Solat Dhuha hukumnya sunnah muakkadah, paling sedikit dua rakaat dan sebanyak-banyaknya adalah lapan rakaat. Menurut Imam Ar-Rauyani dan Imam Ar-Rafi'i, sebanyak-banyaknya adalah dua belas rakaat. Dilakukan dengan dua rakaat satu salam. Waktunya adalah sejak terbitnya matahari hingga tergelincirnya matahari. (Imam Nawawi, Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, 4/35-36).
Memang pada umumnya solat sunat Dhuha dianggap para ulama sebagai solat sunat (tathawwu') yang tidak disunnahkan/disyariatkan secara berjamaah. (Imam Nawawi, Raudhah Ath-Thalibin, 1/122; As-Sayyid Al-Bakri, I'anah Ath-Thalibin, 1/272).
Namun demikian, sebahagian ulama telah meneliti kembali permasalahan tersebut. Dan mereka menemui dalil bahawa solat Dhuha boleh dilakukan secara berjamaah. Syaikh Mahmud Abdul Lathif 'Uwaidhah, misalnya, mengatakan, "Solat Dhuha ini dapat dilakukan secara sendirian dan juga secara berjama'ah." Beliau lalu menyebutkan dalilnya, iaitu hadis dari 'Itban bin Malik RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, dan Ibnu Khuzaimah. (Mahmud Abdul Lathif 'Uwaidhah, Al-Jami' li Ahkam Ash-Solah, 2/399).
Dalam kitab Fathul Bari (Syarah Shahih Bukhari) karya Imam Ibnu Hajar Al-'Asqalani, dinukilkan hadis 'Itban bin Malik ra tersebut, bahawa Rasulullah SAW telah melakukan solat Dhuha (subhata adh-dhuha) di rumahnya [rumah 'Itban bin Malik], lalu orang ramai berdiri di belakang beliau dan mereka pun solat dengan solat beliau. (fa-qaamuu waraa`ahu fa-shalluu bi-shalaatihi). (Ibnu Hajar Al-'Asqalani, Fathul Bari, 4/177).
Imam Ibnu Hajar Al-'Asqalani menjelaskan bahawa hadis di atas adalah hadis riwayat Imam Ahmad. Beliau juga menyatakan bahawa hadis yang semakna ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dari sahabat Ibnu Wahab bin Yunus RA. (Ibnu Hajar Al-'Asqalani, Fathul Bari, 4/177; HR Ahmad no 22657; Ibnu Khuzaimah no 1165).
Kitab lain yang menyatakan bolehnya solat Dhuha secara berjamaah adalah kitab Al-Fatawa Al-Fiqhiyah Al-Kubra (2/250), berdasarkan hadis 'A`idz bin Amr ra yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Thabrani. Dari 'A`idz bin Amr ra dia berkata, ''Suatu ketika air sedikit, maka Rasulullah SAW pun berwudhuk dengan air dalam satu gelas (qadah) atau satu mangkuk besar (jafnah). Lalu Rasulullah SAW menasihati kami kerana sedikitnya air ketika itu. Rasulullah SAW bersabda, 'Orang yang bahagia di antara kita adalah orang yang terkena musibah, tapi dia tidak memperlihatkan itu kepada kita. Kecuali kalau musibah itu sudah menimpa semua orang dalam satu kaum.' Kemudian Rasululullah SAW solat Dhuha bersama-sama kami (tsumma shalla binaa Rasulullah SAW adh-dhuha)." (HR Ahmad no 19721; Ath-Thabrani dalam Al-Mu'jam Al-Kabir, no 14462).
Berdasarkan dalil-dalil di atas, maka jelaslah bahawa melaksanakan solat sunat Dhuha secara berjamaah adalah boleh (ja`iz) menurut syara', dan bukan merupakan suatu bid'ah. Sebab Rasulullah SAW sendiri pernah melaksanakan solat sunat Dhuha secara berjamaah dengan para sahabatnya, ridhwanullahi 'alaihim. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment