahkan oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu, perincian tentang pakaian ini telah pun dijelaskan di dalam banyak hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap orang.

Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).

Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab) adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar [di dalamnya masih ada pakaian dalam (pakaian rumah) atau pakaian sehari-hari tetapi bukan hanya coli dan seluar dalam] lalu diulurkan ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita disyariatkan/diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada.

Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,

“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].

Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya menuju ke kehidupan am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti. 

(iii) Pakaian wanita dalam Hayatul Khassah (Kehidupan Khusus/private life)
Yang dimaksudkan dengan hayatul khassah adalah keadaan di mana seseorang wanita itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama dengan anggota keluarganya yang lain.

Adapun cara seorang Muslimah menutupi auratnya di hadapan lelaki ajnabi dalam kehidupan khusus seperti di rumahnya atau di dalam kenderaan peribadi, syarak tidak menentukan bentuk/fesyen pakaian tertentu tetapi membiarkan secara mutlak tanpa menentukannya dan cukup dengan mencantumkan lafaz dalam firman-Nya,

“wa laa yubdiina” (“dan janganlah mereka menampakkan”) [Surah An-Nur:31]

atau sabda Nabi,

“lam yashluh an yura minha” (“tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya”) [HR Abu Dawud].

Jadi, pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak tangan dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Tetapi ia adalah tertakluk kepada hukum tabarruj (sila lihat perbincangan di bawah).

Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar'i, tanpa melihat lagi bentuk, jenis, atau fesyennya. Namun demikian syara' telah mensyaratkan dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui. Jika tidak demikian, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup aurat dan haram hukum memakainya.

(iv) Wajib memakai tsaub, di samping jilbab

Tsaub ialah ‘pakaian di rumah’ iaitu pakaian yang dipakai oleh wanita di hadapan mahramnya semasa berada dalam hayatul khassah (kehidupan khusus) tatkala tiada lelaki ajnabi (lelaki asing) di dalamnya. Dalil mengapa wajib mengenakan tsaub di dalam jilbab ialah berdasarkan firman Allah,

“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haidh dan mengandung) yang tiada ingin berkahwin (lagi) tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian (tsiyab) mereka, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka” [TMQ An-Nur (24):60].

Ayat ini membenarkan wanita yang telah putus haid dan tiada keinginan berkahwin menanggalkan atau melepaskan pakaian (tsaub). Ini bermakna, jika tiada ‘pakaian’ di dalam jilbab, bermakna wanita yang telah putus haid berkenaan akan berbogel, walhal berbogel tidak dibolehkan. Justeru, tsaub adalah ‘pakaian dalam’ (pakaian rumah) yang wajib dipakai oleh Muslimah di samping jilbab (pakaian luar) di dalam hayatul am atau di dalam hayatul khas tatkala ada lelaki ajnabi. [Rujuk Imam Muhammad Abu Zahrah dalam kitab Usulul Fiqh:164-147, Abdul Wahab Khallaf kitab Ilmu Usul Fiqh:143-153 dan Sheikh Taqiuddin an-Nabhani dalam kitab As-Syahsiyyah Al-Islamiyyah Juz. 3:178-179].

Larangan Bertabarruj
Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An-Nur (24):60 iaitu Firman Allah,

“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan mengandung] yang tiada ingin kawin [lagi], tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan perhiasan (tabaruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [TMQ An Nur(24):60]

Mafhum muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini adalah jika perempuan tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj, apatah lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah

“Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [TMQ Al-Ahzab (33):33]

Dan Hadis Rasulullah  riwayat dari Bazzar dan At-Termizi menjelaskan,

“Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya.”

Abul A’la al Maududi berkata:

“Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna-

(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);

(ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman semerbak. "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].

Khatimah
Sesungguhnya aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang paling penting ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat dalam hayatul khassah (kehidupan khusus) dan hayatul am (kehidupan umum) menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita sama ada belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian. Memetik kata-kata Sheikh Ali Thantawi:

"Terdapat perbezaan yang besar antara seorang yang terjaga lewat pagi kemudian terus bergegas untuk keluar bekerja. Disebabkan kesibukan menjalankan tugas, beliau tidak berkesempatan untuk makan dan minum sehingga tibanya waktu malam, sementara seorang yang lain yang turut mengalami keadaan berlapar dan dahaga tetapi telah berniat untuk berpuasa, telah mendapat pahala daripada amalannya disebabkan niatnya, sementara orang yang pertama tidak memperoleh apa-apa sedangkan dia turut berlapar dan dahaga. Begitulah keadaannya dengan amalan-amalan kebiasaan yang lain, bilamana diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala akan memperolehi pahala dari Nya, sebaliknya jika dilakukan sebagai rutin hidup, dia tidak akan memperoleh apa-apa".

Wallahu ‘alam bi sawab.

15 January 2010

HUKUM MENGUBAH JANTINA





Pembedahan merubah kelamin/jantina (taghyir al-jins) adalah pembedahan untuk mengubah jenis kelamin dari lelaki menjadi perempuan atau sebaliknya. Pengubahan jenis kelamin lelaki menjadi perempuan dilakukan dengan memotong zakar dan testis, kemudian membentuk kelamin perempuan (vagina) dan membesarkan payudara. Manakala, pengubahan jenis kelamin perempuan menjadi lelaki, dilakukan dengan memotong payudara, menutup saluran kelamin perempuan dan menanamkan organ genital lelaki (zakar). Pembedahan ini juga disertai dengan terapi psikologis dan terapi hormonal. (M. Mukhtar Syinqithi, Ahkam Al-Jirahah Al-Thibbiyah, hal. 199).

Hukum pembedahan mengganti kelamin adalah haram, berdasarkan dalil Al-Qur`an dan As-Sunnah. (M. Mukhtar Syinqithi, Ahkam Al-Jirahah Al-Thibbiyah, hal. 199; Fahad Abdullah Hazmi, Al-Wajiz fi Ahkam Al-Jirahah Al-Thibbiyyah, hal. 12; Walid bin Rasyid Sa’idan, Al-Ifadah al-Syar’iyah fi Ba’dh Al-Masail al-Thibbiyyah, hal. 128).

Dalil Al-Qur`an firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan aku (syaithan) akan menyuruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu mereka benar-benar mengubahnya". (Surah An-Nisaa` [4] : 119). Ayat ini menjelaskan tentang usaha syaitan mengajak manusia untuk melakukan berbagai perbuatan maksiat. Di antaranya ialah mengubah ciptaan Allah (taghyir khalqillah). Pembedahan mengubah kelamin termasuk mengubah ciptaan Allah, kerana dalam pembedahan ini terdapat tindakan memotong zakar, testis dan payudara. Maka sebab itu, pembedahan mengubah dan mengganti kelamin hukumnya haram.

Dalil sebuah hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a bahawa ; "Rasulullah SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan melaknat wanita yang menyerupai lelaki." (HR. Bukhari). Hadis ini mengharamkan perbuatan lelaki menyerupai wanita atau perbuatan wanita menyerupai lelaki. Maka, pembedahan mengganti kelamin haram hukummya, kerana menjadi perantaraan (wasilah) bagi lelaki atau perempuan yang melakukan pembedahan tersebut untuk menyerupai lawan jenisnya. Kaedah fiqh menyebutkan ; "Al-Wasilah ila al-haram muharromah." (Segala perantaraan menuju yang haram hukumnya haram juga). (Fahad Abdullah Al Hazmi, Taqrib Fiqih Al-Thabib, hal. 74; M. Utsman Syabir, Ahkam Jirahah At-Tajmil, hal. 19).

Pembedahan mengganti kelamin juga merupakan dosa besar (kaba`ir), sebab salah satu kriteria dosa besar adalah adanya laknat (kutukan) dari Allah dan Rasul-Nya. (Imam Dzahabi, Al-Kaba`ir, hal. 5; Imam Qurthubi, Tafsir Al-Qurthubi, Juz V/120; Ibnu Taimiyah, Majmu’ Al-Fatawa, Juz 11/650).

Yang berdosa bukan hanya orang yang mengganti kelamin, tetapi juga semua pihak yang terlibat di dalam pembedahan itu, baik langsung mahupun tidak, seperti doktor atau ahli hukum yang mengesahkan pembedahan tersebut. Semuanya turut berdosa dan akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah pada Hari Kiamat kelak, kerana mereka telah tolong-menolong dalam berbuat dosa. Padahal Allah SWT berfirman yag bermaksud : "Dan janganlah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran." (Surah Al-Maa`idah [5] : 2).


Adapun pembedahan penyempurnaan kelamin (takmil al-jins) hukumnya boleh. Hal ini berlaku bagi orang yang memiliki alat kelamin ganda, iaitu mempunyai 2 kelamin sekaligus. Pembedahan ini hukumnya mubah, (harus) berdasarkan keumuman dalil yang menganjurkan berubat (al-tadawiy). Nabi SAW bersabda ; "Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, kecuali Allah menurunkan pula ubatnya." (HR. Bukhari, no.5246).  

Wallahu a'lam.

03 December 2009

PERCAMPURAN ANTARA LAWAN JENIS


 http://www.mykhilafah.com/images/muslimah/FIKIH-MUSLIMAH/ibadah-haji.jpg
Menurut ajaran Islam, prinsip asas interaksi antara lelaki dan perempuan adalah terpisah. Ini bermakna, di dalam seluruh aspek kehidupan dan di semua tempat samada di tempat khusus ataupun di tempat umum, interaksi antara lelaki dan perempuan secara umumnya adalah dilarang. Banyak dalil yang menunjukkan hukum pemisahan antara dua jantina ini, dan banyak hadis yang menjelaskan hukum berkaitan hal ini samada ada di tempat umum mahupun khusus (seperti di rumah dsb):

Abu Dawud telah meriwayatkan hadis-hadis seperti di bawah:

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, "Barisan yang terbaik untuk lelaki adalah barisan hadapan, ( yang paling jauh dari barisan wanita) dan barisan yang paling baik untuk wanita adalah di barisan belakang dan yang terburuk adalah di hadapan (paling hampir dengan barisan lelaki)." [HR Abu Dawud]

Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam melihat kaum lelaki dan perempuan di luar masjid bergerak bersebelahan antara satu sama lain. Beliau (Sallallahu Alaihi wa Sallam) menahan kaum perempuan lalu berkata, " Adalah tidak elok untuk kalian berjalan di tengah-tengah laluan ini, adalah lebih baik bagi kalian untuk berjalan mengikuti tepi-tepi dinding." [HR Abu Dawud]

Di dalam Sunan Abu Dawud, muka surat 284, Hadis No 4931, diriwayatkan dengan kebenaran Saidatina Aisha Radiallahu anha, beliau berkata: "Aku selalu bermain dengan teman-temanku dan tatkala Rasulullah masuk, mereka(teman-temanku) akan pergi dan apabila beliau(Sallallahu Alaihi wa Sallam) keluar, mereka akan kembali semula."

Di dalam Sunan Abu Dawud , Hadis No. 4933, diriwayatkan bahawa Aishah Radiallahu anha berkata: "Rasulullah mengahwiniku pada usia tujuh tahun dan kami mengadakan hubungan di usia sembilan tahun dan apabila aku berpindah ke Madinah, segolongan wanita mempersiapkan ku untuk majlis perkahwinan ku dan tidak pernah sekali-kali mereka mahupun aku, bercampur dengan lelaki di dalam rumah yang dipenuhi wanita. Pihak wanita menyambutku dan pihak lelaki menyambut Rasulullah dan kemudian kami masuk ke rumah."

Di dalam Sunan Abu Dawud Vol. 4, muka surat 370, Hadis No. 5273, diriwayatkan dengan kebenaran Nafih bahawa Muhammad Sallahu Alaihi wa Sallam bersabda, "Usah berjalan di antara dua lelaki ataupun di antara dua wanita di satu lorong." [HR Abu Dawud]

Ini bermakna, secara umumnya umat Islam perlu mengelakkan dari membuat sebarang hubungan dengan pihak yang berlainan jantina, sama ada dengan sesama Muslim ataupun bukan Muslim. Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian ke atas aturan umum ini, di mana percampuran atau interaksi di antara lelaki dan wanita dibenarkan dalam beberapa keadaan.

Sebagai contoh, adalah dibenarkan bagi lelaki dan wanita yang mahram antara satu sama lain untuk bergaul dengan bebas untuk sebarang tujuan yang dibenarkan Islam. Begitu juga, terdapat keadaan tertentu dimana di benarkan bagi lelaki bukan mahram dan seorang perempuan untuk berinteraksi, umpamanya bagi tujuan dakwah (mengajak kepada Islam). Walaubagaimanapun, jenis pergaulan yang dibenarkan pada keadaan ini, bukanlah bebas, dan ianya terhad mengikut aturan dan batasan-batasan tertentu yang dibenarkan oleh Syara'. Kaum Muslim hendaklah memahami akan hukum-hakam dan batasan ini, sebelum terlibat dalam pergaulan atau interaksi itu tadi.

Hukum-hakam yang berkaitan dengan pergaulan juga adalah berbeza mengikut tempat di mana pergaulan itu berlaku

Dalam sesebuah masyarakat Islam, terdapat dua keadaan atau tempat di mana lelaki dan wanita berhimpun antara satu sama lain, yang mana penjelasannya agak berbeza dari segi hukum yang berkaitan dengannya. Sifat interaksi di antara manusia di dalamnya mungkin melibatkan percampuran diantara lelaki sahaja, wanita sahaja, dan diantara kedua-dua lelaki dan wanita. Ini adalah:

Tempat umum - Ini melibatkan tempat atau kawasan di mana sesiapa sahaja boleh berada di tempat itu tanpa perlu keizinan iaitu masjid-masjid, jalanan, lorong-lorong dan sebagainya.

Tempat khusus - Ini melibatkan tempat atau kawasan di mana keizinan adalah diperlukan sebelum seseorang memasukinya, seperti rumah. Di tempat sebegini, adalah dilarang dari memasuki tanpa keizinan pemiliknya, meskipun hanya untuk menjenguk apa yang ada didalamnya. Sahl ibnu Sa'ad meriwayatkan, "Seorang lelaki mengintai melalui sebuah lubang yang menembusi rumah Rasulullah ketika baginda sedang menggaru kepalanya menggunakan sikat besi kepunyaannya. Beliau(Sallallahu Alaihi wa Sallam) berkata, " seandainya aku sedar kamu sedang mengintai melalui lubang itu, akan aku cucuk matamu dengan sikat ini. Sesungguhnya, arahan untuk meminta kebenaran bagi memasuki rumah yang berpenghuni telah dikaitkan dengan kisah ini (iaitu seseorang tidak sepatutnya melihat keadaan orang lain tanpa kebenaran)." [Riwayat Bukhari]

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu selalu ingat. Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: "Kembali sajalah", maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." [TMQ An Nur:27-28]

Dari ayat ini dapat disimpulkan bahawa tempat yang dianggap seperti rumah dan di namakan tempat khusus adalah satu kawasan di mana tiada seorang pun dari luar yang boleh memasukinya kecuali dengan keizinan. Di tempat seperti ini, wanita mempunyai hukum khusus, iaitu dinamakan sebagai hukum dalam kehidupan khusus. Ia merujuk kepada tempat yang dianggap rumah atau tempat tinggal. Ia dibandingkan melalui analogi iaitu tempat-tempat yang tidak dibuka untuk orang awam atau kawasan-kawasan yang mana tidak ada sesiapa dibenarkan memasukinya kecuali setelah mendapat keizinan. Walaubagaimanapun, jika tempat-tempat itu boleh dilihat oleh orang luar contohnya kerana ia diperbuat dari kaca lutsinar, yang mana isinya terdedah kepada umum, maka ia dianggap sebagai tempat umum. Begitu juga dengan tempat-tempat yang terbuka kepada orang umum, yang mana sesiapa yang mempunyai permasalahan atau urusan boleh memasukinya tanpa keizinan, seperti pejabat-pejabat adalah tertakluk kepada hukum dalam kehidupan umum.

Islam menjelaskan hukum-hakam yang mengatur hubungan di antara lelaki dan wanita di setiap jenis keadaan ini.

Kehidupan Khusus (Hayat al-khassah)

Ini meliputi pergaulan manusia apabila berada di tempat khusus. Hukumnya di sini adalah percampuran (ikhtilath) antara lelaki dan wanita bukan mahram, secara umumnya adalah dilarang. Namun begitu, Syara' membolehkan percampuran berlaku di dalam sesuatu keadaan yang tertentu. Di dalam semua keadaan tersebut, seorang wanita tidak dibenarkan berkhalwat(bersunyi-sunyian) dengan seorang lelaki bersendrian. Keadaan tersebut adalah:

1) Perubatan: Adalah dibenarkan bagi lelaki dan wanita berinteraksi dengan tujuan melakukan rawatan perubatan. Para Sahabiyah biasa merawat para Sahabat dan Rasulullah membenarkannya.

2) Dakwah: Adalah dibenarkan bagi lelaki dan perempuan untuk hadir di dalam satu kelas yang sama seandainya tujuan percampuran mereka itu adalah untuk mempelajari tentang Islam ataupun jenis ilmu pelajaran yang lain yang dibenarkan oleh Syara'. Adik kepada Umar Radiallahu anhu sedang diajar ilmu al Quran oleh Khabab ibnu Arrat radiallahu anhu bersama suaminya tatkala Umar masuk ke rumah mereka. Telah diriwayatkan bahawa Ummu Salamah dan Aishah Radiallahu anha juga sering melakukan dakwah ke atas lelaki dan wanita.

3) Perkahwinan: Sekiranya seorang lelaki berkeinginan untuk memperisterikan seseorang wanita itu, adalah beliau dibenarkan untuk berbicara dengan wanita itu tentang hal peribadi wanita itu dan berkenaan perkahwinan mereka. Seorang lelaki telah datang kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk menanyakan tentang perihal wanita yang ingin dinikahinya, dan Rasulullah menyuruh beliau pergi bertemu wanita itu, iaitu menemuinya bersama Mahramnya.

4) Tekanan atau kecemasan: Dalam keadaan darurat atau berlaku kecemasan seperti gempa bumi, peperangan atau taufan, percampuran yang sepatutnya adalah dibenarkan antara lelaki dan perempuan dalam tindakan untuk menyingkirkan sebarang bahaya atau ancaman.

5) Penangkapan oleh Negara: Dalil kepada perkara ini adalah dari Uthman dan Umar Radiallahu anhu berkata, "Wahai kaum wanita, tutupilah diri kalian, kami akan masuk" dan beliau memasuki rumah itu dengan tenteranya untuk menangkap seseorang dan terdapat Ijma' Sahabat (kesepakatan para sahabat) ke atas perkara ini.

6) Jamuan makan: Dalam Surah an Nur, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

" Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu makan(bersama-sama mereka) di Rumah kamu sendiri, atau di Rumah bapa kamu, atau di Rumah ibu kamu, atau di Rumah saudara kamu Yang lelaki, atau di Rumah saudara kamu Yang perempuan, atau di Rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di Rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di Rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di Rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di Rumah Yang kamu kuasai kuncinya, atau di Rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asingan. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa Yang seperti) kamu Dengan memohon kepada Allah cara hidup Yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya." [TMQ an Nur24:61]

Bagi lelaki dan wanita untuk makan bersama-sama adalah dibenarkan di tempat yang telah dinyatakan dalam ayat di atas seperti rumah bapamu atau sahabatmu sebagaimana ayat, " tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asingan."

Namun demikian, manusia hendaklah berhati-hati iaitu walaupun makan bersama dengan wanita di rumah teman-teman di bolehkan, tetapi mereka mesti meninggalkan tempat itu sebaik selesai makan dan berwaspada terhadap ikhtilath iaitu pergaulan dengan lawan jenis yang mungkin akan melampaui batasan yang dibenarkan syarak.

7) Silaturahim (mengekalkan hubungan persaudaraan): Adalah dibenarkan bagi sanak-saudara bukan mahram untuk duduk bersama dengan bukan mahram mereka(orang-orang yang boleh dinikahi) semata-mata bagi tujuan Silaturahim selagi ianya bukan berkhalwat(bersunyi-sunyian). Terdapat beberapa hadis yang menitikberatkan tentang mengekalkan hubungan baik dengan sanak-saudara.

Telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersabda: "Sesiapa yang menginginkan dirinya dikurniakan lebih kekayaan dan umurnya dipanjangkan, maka hendaklah dia mengekalkan hubungan baik dengan sanak-saudaranya." [HR MUslim]

Juga telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu anhu, sesungguhnya Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk hingga ketika selesai menciptakannya berdirilah rahim dan berkata, " Ini adalah tempat bagi orang yang berlindung kepada-Mu dari memutuskan silaturahmi. "Allah berfirman, "Benar, apakah engkau senang jika aku menyambungkanmu dan memutuskan orang yang memutuskanmu?" Rahim berkata, "Tentu sahaja aku sangat senang." Allah berfirman, " Maka itu untukmu." [Mutafaq 'alaih]

Kehidupan Umum (Hayat al-Ammah)

Ini adalah berkenaan perlakuan manusia di tempat umum. Sekali lagi, hukum asas adalah bahawa pergaulan di antara bukan mahram lelaki dan wanita adalah dilarang secara umumnya. Walaubagaimanapun, syarak membenarkan dalam pergaulan(dari segi keberadaan di tempat yang sama) itu berlaku di dalam beberapa keadaan tertentu. Di dalam semua keadaan ini, kehadiran mahram seseorang wanita itu tidak menjadi pra-syarat pada ketika itu. Kawasan atau tempat- tempat ini dapat dikategorikan secara kasarnya termasuk:

1) Ibadah Haji: Berdasarkan perlakuan Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.

2) Jual beli atau Sewaan: Ini termasuk di pasar-pasar/kedai, membeli, menyewa, meminjam dan memberi pinjam. Tarmidzi meriwayatkan sesungguhnya Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam berdagang dengan wanita, dan Abu bakar melihat Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam berniaga dengan seorang wanita.

3) Pekerjaan: Seandainya keperluan pekerjaan itu memerlukan seseorang untuk bergaul, maka ia dibolehkan. Pekerjaan termasuk mencari pekerjaan seperti temuduga. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam membenarkan isteri Zubair ibnu Awwam untuk bekerja. Beliau (isteri Zubair) membawa air untuk para lelaki dan wanita. Sallallahu Alaihi wa Sallam bahkan menawarkan unta baginda untuk membantunya.

4) Urusan kehidupan harian: Ini termasuk interaksi yang tidak dapat dielakkan antara lelaki dan wanita seperti di jalanan, pasar-pasar, kedai-kedai makan dan sebagainya.

Kes-kes tertentu dalam Kehidupan umum

Terdapat tempat khusus di mana hukum kehidupan khusus (hayat al-khassah) diguna pakai, seperti rumah-rumah. Terdapat juga tempat-tempat umum yang mana hukum dalam kehidupan umum terpakai seperti di pasar-pasar. Terdapat pula tempat-tempat umum yang mempunyai hukum yang khusus dalam memisahkan lelaki dan wanita, seperti di masjid-masjid dan hadirin yang mendengar ceramah umum di dewan-dewan kuliah dan beberapa keadaan yang lebih kurang sama.

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, "Barisan yang terbaik untuk lelaki adalah barisan hadapan (yang paling jauh dari wanita) dan barisan yang paling baik untuk perempuan adalah barisan belakang dan yang terburuk adalah barisan hadapan(betul-betul di belakang lelaki)." [Riwayat Abu Daud]

Di dalam Abu Daud kitab Al Salat, vol 1, dalam bab pemisahan, telah driwayatkan bahawa Umar bin Al Khattab Radiallahu anhu berkata: "Binalah pintu yang berbeza untuk perempuan di dalam masjid-masjid."

Oleh itu, tidaklah menjadi satu syarat bahawa lelaki dan wanita perlu dipisahkan ketika urusan jual-beli di pasar. Tetapi di masjid-masjid dan dewan-dewan kuliah, pemisahan antara lelaki dan wanita adalah sesuatu yang dituntut. Rasullullah Sallallahu Alaihi wa Sallam biasa berucap kepada hadirin lelaki dan wanita di satu masjid di Madinah, lelaki duduk di bahagian hadapan dan wanitanya di belakang. Begitu juga, di rumah-rumah sakit atau hospital, bahagian lelaki mesti dipisahkan dari bahagian wanita.

Di dalam semua keadaan yang dinyatakan tadi, apabila lelaki dan wanita dihimpunkan di dalam satu tempat, tidak boleh berlaku ikhtilath iaitu percampuran atau pergaulan bebas, di mana lelaki dan wanita itu bercampuran dan berinteraksi antara satu sama lain. Hukum umumnya adalah sebarang hubungan di antara lawan jenis perlu di kurangkan seminima mungkin dimana jika ada sebarang hubungan antara mereka, hendaklah ianya terbatas kepada urusan yang sedang dilaksanakan. Maka, di dalam Negara Islam, akan ada pemisahan tempat lelaki dan wanita, sebagai contohnya, di dalam kenderaan awam seperti keretapi, bas dan sebagainya.

Di dalam sebarang keadaan juga, aktiviti yang sedang dilaksanakan mestila yang halal (dibenarkan syarak). Begitu juga pergaulan antara lelaki bukan mahram dan wanita untuk tujuan keseronokan, aktiviti masa lapang ataupun berhibur adalah ditegah sama sekali. Dengan demikian, isu seperti hubungan teman lelaki/wanita, “dating”, ataupun berhibur sambil ditemani wanita bukan mahram adalah haram hukumnya. Namun begitu, Islam tidak melarang aktiviti-aktiviti yang disebutkan itu (berseronok, berhibur) selagi mana ianya dilakukan dalam lingkungan rumahtangga.

Majlis perkahwinan

Percampuran (ikhtilath) adalah dilarang kecuali ada keperluan yang di benarkan oleh Syara' iaitu seperti apa yang tertulis di dalam Kitabullah atau as Sunnah seperti membeli,menjual ataupun silaturrahim.

Tiada dalil menjelaskan tentang percampuran antara lelaki dan wanita dalam majlis walimah. Sebaliknya, apa yang disebutkan sewaktu hayat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para Sahabat adalah kebiasaannya para wanita duduk-duduk dengan mempelai wanita manakala kaum lelaki bersama-sama dengan lelaki-lelaki lain. Maka, percampuran dalam majlis walimah adalah haram dan tidak ada pengecualian ke atasnya.

Di dalam Sunan Abu Daud , Hadis No. 4933, diriwayatkan bahawa Aisha Radiallahu anha berkata: "Rasulullah mengahwiniku pada usia tujuh tahun dan kami mengadakan hubungan di usia sembilan tahun dan apabila aku berpindah ke Madinah, segolongan wanita mempersiapkan ku untuk majlis perkahwinan ku dan tidak pernah sekali-kali mereka mahupun aku, bercampur dengan lelaki di dalam rumah yang dipenuhi wanita. Pihak wanita menyambutku dan pihak lelaki menyambut Rasulullah dan kemudian kami masuk ke rumah."

Apa yang telah dinyatakan ini adalah merujuk kepada perarakan majlis walimah semasa pengantin perempuan di bawa ke rumah suaminya. Adalah dibenarkan bagi pengantin lelaki untuk membawa isterinya ke rumah pihak lelaki dan kemudiannya, pihak lelaki hendaklah dipisahkan dari kaum wanita seperti mana yang telah dilakukan dan dibenarkan pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Perkara ini berlaku di luar rumah, maka ia termasuk di dalam hukum dalam kehidupan umum (hayat al-ammah).

Khalwat (Bersunyi-sunyian)

Khalwat membawa erti berkumpulnya seorang lelaki dan perempuan bukan mahram secara berdua-duaan atau bersunyi-sunyian tanpa di temani oleh mahram mereka atau orang lain. Ini boleh terjadi di tempat khusus mahupun tempat umum. Di dalam mana-mana salah satu keadaan tempat (umum atau khusus), berkhalwat adalah ditegah sama sekali di sisi Islam. Maka kedua-dua lelaki ataupun wanita yang melakukannya adalah berdosa.

Khalwat di tempat khusus: Perkara ini berlaku di mana-mana tempat yang yang memerlukan kebenaran untk memasukinya, seperti rumah kediaman atau bilik tidur.

Khalwat di tempat umum: Perkara ini berlaku di mana-mana tempat umum yang mana tidak menjadi laluan orang lain ( tempat sunyi). Sebagai contoh, di dalam hutan atau di dalam bilik yang terasing di pejabat-pejabat.

Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, "Janganlah seorang laki-laki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan." [HR Muslim]

Dari Bukhari di riwayatkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, "Janganlah sekali-kali seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali jika wanita itu disertai mahramnya. Tidak boleh pula seorang wanita melakukan perjalanan kecuali disertai mahramnya." Tiba-tiba salah seorang sahabat berdiri dan berkata ' Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteriku hendak pergi menunaikan ibadah haji, sedangkan aku sudah ditugaskan ke peperangan anu dan anu.' Rasulullah menjawab, "Pergilah engkau dan tunaikan ibadah haji bersama isterimu." [HR Muslim]

Malu dan menundukkan pandangan

Sebahagian dari syarat untuk mengekalkan maruah dan kehormatan para lelaki dan wanita di dalam Islam adalah hukum tentang bagaimanakah pandangan mereka antara satu sama lain. Adalah di larang(berdosa) bagi seorang lelaki untuk merenung seorang perempuan dengan pandangan yang berahi kecuali terhadap isterinya. Begitu jugalah hukum seorang wanita Islam memandang lelaki.

Bahkan, penekanannya adalah dalam menundukkan pandangan jauh di antara lawan jenis ketika berhadapan dengan mereka di tempat seperti jalanan atau pasar-pasar.

Allah subhanahu wa Ta'ala berfirman: "Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [TMQ an Nisa'24:30-31]

Dari Jabir ibnu Abdullah meriwayakan, "Aku pernah bertanya pada Sallallahu Alaihi wa Sallam mengenai pandangan yang tiba-tiba (tidak disengajakan). Maka Baginda (SAW) menyuruhku untuk memalingkan pandanganku." [HR Muslim]

Ini menunjukkan bahawa hukum atau pengaturan bagaimana lelaki Muslim memandang wanita Muslim adalah sangat berbeza dengan cara Barat memandang wanita. Di Barat, wanita dilihat sebagai objek seksual dan perasaan hormat terhadap wanita di Barat hampir tiada sama sekali. Malahan, jika adapun rasa hormat itu, kriteria asasnya lebih tertumpu kepada sifat fizikal luaran semata, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [TMQ at Taubah9:71]

Khatimah

Aspek Sistem Sosial dalam sebuah Negara Islam ini akan mencegah exploitasi kaum wanita dalam pornografi, mahupun pengunaan tubuh badan wanita untuk tujuan pengiklanan bagi melariskan sesuatu produk. Tambahan pula dalam media secara umumnya, sama ada di kaca-kaca televisyen, majalah-majalah, surat khabar-surat khabar serta filem-filem, tidak ada lelaki mahupun perempuan yang akan digambarkan peranan mereka dengan cara mendedahkan aurat mereka, ataupun terlibat dengan aktiviti yang ditegah dalam Islam.

Dengan itu, adegan-adegan seksual yang diperbesarkan oleh media-media seperti yang dihadapi oleh masyarakat Barat, dan imej songsang kaum lelaki dan wanita yang terbina dalam pemikiran masyarakat disebabkan adegan-adegan ini, tidak akan pernah ada dalam sebuah Negara Islam.

Sumber: Islamic Revival (Usul and Fiqh)

BILAKAH MENGUMPAT DIBENARKAN?

http://radenmulyawan.files.wordpress.com/2009/08/wanita-solehah.jpg
Soalan :
Seringkali kita diperdengarkan tentang haramnya mengumpat atau bercerita tentang hal orang lain (ghibah). Namun begitu, apakah benar ghibah adalah haram untuk semua keadaan?

Jawapan :
Berdasarkan dalil-dalil berkenaan Ghibah, para ulama dan sebahagian besar mereka bersepakat bahawa secara umumnya mengumpat (Ghibah) adalah haram . Ghibah dibolehkan untuk tujuan yang sah mengikut syari’at, di mana ada permasalahan yang  tidak dapat diselesaikan kecuali hanya dengan melakukan ghibah tersebut.

Ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah yang membenarkan dan tidak melarang Ghibah pada keadaan tertentu seperti yang disebutkan  dalam dalil-dalil di bawah.  Terdapat enam situasi yang membolehkan Ghibah dilakukan:

Pertama, mengadukan kezhaliman (at-tazhallum). Boleh bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang menimpa dirinya kepada penguasa, qadhi, atau yang memiliki kekuasaan hukuman ataupun pihak yang berwajib lainnya. Ia dapat menuntut keadilan ditegakkan, misalnya dengan mengatakan Si Fulan telah melakukan kezaliman terhadapku dengan cara seperti ini dan itu

Kedua, permintaan bagi membantu mencegah kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar (al isti’ânah ‘ala taghyîril munkar wa raddal ‘âshi ila ash shawâb). Seseorang itu boleh menceritakan kepada orang yang boleh diharapkan untuk mencegah kemungkaran dengan cara menerangkan si Fulan telah melakukan itu atau ini dan sekaligus menyelamatkan fulan tersebut dari kemaksiatan dan kemungkaran. Dengan kata lain, maksud penceritaan itu mesti menuju kepada terhapusnya suatu kemungkaran. Jika pengaduan itu tidak bertujuan untuk mencegah kemungkaran, maka hukumnya adalah haram.

Ketiga, permintaan fatwa (al istiftâ`). Misalnya, seseorang mengatakan kepada seorang mufti (pemberi fatwa), ayahku (atau saudaraku atau suamiku atau fulan) telah menzalimi aku dengan cara begini. Lalu apa yang harus aku lakukan padanya?; Bagaimana cara agar aku terlepas darinya, mendapatkan hakku, dan terlindung dari kezaliman itu? Atau apa sahaja pertanyaan yang seperti itu. Maka hukumnya boleh jika diperlukan. Tetapi lebih tepat dan lebih afdal jika ia mengatakan, bagaimana pendapat anda tentang orang atau seseorang, atau seorang suami yang telah melakukan hal seperti ini? Oleh itu, ia akan dapat memperoleh jawapan tanpa perlu menceritakan perinciannya iaitu tanpa perlu menyebut siapa orangnya dan sebagainya. Meskipun demikian, tetap dibolehkan untuk melakukan perincian (at ta’yîn), sebagaimana yang akan diceritakan di dalam hadits dari Hindun seperti di bawah nanti.

Keempat, mengingatkan kaum muslimin agar sentiasa berwaspada terhadap suatu keburukan dan menasihati mereka (tahdzîrul muslimîn min asy syarr wa nashîhatuhum). Terdapat beberapa situasi antaranya adalah ; menceritakan keburukan sifat orang yang memang perlu disebutkan keburukannya (jarhul majrûhîn) iaitu dari kalangan para perawi hadis dan saksi-saksi (di pengadilan, dsbnya). Hal ini dibolehkan menurut ijma’ kaum muslimin. Bahkan boleh menjadi wajib untuk suatu keperluan tertentu. Contoh lainnya adalah meminta pandangan atau pendapat (musyawarah) tentang seseorang calon suami/isteri yang bakal di nikahi (mushâharah), kerjasama, memutuskan kerjasama, mua’amalat dan lain sebagainya, atau tentang hubungan kejiranan. Maka wajib bagi orang yang dimintai pendapat itu untuk tidak menyembunyikan maklumat berkenaan orang yang ingin diketahui. Bahkan ia mesti menyebutkan sikap-sikap buruknya yang memang diniatkan untuk melakukan nasihat. Contoh lainnya lagi adalah jika seseorang melihat orang lain yang belajar agama pada orang yang berbuat bidaah atau orang fasik dengan niat untuk mendapatkan ilmu dari pelaku bidaah dan orang fasik tersebut, lalu dengan itu dikhuatiri ia akan mendapat kemudaratan, maka ia mesti menasihatinya dan memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenarnya. Dengan syarat, dia benar-benar bermaksud untuk memberi nasihat. Hal ini berkemungkinan untuk terjadinya kekeliruan kerana kadangkala si pemberi nasihat memiliki rasa cemburu dan iri hati sehinggakan syaitan mencampuradukkan antara nasihat dan rasa cemburu dan iri hati. Syaitan menghadirkan bayangan padanya bahawa hal itu adalah nasihat dan akhirnya ia terjerumus dalam fitnah.

Hal ini merangkumi situasi di mana seseorang itu memiliki kekuasaan dan dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Terdapat kemungkinan yang berlaku iaitu dia memang tidak layak atau fasiq mahupun lalai, atau yang sejenis dengannya. Maka, adalah wajib hal itu dilaporkan kepada orang atasan yang memiliki kekuasaan yang lebih tinggi daripadanya agar kelalaian itu dapat diatasi atau digantikan dengan orang yang lebih berkebolehan. Orang atasan tersebut mestilah mengambil pendekatan yang sesuai dengan  keadaan orang yang lalai tersebut tanpa berlengah dan sepatutnya berusaha menasihati si pelaku kesalahan itu agar istiqamah ataupun menggantikannya dengan orang lain yang lebih amanah.

Kelima, seseorang yang memperlihatkan secara terang-terangan (al- mujâhir) kefasiqan atau perilaku bidaahnya seperti memperlihatkan perbuatan minum arak, merampas barangan, mengambil ufti( memberi wang, emas dan sebagainya kepada yang berkuasa), pengumpulan harta secara zalim, memimpin dengan sistem yang batil iaitu selain dari sistem Islam dan sebagainya. Maka ini boleh untuk disebutkan kerana perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan (mujâharah). Namun bergitu, hal-hal lain yang merupakan aib yang disembunyikan tidak boleh untuk diceritakan melainkan tujuannya adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Keenam, panggilan nama atau gelaran(at-ta’rîf). Jika seseorang itu telah dikenali dengan nama laqab (panggilan atau gelaran) seperti al-A’masy (Si Mata Rabun) atau al-A’raj (Si Tempang), atau al- Ashamm (Si Pekak), al-A’maa (Si Buta), al-Ahwal (Si Juling), dan sebagainya maka mereka boleh digelar dengan panggilan tersebut namun diharamkan untuk menyebut kekurangannya yang lain. Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya gelaran-gelaran ini tidak di gunakan untuk memanggil seseorang dan dihindari dari di gunakan.

Inilah enam sebab yang disebutkan oleh para ulama dan disepakati oleh sebahagian besar mereka. Berikut adalah di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat/ghibah di dalam keadaan seperti di nyatakan di atas adalah di bolehkan:
 
عن عائشة رضي الله عنها أن رجلا استأذن على النبي صلى الله عليه وسلم فقال‏:‏ “ائذنوا له، بئس أخو العشيرة‏؟‏ ‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Dari Aisyah radhiallahu anha bahwa seseorang meminta izin pada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata: izinkanlah ia, seburuk-buruk saudara suatu kabilah. [Muttafaq Alaih]
Al Bukhari berhujjah dengan hadis ini mengenai kebolehan berghibah terhadap ahlul fasad (pembuat kerosakan) dan ahlu ar rayb (menciptakan keraguan).

وعنها قالت‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ما أظن فلانًا وفلانًا يعرفان من ديننا شيئًا‏”‏ ‏(‏‏(‏رواه البخاري‏)‏‏)‏‏.‏ قال الليث بن سعد أحد رواة هذا الحديث‏:‏ هذان الرجلان كانا من المنافقين

Dan masih dari Aisyah, ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, aku melihat si fulan dan si fulan tidaklah mengetahui sedikitpun dari perkara agama kami. [HR al Bukhari]. Al Layts ibn Sa’ad—salah seorang perawi hadits ini—berkata: kedua orang yang disebut di sini adalah orang munafiq.

وعن فاطمة بنت قيس رضي الله عنها قالت‏:‏ أتيت النبي صلى الله عليه وسلم، فقلت‏:‏ إن أبا الجهم ومعاوية خطباني‏؟‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏‏”‏أما معاوية،

فصعلوك لا مال له ، وأما أبوالجهم، فلا يضع العصا عن عاتقه‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

Dari Fathimah binti Qays radhiallahu anha, ia berkata: aku mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi wa sallam lalu aku berkata, sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah telah mengkhitbahku. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata, adapun Mu’awiyah adalah orang fakir, ia tidak mempunyai harta. Adapun Abul Jahm, ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. [Muttafaq alaih]

Dan dalam riwayat Muslim, haditsnya berbunyi:


‏”‏وأما أبو الجهم فضراب للنساء‏”‏

Adapun Abul Jahm ia suka memukul wanita.

Ini merupakan penjelasan dari riwayat sebelumnya yang mengatakan ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. Juga dikatakan bahwa makna ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya adalah katsiirul asfaar, yakni banyak bepergian atau merantau.

وعن زيد بن أرقم رضي الله عنه قال‏:‏ خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في سفر أصاب الناس فيه شدة، فقال عبد الله بن أبي‏:‏ لا تنفقوا على من عند رسول الله حتى ينفضوا وقال‏:‏ لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل فأتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم، فأخبرته بذلك، فأرسل إلى عبد الله بن أبي ، فاجتهد يمينه‏:‏ ما فعل، فقالوا‏:‏ كذب زيد رسول الله صلى الله عليه وسلم فوقع في نفسي مما قالوا شدة حتى أنزل الله تعالى تصديقي ‏{‏إذا جاءك المنافقون‏}‏ ثم دعاهم النبي صلى الله عليه وسلم، ليستغفر لهم فلووا رءوسهم‏.‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)

Dari Zaid bin Arqam radhiallahu anhu, ia berkata: "kami pernah keluar bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam sebuah perjalanan di mana orang-orang ditimpa kesusahan. Lalu Abdullah bin Ubay berkata, jangan engkau memberi infaq kepada orang-orang yang bersama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkan Rasulullah.. Lalu ia berkata lagi, “sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari sana”. Kemudian aku mendatangi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam, lalu aku menceritakan hal tadi, maka beliau mengutus kepada Abdullah bin Ubay, namun ia bersumpah bahwa ia tidak melakukannya. Lalu orang-orang mengatakan¸ “Zaid telah membohongi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam”. Lalu beliau(Sallallahu alaihi wa Sallam) mencelaku dengan keras atas apa yang orang-orang katakan hingga Allah Subhanahu wa Taala menurunkan apa yang dapat membenarkanku “apa bila datang orang-orang munafiq” (TMQ Al Munaafiquun:1). Kemudian Nabi SAW memanggil mereka untuk memintakan ampun bagi mereka, tapi mereka memalingkan wajah mereka." [Muttafaq alaih]

وعن عائشة رضي الله عنها قالت‏:‏ قالت هند امرأة أبي سفيان للنبي صلى الله عليه وسلم ‏:‏ إن أبا سفيان رجل شحيح وليس يعطيني ما يكفيني وولدي إلا ما أخذت منه، وهو لا يعلم‏؟‏ قال‏:‏ ‏”‏خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

Dari Aisyah radhiallahu anha, ia berkata: Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang laki-laki yang pelik, ia tidak memberikan kepadaku apa yang mencukupi aku dan anakku kecuali apa yang aku ambil secara diam-diam tanpa pengetahuannya”. Lalu Nabi Sallahu Alaihi wa Sallam berkata “Ambillah apa yang mencukupimu dan anak-anakmu dengan cara yang baik (bil ma’ruf)” [Muttafaq Alaih]

PERANAN SUAMI ISTERI DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA


http://t0.gstatic.com/images?q=tbn:5L8Uch86WT23yM:http://i335.photobucket.com/albums/m443/isterisolehah/suamiisteri.jpg

Muqaddimah

Firman Allah Subhanahu Wa Taala: "Maha Suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui”. [TMQ: Yaasin: (36)].

"Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya Dia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir" [TMQ: ar-Rum: (21)].

Apa yang dinyatakan dalam firman Allah Azza wa Jalla di atas tidak akan dapat dicapai seandainya tidak wujud peraturan, hukum dan undang-undang kerana tujuan perkahwinan ialah mengatur pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa aturan yang rapi dalam pergaulan makhluk Adam dan Hawa, kepincangan tidak dapat dielakkan. Maka, kerana itu, perkahwinan disyariatkan yang mana di dalamnya ditentukan kewajipan-kewajipan dan peraturan-peraturan yang akan membawa kebahagiaan kepada pasangan yang mematuhinya. Jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, sama ada kerana kejahilan atau sengaja mengingkarinya, pasangan itu sentiasa dilanda arus yang menjadikan suasana hidup mereka tidak tenteram.

Dalam Islam, sistem Kekeluargaan Islam adalah satu sistem yang menyusun institusi keluarga, menjelaskan semua urusan di dalamnya, menentu dan mengagihkan bidang tugas, menentukan tanggungjawab anggota keluarga, menjelaskan perkara yang mesti dipatuhi dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab. Allah yang mencipta manusia telah mencipta bersamanya fitrah ingin berpasangan seperti makhluk-makhluk lain ciptaan Allah, sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Taala: ‟Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang–pasangan agar kamu mengingati kebesaran Allah ” [TMQ Az Dzariyaat (51): 49 ]

Sejak zaman Nabi Adam Alaihissalam sehingga zaman Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam, syariat yang ditetapkan untuk mengatur hubungan laki-laki dan wanita adalah pernikahan. Oleh itu, mendapat pasangan yang baik merupakan sebuah kebahagian dalam rumah tangga. Apalagi jika pasangan itu merupakan pasangan yang sentiasa taat pada perintah Allah dan RasulNya dalam menjalani kehidupan seharian. Sebagaimana Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam: Ada empat hal yang apabila dianugerahkan kepada seseorang, berarti ia benar-benar terbaik di dunia dan akhirat. Hati yang sentiasa bersyukur, lisan yang sentiasa berdzikir, jiwa yang sentiasa bersabar menghadapi musibah, isteri yang tak pernah mengkhianati suaminya seraya menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya saat ditinggalka(pergi).” [HR. At Tirmidzi].

Dalam hadis lain, Baginda bersabda; ”Tanda kebahagiaan seorang anak Adam ialah beristerikan wanita solehah...”[HR Ad-Dailami].

Bagi wanita pula, mendapat suami yang baik merupakan bahagian dari keberkahan hidup. Memilih suami yang beragama dan berakhlak mulia adalah penolak bencana dari Allah Subhanahu Wa Taala di muka bumi baginya dan keluarganya sebagaimana sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam: Jika datang kepadamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya, maka bernikahlah dengannya, jika tidak maka akan muncul fitnah di bumi dan kerosakan.”

Namun begitu, ketenangan dan kebahagiaan dalam rumahtangga bukanlah merupakan sebuah hadiah yang diberikan kepada suami isteri. Ia memerlukan perjuangan dan proses yang memakan waktu. Lama ataupun cepat pasangan suami isteri itu mendapat kebahagiaan bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh pasangan tersebut dalam mengatur urusan rumah tangganya. Untuk itu ada beberapa perkara yang jika diamalkan Insya’ Allah boleh membantu pasangan suami isteri mencapai atau menciptakan suasana yang menyenangkan dalam rumah tangga.



Peranan dan Tanggungjawab Suami Dalam Rumah Tangga

Syariat Islam telah menjelaskan tentang tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya. Allah Subhanahu Wa Taala telah memerintahkan agar seorang suami melayani isterinya dengan penuh keakraban dan kasih sayang. Kewajiban suami terhadap isteri bukanlah sekadar memenuhi hak isteri berupa mahar dan nafkah. Namun lebih dari itu, seorang suami tidak boleh membuat isterinya cemburu dengan menampakkan kecenderungan kepada wanita lain selain kepada isterinya itu. Rasulullah telah berpesan kepada kaum lelaki dalam urusan kaum wanita sebagaimana sabda Rasulullah dalam khutbahnya ketika Haji Wada’ sebagai berikut: ”Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah dalam urusan kaum wanita kerana kalian telah mengambilnya sebagai amanat daripada Allah, dan kalianpun telah menjadikan kehormatan mereka halal dengan kalimat Allah. Kalian mempunyai hak atas isteri-isteri kalian agar mereka tidak memasukkan ke tempat tidur kalian salah seorang yang kalian benci. Jika mereka melakukan tindakan demikian, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak sampai membahayakan. Sebaliknya, mereka pun berhak untuk mendapatkan rezeki dan pakaian mereka dengan cara yang makruf.” [HR Muslim].

Dalam riwayat lain, baginda bersabda: ”Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik perlakuannya terhadap keluarganya. Sesungguhnya aku sendiri adalah orang yang paling baik di antara kalian dalam melayani keluargaku”

Ibn. Majah menuturkan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam pernah bersabda: "Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik perlakuannya terhadap isteri-isterinya”

Meskipun seorang suami mempunyai hak kepimpinan terhadap isterinya sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Taala. ”Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan atas sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (laki-laki) menafkahkan sebahagian harta mereka...” [TMQ an-Nisa’(4):34 ].

Di sini menjelaskan bahawa posisi suami sebagai penanggungjawab dan kepimpinannya atas isteri di dalam rumah bukan bererti menjadikan dirinya sebagai orang yang boleh bertindak sesuka hati di dalam rumah atau seperti seorang penguasa yang tidak dapat dilanggar perintahnya. Akan tetapi, kepimpinan suami di dalam rumah hanya berlaku dalam pengurusan dan pengelolaan urusan-urusan rumah tangga sahaja, bukan dalam hal kekuasaan dan hak memerintah di dalam rumah tangga. Oleh itu seorang isteri berhak menjawab ucapan suaminya, berbincang dengannya, dan membahas apa saja yang dikatakannya. Sebab pada dasarnya, keduanya adalah dua orang sahabat, bukan pihak yang memerintah dan yang diperintah.

Sekalipun kehidupan suami isteri dijalinkan dalam keadaan persahabatan, kemungkinan pada mereka terjadi perbezaan pendapat dalam pengaturan rumah tangga. Untuk mengatasi persoalan tersebut, tentu diperlukan pemimpin yang menjadi pemegang keputusan dan kata akhir. Kerana ayat di atas yang menetapkan suami menjadi pemimpinnya, maka keputusan suami harus ditaati oleh isterinya.

Kewajiban suami dalam memberi nafkah dari sebahagian harta yang mereka miliki kepada isterinya, sebahagian fuqaha membolehkan wanita melakukan fasakh nikah tatkala suaminya tidak memberikan nafkah kepadanya. Kerana itu, jika suami tidak memberikan nafkah, kedudukannya sebagai pemimpin dalam rumah tangga boleh digugat sehingga isteri berhak mengajukan fasakh. Demikianlah pendapat ulama dari mazhab Maliki dan Syafie.

Peranan dan Tanggung jawab Isteri Dalam Rumah Tangga

Setelah menjelaskan kedudukan suami beserta tanggung jawabnya. Allah Subhanahu wa Taala menerangkan pula kedudukan wanita beserta tanggungjawab dan kewajibannya. Wanita solehah adalah wanita yang taat kepada Allah dan taat kepada suaminya ketika suaminya ada di sampingnya mahupun tiada di sisinya. Ia sentiasa menjaga kehormatannya serta rumah, harta benda dan kehormatan suaminya serta selalu membahagiakan suaminya, sebagaimana sabda Rasulullah: (Sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika ia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika ia memerintahnya, dan yang tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya.” [HR an-Nasa’i].

Selain itu, dalam urusan rumah tangga, seorang isteri wajib melayani suaminya seperti memasak, membersihkan rumah, menyediakan minuman jika di minta, menyiapkan makanan serta melayani suaminya iaitu dalam segala urusan yang berkaitan dengan kehidupan rumah tangganya secara mutlak.

Ringkasnya, segala sesuatu yang mesti dilakukan dalam rumah tangga menjadi kewajiban wanita untuk mengerjakannya, apapun jenis pekerjaannya. Sebaliknya, segala sesuatu yang perlu dilakukan di luar rumah menjadi kewajipan suami untuk mengerjakannya. Demikianlah sebagaimana hadis dari Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Berkaitan dengan kisah Ali dan Fatimah sebagai berikut: ”Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah mewajibkan puterinya, Fatimah, untuk mengerjakan pekerjaan-pekerjaan di dalam rumah, sedangkan Ali ditugaskan untuk mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan di luar rumah”.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam juga telah memerintahkan isteri-isterinya untuk bekerja melayani baginda. Contohnya, baginda sering berkata: Aisyah, tolong ambilkan makananku, Aisyah tolong ambilkan aku pisau, lalu asahlah dengan batu” dan sebagainya.

Dalam riwayat lain pula: Fatimah pernah datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Da mengadu bahawa dirinya tidak dapat berehat sekaligus meminta kepada beliau seorang pembantu yang dapat meringankan pekerjaannya.”

Semua ini menunjukkan bahawa usaha melayani suami dan mengurus rumah tangga merupakan salah satu kewajiban diantara berbagai kewajiban seorang isteri yang harus dilaksanakan. Namun demikian, kewajipan itu ditunaikan sesuai dengan kemampuannya. Jika pekerjaannya amat banyak, maka suami wajib menyediakan pembantu rumah, jika tidak terlalu banyak pekerjaan yang perlu dilakukan, maka suami tidak wajib menyediakan pembantu rumah.

Disamping tugasnya sebagai suri rumahtangga, seorang isteri juga mempunyai peranan penting sebagai seorang ibu. Tugas keibuan dalam Islam bukanlah sekadar menjadi Isteri, mengandung, melahirkan serta mengasuh anak, kerana sifat yang sedemikian juga ada pada haiwan. Keibuan dalam Islam ialah mempunyai jiwa dan perasaan sebagai ibu yang bersifat penyayang, lemah lembut, tidak mementingkan diri sendiri, kasih terhadap anak-anak, bahkan sanggup berkorban dan bersusah payah melaksanakan kerja-kerja dalam urusan rumahtangga.

Keibuan juga bererti mengukuhkan kedudukan keluarga yang menjadi asas generasi Islam dalam lingkungan keluarga. Peranan keibuan adalah amat penting kerana ibu adalah di antara orang yang akan mencorak dan membentuk keperibadian anak-anaknya, sebagaimana maksud dalam sebuah hadis: Tidak ada seorang yang lahir melainkan menurut fitrahnya, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim].

Seandainya ibu-ibu Muslimah tidak memainkan peranan mereka yang sebenar dalam membentuk dan memberikan pendidikan terhadap anak-anak mereka, maka kesannya akan dapat dilihat sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amat malanglah ibu-ibu yang sudahlah di dunia mereka bersusah payah memelihara anak-anak mereka itu, di akhirat pula terpaksa dipertanggungjawabkan kerana kelalaian mereka memberikan pendidikan yang sempurna.
Para ibu perlulah mengetahui bahawa anak-anak sebenarnya mengharapkan asuhan dan didikan yang sempurna daripada seorang ibu. Ibu lebih rapat hubungannya dengan anak-anak daripada seorang bapa. Bagaimanakah asuhan dan didikan yang sempurna dapat diberikan sekiranya ibu-ibu sentiasa sibuk berperanan di luar urusan rumahtangga mereka?

Adalah menjadi tugas seorang ibu Muslimah apabila anaknya sudah pandai bertutur, mengajarkannya ucapan syahadat dan ucapan-ucapan lain yang baik-baik yang banyak dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam di dalam hadisnya.

Demikian pula apabila anak-anak sudah berumur tujuh tahun, ibu-ibu hendaklah menggesa anak-anak mereka menunaikan sembahyang. Jika dia cuai menunaikan sembahyang apabila berumur 10 tahun, maka dia boleh dipukul. Bagaimanapun mendidik anak-anak mengerjakan ibadah hendaklah disertai dengan keterangan yang jelas supaya mereka mengetahui serta memahami tujuan sebenar ibadah yang mereka laksanakan.

Allah Subhanahu wa Taala berfirman: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya.” [TMQ Thaha (20):132]

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, "Jika seorang anak telah mengetahui (membezakan) tangan kanannya dari tangan kirinya maka latihlah dia menunaikan solat" [HR Thabrani].

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, "Ajarilah anak-anak solat (sejak) usia 7 tahun dan pukullah dia (untuk mendidiknya) pada usia 10 tahun.” [HR Abu Daud, at Tirmidzi, al-Baihaqi dan al-Hakim].

Sungguhpun begitu, seorang ibu Muslimah perlulah memahami bahawa qarinah atau indikasi yang ditunjukkan melalui perintah melaksanakan solat bukanlah hanya hukum tentang solat semata-mata, sebaliknya seawal usia 7 tahun yang mana anak-anak telah mumayyiz, mereka hendaklah juga diperkenalkan kepada lain-lain hukum seperti menutup aurat di hadapan bukan mahram kepada anak-anak perempuan, hukum tentang pergaulan lelaki-wanita, menuntut ilmu dsb.

Khatimah

Dalam sesebuah institusi keluarga, suami isteri perlulah bersama-sama memikul tanggungjawab supaya pembentukan keluarga bahagia akan tercapai. Dalam hal yang demikian, terdapat beberapa tanggungjawab yang dipikul bersama oleh suami isteri. Kedua-duanya perlulah mendalami dan memahami peranan masing-masing dalam sebuah rumahtangga. Allah Subhanahu Wa Taala telah menetapkan suami sebagai pemimpin manakala isteri sebagai pengurus rumahtangga. Apapun tugas yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala itu, ianya merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

Demikian pula laki-laki dan wanita, mereka sememangnya sama-sama manusia. Namun masing-masing memiliki sifat yang berbeza. Kerana sifat yang berbeza itulah masing-masing diberi hukum, tugas dan tanggungjawab. Wajar jika laki-laki mendapat tugas sebagai pemimpin bagi wanita kerana Allah Subhanahu Wa Taala telah memberikan kelebihan kepadanya dalam perkara tersebut. Wajar pula jika wanita mendapat tugas dan tanggungjawab sebagai al-umm wa rabbat al-bayt (ibu dan pengatur rumah) kerana wanita memang diberi kelebihan dan keistimewaan dalam perkara tersebut. Oleh sebab itu, jika aturan tentang pergaulan suami isteri ini dilaksanakan, keluarga yang sakinah, mawaddah, dan rahmah akan tercipta. Siapa yang tidak menginginkannya?

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin Negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya”.

Walau bagaimanapun, satu perkara penting yang perlu diketahui oleh suami dan juga isteri ialah memahami bahawasanya kehidupan di dunia ini bukanlah semata-mata meraih kebahagiaan dalam rumahtangga sahaja kerana makna kebahagiaan sejati bagi seorang Muslim adalah meraih keredhaan Allah dalam setiap perbuatan dan aspek kehidupan yang dilaluinya, di dalam dan di luar rumahtangga. Ini bermakna kedua-dua suami-isteri mestilah memahami bahawa selain berusaha memainkan peranan untuk meraih kebahagiaan dalam rumahtangga, Allah juga memerintahkan umat Islam sama ada lelaki atau wanita untuk melaksanakan perintahNya dalam aspek lain seperti menuntut dan mendalami ilmu agama, melaksanakan amar makruf nahi mungkar, menjalankan aktiviti dakwah dsb selain ibadah khusus dan hukum-hakam tentang makanan dan pakaian. Ringkasnya, disamping memainkan peranan masing-masing dalam kehidupan berumahtangga, tanggungjawab dan kewajipan sebagai Muslim juga hendaklah dilakukan supaya pada akhirnya, meraih keredhaan Allah menjadi matlamat utama, bukan hanya untuk memuaskan hati pasangan masing-masing sahaja. Wallahu’ alam bishawab.

HUKUM MENONTON FILEM DI PAWAGAM

Boleh hukumnya menonton filem di pawagam, dengan syarat wajib infishal, iaitu penonton lelaki dan perempuan mesti terpisah dan diasingkan. Jika penonton lelaki dan perempuan bercampur-aduk (ikhtilath) hukumnya haram. (Atha` Abu Rasytah, Ajwibah As’ilah 10 Oktober 2006, hlm. 3).

Dalil kebolehannya ialah dalil-dalil umum yang membolehkan perbuatan melihat (nazhar) secara umum. Misalnya, firman Allah SWT yang bermaksud; "Katakanlah, Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi." (Surah Yunus [10] : 101). Juga firman-Nya "Katakanlah, Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati." (Surah Al-Mulk [67] : 23).

Ayat-ayat ini menunjukkan perbuatan melihat (nazhar) hukum asalnya boleh, kecuali jika ada dalil yang mengharamkan untuk melihat sesuatu, misalnya seperti melihat aurat.

Perbuatan melihat disebut perbuatan jibiliyyah, yakni perbuatan yang secara fitrah dilakukan manusia sejak penciptaannya, seperti berdiri, berjalan, tidur, makan, minum, melihat, dan mendengar. (Al-Amidi, Al-Ihkam fi Ushul Al-Ahkam, I/173; Syuwaiki, Al-Khalash wa Ikhtilaf an-Nas, hlm. 260).

Adapun syarat infishal, didasarkan pada sejumlah dalil. Di antaranya :  

Pertama, Nabi SAW telah menetapkan ketika solat, saf lelaki di hadapan, sedangkan saf perempuan di belakang. (HR Bukhari dari Anas).  

Kedua, pada masa Nabi SAW jika selesai solat, jemaah perempuan keluar dari masjid terlebih dahulu, setelah itu barulah jemaah laki-laki. (HR Bukhari dari Ummu Salamah). 

Ketiga, Nabi SAW memberi pengajaran kepada lelaki dan perempuan pada hari yang berbeza. (HR Bukhari dari Abu Said Al-Khudri).
 
Dalil-dalil ini menunjukkan lelaki dan perempuan pada asalnya wajib terpisah. Kecuali pada situasi-situasi tertentu yang dibenarkan oleh syara’, misalnya seperti melaksanaknan ibadah haji, berjual-beli, ijarah (sewa-menyewa), belajar, berubat, merawat orang sakit, menjalankan perniagaan pertanian, industri dan yang semisalnya. (An-Nabhani, An-Nizham Al-Ijtima’i fi al-Islam, hal. 37; An-Nabhani, Muqaddimah Ad-Dustur, hlm. 321; Abu Nashr Al-Imam, Al-Ikhtilath Ashl Al-Syarr, hlm. 39).
 
Maka, penonton-penonton lelaki dan perempuan di pawagam wajib terpisah, sebab keterpisahan ini merupakan prinsip asal dalam pengaturan interaksi antara lelaki dan perempuan.

Mengenai filem 2012, ia menggambarkan Kiamat akan terjadi tahun 2012. Ini bertentangan dengan Aqidah Islam, yang menegaskan tidak ada siapapun yang tahu bila akan berlakunya Kiamat, kecuali Allah itu sendiri. (Surah Al-A’raf [7] : 187; Surah Thaha [20] : 15).

Maka dari itu, meskipun hukum asal menonton filem itu boleh, namun menonton film 2012 tidak dibolehkan khususnya bagi mereka yang belum kuat dan mantap keimanannya, seperti anak-anak atau muallaf. Sebab filem tersebut dapat membahaya dan merosakkan aqidah mereka. Sedangkan, bagi mereka yang sudah kuat keimanannya, hukumnya boleh. Kaeah fiqh menyebutkan : Al-Syai’u al-mubah idza awshala fardun min afradihi ila dhararin, hurrima dzalika al-fardu wahdahu wa baqiya al-syai’u mubahan. (Sesuatu yang asalnya mubah jika ada satu perkara di antaranya yang berbahaya, maka perkara itu saja yang diharamkan, sedangkan sesuatu itu tetap mubah hukumnya). (An-Nabhani, Muqaddimah Ad-Dustur, hlm. 89). Wallahu a’lam.

02 December 2009

BOLEHKAH ZAKAT UNTUK MEMBINA MASJID?

Ada khilafiyah di kalangan ulama mengenai boleh tidaknya memanfaatkan zakat untuk membina masjid. Khilafiyah ini berpangkal dari perbezaan penafsiran istilah fi sabilillah pada ayat tentang 8 ashnaf (golongan) mustahiq zakat (Surah At-Taubah : 60).

Sebahagian ulama menafsirkan fi sabilillah secara umum, iaitu segala jalan kebajikan (fi jami'i wujuh al-khair). Maka mereka membolehkan zakat untuk membina masjid, kerana termasuk jalan kebajikan. Imam Fakhrur Razi, misalnya, menafsirkan fi sabilillah dalam erti segala jalan kebajikan, misal mengkafani mayat, membangun benteng, dan memakmurkan masjid ('imaratul masajid). (Fakhrur Razi, Mafatihul Ghaib, 8/76).

Pendapat semakna juga dikemukakan antara lain oleh Imam Al-Khazin (Lubab At-Ta`wil fi Ma'ani At-Tanzil, 3/295), Imam Jamaluddin Al-Qasimi (Mahasin At-Ta`wil, 8/3181), Imam Al-Alusi (Ruhul Ma'ani, 7/271), Sayyid Rasyid Ridho (Al-Manar, 10/587), Sayyid Quthub (Fi Zhilal Al-Qur`an, 4/34), dan Syaikh Al-Maraghi (Tafsir Al-Maraghi, 10/145).

Namun jumhur ulama menafsirkan fi sabilillah secara khusus, iaitu jihad fi sabilillah dalam erti perang (qital) dan segala sesuatu yang berhubung dengan perang, misalnya membeli senjata dan alat perang. Maka menurut jumhur ulama, zakat tidak boleh digunakan untuk membina masjid, kerana membina masjid tidak termasuk jihad fi sabilillah. Imam Suyuthi, misalnya, menafsirkan fi sabilillah dalam Surah At-Taubah : 60 dengan berkata, "Mereka adalah para mujahid (humul mujahidun)."(Imam Suyuthi, Ad-Durr Al-Mantsur, 5/101). Pendapat ini merupakan pendapat majoriti (jumhur) ulama, antara lain pendapat Imam Ath-Thabari (Tafsir Ath-Thabari, 14/319), Imam Al-Qurthubi (Tasfir Al-Qurthubi, 8/185), Imam Ibnul Arabi (Ahkamul Qur`an, 4/337), Imam Al-Jashash (Ahkamul Qur`an, 7/70), dan Imam Syafi'i (Ahkamul Qur`an, 1/123).

Pendapat yang rajih (lebih kuat) menurut kami adalah pendapat jumhur ulama, kerana dua alasan.

Pertama, dengan melakukan penelusuran induktif (istiqra`) pada ayat-ayat Al-Qur`an terkait, dapat disimpulkan kata "fi sabilillah" jika dihubungkan kata infaq (pembelanjaan harta) atau yang semakna, pada dasarnya mempunyai erti khusus, iaitu jihad fi sabilillah, kecuali jika redaksi ayat bermakna umum, maka "fi sabilillah" bererti umum (misal Surah 2:261). Imam Taqiyuddin An-Nabhani berkata,"Jika kata fi sabilillah dihubungkan dengan infaq, ertinya adalah jihad, kecuali jika terdapat qarinah (indikasi) yang memindahkan maknanya dari makna jihad." (Muqaddimah Ad-Dustur, hal. 334).

Kedua, jika kata fi sabilillah dalam Surah At-Taubah: 60 diertikan secara umum, iaitu untuk semua jalan kebajikan (wujuh al-khair), maka ayat itu malah menjadi tidak jelas maknanya. Sebab semua jalan kebajikan (wujuh al-khair) ertinya luas dan umum, termasuk di dalamnya memberi zakat kepada tujuh ashnaf lainnya, yakni orang fakir, miskin, amil zakat, muallaf, ibnu sabil, dan orang berhutang. Lalu apa bezanya memberikan zakat kepada ke tujuh ashnaf itu, dengan memberi zakat kepada fi sabilillah? Ertinya, kata fi sabilillah pada ayat itu haruslah memiliki makna khusus (iaitu jihad), agar dapat dibezakan maknanya dengan tujuh ashnaf lainnya.

Kesimpulannya, makna fi sabilillah yang tepat adalah jihad, bukan yang lain. Maka memberikan zakat untuk membina masjid tidak dibolehkan secara syar'i, kerana membina masjid tidak termasuk jihad. Wallahu a'lam