..::AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKUM::..

ASSALAMU'ALAIKUM & SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN.

..::MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM::..



MUAT TURUN MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM :
MUSHAF AL-QURAN TAJWID BESERTA TERJEMAHAN DALAM BAHASA MALAYSIA

YA ALLAH YA TUHAN KAMI, SAMPAIKANLAH KAMI KE BULAN RAMADHAN TAHUN 1443H

..::GALERI ALBUM PANITIA BAHASA ARAB SKBLM::..

                                                                                                                                                                                                                   

PENDEKATAN BEYBLADE BURST TARIK MINAT MURID SEKOLAH RENDAH PELAJARI BAHASA ARAB DENGAN LEBIH SANTAI, SERONOK DAN TERHIBUR



HARIAN METRO ONLINE :
BEYBLADE BURST LONJAK SEMANGAT BELAJAR MURID DALAM MATA PELAJARAN BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH
SEMINAR PINTAR BESTARI BAHASA ARAB 2022
BERSAMA DR. ABD RAZAK ABU CHIK (DR. ARABIC) KHUSUS UNTUK MURID SKBLM

.::(SABTU, 6 OGOS 2022)::.

.::BERSAMA MEMARTABAT & MEMPERKASAKAN BAHASA AL-QURAN.::.

..::MAKLUMAN TERKINI::..

Blog ini telah dikemaskini pada 16 April 2022.


.::Aktiviti Panitia Bahasa Arab SK Bandar Laguna Merbok Tahun 2022::.

Seminar Pintar Bestari Bahasa Arab 2022 Bersama Dr. Arabic.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 6 Ogos 2022.
Masa : 8.00 Pagi - 1.00 Tengah Hari.

Tempat :
Dewan Serbaguna SK Bandar Laguna Merbok.


Majlis Pelancaran Minggu Bahasa Arab Peringkat Sekolah Tahun 2022.

Hari : Ahad.
Tarikh : 23 Oktober 2022.
Masa : 7.45 Pagi - 8.15 Pagi.
Tempat : Dataran Perhimpunan SK Bandar Laguna Merbok.


Bengkel Digital Classroom Panitia Pendidikan Islam/Bahasa Arab SKBLM Tahun 2022.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 5 November 2022.
Masa : 8.30 Pagi - 12.30 Tengah Hari.
Tempat : Bilik Bestari j-QAF SK Bandar Laguna Merbok.


Klik sini :
Telegram Rasmi Ustaz Syahmi Beyblade (USB)


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Pendidikan Islam


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Bahasa Arab

PENGUNJUNG SETIA BLOG RASMI MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN (GBA SK LAGUNA MERBOK)

04 October 2008

PERMASALAHAN DALAM SAF-SAF SEMBAHYANG

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu

`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah



Pengertian saf dari segi bahasa adalah barisan yang lurus daripada setiap sesuatu, seperti saf dalam sembahyang jemaah, peperangan dan sebagainya. Manakala pengertiannya dari segi istilah pula tidak lari maknanya dengan pengertian dari segi bahasa. Apa yang ingin dijelaskan di sini penjelasan mengenai masalah-masalah saf dalam sembahyang berjemaah.



SAF DALAM SEMBAHYANG JEMAAH



Jumhur ulama berpendapat bahawa disunatkan bagi makmum meluruskan saf-saf mereka ketika bersembahyang jemaah supaya janganlah ada sebahagian jemaah terkehadapan atau terkebelakang daripada jemaah yang lainnya sehingga menyebabkan tidak sama dan tidak lurus saf mereka. Ketika makmum berdiri, mereka hendaklah meluruskan saf dalam keadaan berdekatkan bahu dengan bahu, kaki dengan kaki dan tumit dengan tumit makmum yang lainnya sehingga tidak ada ruang yang kosong dan renggang. Maka dalam hal ini, imam adalah disunatkan menyuruh makmumnya meluruskan saf-saf mereka sebagaimana yang sering kita dengar sebelum imam mendirikan sembahyang, kerana meluruskan saf itu termasuk dalam kesempurnaan dan keelokan sembahyang. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

"Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang".

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

"Luruskanlah saf di dalam sembahyang, kerana meluruskan saf itu termasuk keelokan sembahyang".

(Hadis riwayat Muslim)

Mengikut pendapat sebahagian ulama seperti Ibnu Hajar dan sebahagian ulama hadis bahawa meluruskan saf itu hukumnya wajib. Barangsiapa yang melampaui batas (barisan) adalah haram hukumnya, kerana suruhan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis Baginda supaya meluruskan saf adalah menunjukkan perintah wajib. Hal ini jelas diterangkan dengan adanya ancaman mengenainya melalui sebuah hadis yang memerintahkan taswiyyah (meluruskan saf). Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sungguh kamu mahu meluruskan saf-saf kamu atau Allah akan menggantikan di antara wajah-wajah kamu".

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam kitab Syarah Shahih Muslim ada menyatakan pendapat-pendapat atau qaul mengenai maksud hadis di atas. Di antaranya pendapat yang mengatakan bahawa maksud "Allah akan menggantikan di antara wajah-wajah kamu" ialah mengubah atau menukarkan shurah atau bentuk rupanya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Allah menjadikan bentuk rupanya dengan bentuk keldai".

(Hadis riwayat Bukhari)

Pendapat yang azhhar bagi maksud hadis di atas itu, ialah terjadi di antara mereka (orang yang tidak meluruskan saf) permusuhan, kebencian dan perselisihan lubuk hati. (Syarah Shahih Muslim 3/131)

Walau bagaimanapun menurut Ibnu Hajar tidak meluruskan saf dalam sembahyang jemaah itu tidaklah membatalkan sembahyang. (Al-Mausu‘ah Al-Feqhiah 27/35-36)



KEUTAMAAN MEMENUHI SAF PERTAMA



Telah sepakat para fuqaha adalah sunat bagi para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama terlebih dahulu sehingga tidak ada ruang yang kosong atau renggang. Kemudian baharulah diikuti dengan saf yang kedua dan seterusnya, berdasarkan hadis-hadis yang shahih menyentuh perkara ini. Di antaranya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sempurnakanlah oleh kamu saf yang depan (saf yang pertama), kemudian saf-saf berikutnya, maka saf yang kurang itu (disebabkan sedikit makmum) hendaklah (saf yang kurang itu berada) di saf bahagian belakang".

(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Oleh yang demikian tidak digalakkan ke atas jemaah untuk mendirikan saf yang kedua atau berikutnya melainkan selepas sempurnanya saf yang pertama atau berikutnya. Dalam erti kata lain, jangan dibiarkan saf yang di hadapan makmum itu kosong atau renggang, bahkan disunatkan ke atas mereka mengisinya.

Adalah disunatkan juga ke atas makmum yang berada di hadapan memberi ruangan kepada makmum yang hendak masuk ke saf tersebut selagi ada ruang baginya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf), dan janganlah kamu biarkan celah-celah (yang kosong) itu untuk syaitan. Barangsiapa menghubungkan saf, maka Allah menghubungkannya (dengan rahmatNya) dan barangsiapa memutuskan saf, maka Allah memutuskannya (daripada rahmat dan pertolonganNya)".

(Hadis riwayat Abu Daud)



KELEBIHAN SAF PERTAMA



Dalam beberapa hadis ada menyebutkan kelebihan atau fadhilat saf yang pertama itu, di mana jika mereka mengetahui akan kelebihannya, nescaya mereka akan berebut-rebut untuk mendapatkannya sehingga terpaksa diadakan undian. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Andaikata mereka tahu apa yang ada di dalam saf yang depan, nescaya akan di adakan undian”.

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

“Andaikata orang-orang tahu apa yang terdapat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan cara berundi di antara mereka, pasti mereka mahu mengundinya. Andaikata mereka tahu apa yang terdapat di dalam hal melakukan sembahyang, pasti mereka berlumba-lumba mendapatkannya. Andaikata mereka tahu apa yang terdapat di dalam sembahyang Isya dan Subuh, pasti mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak”.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain sabda Baginda yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya mengucapkan selawat (selawat Allah: rahmat dan selawat malaikat: istighfar) terhadap makmum-makmum di baris pertama”.

(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Sepakat para fuqaha bahawa saf yang afdhal atau lebih utama bagi lelaki sama ada bersama mereka kanak-kanak atau perempuan adalah saf yang pertama. Begitu juga bagi perempuan yang tidak bersama mereka makmum lelaki atau berjemaah bersama dengan lelaki tetapi ada penghalang atau tabir antara keduanya, maka yang afdhalnya di saf yang pertama. Akan tetapi jika perempuan itu berjemaah bersama dengan lelaki tanpa ada penghalang atau tabir, maka yang afdhal atau lebih utama bagi perempuan itu saf yang terakhir, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang pertama, dan sejelik-jeliknya ialah saf yang terakhir. Sebaik-baik saf bagi wanita adalah saf yang paling belakang, dan sejelik-jeliknya ialah saf yang pertama”.

(Hadis riwayat Muslim)

Di antara kelebihan-kelebihan yang ada di dalam saf juga ialah mengambil tempat dalam kedudukan di sebelah kanan imam lebih afdhal atau utama daripada kedudukan sebelah kiri imam. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengucapkan selawat kepada makmum di saf-saf kanan”.

(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)







KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM



Makmum hendaklah berada di belakang imam. Adalah batal sembahyang makmun itu jika dia berada di hadapan imam. Manakala jika imam dan makmun dalam kedudukan yang sama maka tidaklah batal sembahyang mereka, akan tetapi hukumnya adalah makruh.

Disunatkan juga agar kedudukan atau tempat imam tidaklah tinggi dibandingkan dengan kedudukan makmumnya, begitu juga sebaliknya iaitu kedudukan makmum tidaklah tinggi dibandingkan dengan kedudukan imam, melainkan jika imam itu bertujuan untuk mengajar makmumnya perbuatan sembahyang atau makmum itu bertujuan untuk menyampaikan takbir imam kepada makmum yang lain. Dalam keadaan ini, makmum tersebut adalah digalakkan untuk meninggikan tempat kedudukannya. (Majmuk 4/190-191, 4/186-187)

Di antara adab-adabnya juga ialah imam disunatkan berada di antara tengah-tengah saf makmum yang berada di belakang. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Jadikanlah kedudukan imam itu berdiri di tengah-tengah dan penuhilah celah-celah saf (yang kosong)”.

(Hadis riwayat Abu Daud)



KEDUDUKAN MAKMUM TUNGGAL DALAM SAF SEMBAHYANG



Apabila sembahyang jemaah itu hanya dengan seorang makmum, maka disunatkan baginya berada di sebelah kanan imam, tetapi hendaklah ke belakang sedikit daripada imam. Manakala jika makmum berada di sebelah kiri atau di belakang imam, disunatkan baginya untuk berpindah ke sebelah kanan dengan menjaga daripada perkara-perkara yang membatalkan sembahyang seperti bergerak lebih daripada tiga kali berturut-turut. Walau bagaimanapun, hanya makruh hukumnya jika dia terus berada di kiri atau di belakang imam. Jika makmum itu tidak juga berpindah disebabkan jahil atau sebagainya, maka disunatkan bagi imam itu memindahkan makmum atau memindahkan dirinya supaya berada di depan sebelah kiri makmum, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma katanya yang maksudnya :

“Pada suatu malam saya tidur di rumah Maimunah dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alahi wasallam berada di sana malam itu. Beliau berwudhu dan berdiri untuk sembahyang. Saya bersamanya dan berdiri di sebelah kirinya tetapi beliau memindahkan saya ke sebelah kanannya”.

(Hadis riwayat Bukhari)



KEHADIRAN MAKMUM KEDUA KETIKA IMAM SEDANG SEMBAHYANG



Apabila makmum yang lain baru datang (masbuk) walaupun kanak-kanak, sedangkan makmum yang pertama berada di sebelah kanan imam dalam keadaan mereka berdiri, maka dalam hal ini, kedudukannya adalah mengikut keadaan tertentu:

Pertama, jika di hadapan imam itu luas dan di belakang makmum sempit, maka imam hendaklah bergerak ke hadapan. Manakala jika sebaliknya iaitu luas di belakang makmum dan sempit di hadapan imam, maka hendaklah makmum itu tadi berundur ke belakang.

Kedua, jika kedua-dua tempat itu luas, maka yang afdhalnya mengikut pendapat yang shahih makmum hendaklah berundur ke belakang dan imam tidak perlu berpindah ke depan kerana mereka mengikut imam. Manakala jika makmum kedua itu datang dalam keadaan mereka duduk atau sujud, maka tidak boleh mereka bergerak ke belakang atau ke hadapan sehinggalah sesudah mereka berdiri semula.

Dalam semua keadaan ini, jika mereka menyalahi aturan saf yang telah ditentukan, seperti seorang makmum berdiri di sebelah kiri atau belakang imam atau dua orang makmum berdiri di sebelah kanan atau kiri imam dan di antara kedua mereka ada yang berdiri di belakang dan seorang lagi berdiri di sebelah kanan imam atau sebagainya, adalah sah juga sembahyang mereka dan tidak perlu lagi diulang ataupun melakukan sujud sahwi, tetapi makruh hukumnya mereka melakukan kesalahan tersebut. (Majmuk 4/184-185)

Dalam keadaan jemaah yang ramai pula, yang dihadiri oleh orang yang baligh, kanak-kanak lelaki, khuntsa dan perempuan, disunatkan lelaki yang baligh itu berada di saf hadapan kemudian diikuti oleh kanak-kanak, khuntsa (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan baharulah jemaah perempuan di saf yang terakhir. Manakala jika dihadiri oleh ramai jemaah lelaki, seorang kanak-kanak lelaki, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka jemaah lelaki berada di saf hadapan bersama-sama dengan kanak-kanak tersebut kemudian diikuti di belakang mereka khuntsa seorang diri dan baharulah jemaah perempuan berdiri seorang diri di belakang khuntsa. Jika makmum terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka kanak-kanak itu berdiri di sebelah kanan imam kemudian diikuti oleh khuntsa di belakang kanak-kanak itu dan di belakang khuntsa diikuti pula oleh jemaah perempuan.



BERADA DI BELAKANG SAF SEORANG DIRI



Adalah makruh hukumnya jika seorang makmum itu berada seorang diri di belakang saf sedangkan di hadapannya masih ada ruang yang kosong. Oleh itu disunatkan baginya mengisi tempat kosong itu. Akan tetapi jika di hadapan makmum itu tiada ruangan kecuali di belakang saf sahaja, maka mengikut pendapat yang shahih, di antaranya Syeikh Abu Hamid dan selainnya daripada nash Syafie, adalah disunatkan bagi makmum yang berada seorang diri di belakang saf itu menarik seorang daripada makmum yang berada di hadapannya. Disunatkan juga bagi makmum yang ditarik ke belakang itu bekerjasama iaitu berundur ke saf belakang bersama-sama dengan makmum yang seorang diri itu, demi untuk kesempurnaan saf dan mengelakkan juga daripada pendapat ulama lain yang mengatakan bahawa berada seorang diri di belakang saf itu batal sembahyang sebagaimana mereka berpegang kepada sebuah hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Tidak ada sembahyang bagi makmum seorang diri yang di belakang saf”.

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Akan tetapi mengikut ashhab bahawa hujah atau dalil mereka berdasarkan hadis itu adalah bermaksud bahawa tiada sempurna sembahyang bagi seorang yang di belakang saf, bukannya bermaksud tidak sah sembahyang. Dan takwil atau maksud hadis yang dinyatakan oleh ashhab ini adalah yang wadhih iaitu jelas. Mengikut pendapat Syeikh Abu Hamid dan selainnya lagi bahawa tidak boleh bagi makmum yang seorang diri itu menarik makmum di hadapannya melainkan sesudah dia mengangkat takbirratul ihram. Dalam keadaan di atas iaitu jika seorang makmum berada seorang diri di belakang saf adalah tidak membatalkan sembahyang hanya makruh hukumnya. (Majmuk 4/189-190)



KANAK-KANAK BERADA DALAM SAF LELAKI DEWASA



Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah mengenai hukum kanak-kanak lelaki yang belum baligh dan belum berkhatan berada di dalam saf orang lelaki dewasa. Adakah kehadiran mereka itu merosakkan saf atau fadhilat sembahyang berjemaah dan adakah boleh dikeluarkan mereka itu dari saf tersebut supaya diisikan tempatnya itu oleh lelaki dewasa?

Dalam kumpulan fatwa Imam Ibnu Hajar, menurut qaul yang muktamad, bahawa kanak-kanak lelaki apabila mereka mendahului orang-orang yang baligh ke saf yang pertama, tiada harus (tidak boleh) bagi orang-orang yang baligh itu mengeluarkan mereka dari saf yang pertama itu, kerana kanak-kanak lelaki itu adalah jenis orang lelaki.

Seterusnya Ibnu Hajar menerangkan bahawa bukanlah maksud kanak-kanak lelaki datang dahulu itu sebagai kehadiran mereka terlebih dahulu ke masjid daripada orang dewasa tetapi maksudnya mereka hanya mendahului pada saf yang pertama sekalipun sebelum didirikan sembahyang. Maka pada ketika itu tidaklah boleh diketepikan kanak-kanak lelaki dari saf mereka untuk diberikan kepada lelaki dewasa.

Daripada perkataan Imam Ibnu Hajar di atas ini, apabila kanak-kanak lelaki datang ke masjid dan dia telah duduk di dalam mana-mana saf sembahyang dengan tujuan hendak sembahyang mengikut imam, sama ada sembahyang Jumaat atau sebagainya, maka orang dewasa tidak boleh mengalih dan mengeluarkan kanak-kanak lelaki tersebut dari saf-saf mereka itu.

Adapun hukum kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan yang tidak diketahui adakah dia membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau tidak, apabila dia berada dalam saf tersebut, adakah ianya merosakkan saf dan adakah sedemikian itu menghilangkan fadhilat pahala berjemaah, berkata Al-Imam Al-Sayyid Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya di dalam kitab Bughyah Al-Mustarsyidin:

“Jika ada di dalam saf sesiapa yang tidak sah sembahyangnya seperti ada najis padanya, atau ada lahn (seperti tidak betul bacaan Fatihahnya) atau ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian, maka tiadalah luput fadhilat (tidak hilang kelebihan pahala) berjemaah ke atas orang-orang yang berdiri di belakang mereka, sekalipun lebih jauh saf mereka dari saf orang yang sah sembahyangnya, sekadar boleh muat seorang berdiri pada masalah yang pertama (iaitu ada najis padanya atau ada lahn) dan lebih jauh dari tiga hasta pada masalah yang kedua (iaitu ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian). Kecuali, jika orang-orang yang berada pada saf-saf di belakang itu mengetahui akan batal sembahyang orang yang tersebut itu dan sembahyangnya itu tidak sah pada pendapat ulama yang sah bertaklid padanya dan mereka berkuasa mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka itu dari saf-saf mereka dengan tiada takut (apa-apa kemudaratan) ke atas diri atau harta atau nama (apabila mereka mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka dari saf-saf mereka itu). Kerana fadhilat pahala berjemaah boleh diperolehi dengan mengikut seorang imam yang mana makmum tidak mengetahui imam itu berhadas (padahal dia berhadas). Adalah lebih utama tidak mengetahui akan batal sembahyang orang-orang yang dia tidak ada sangkut paut di antaranya dan di antara orang yang batal sembahyangnya itu, dan kerana berjauh-jauh (dari satu saf kepada satu saf) dengan ada suatu keuzuran seperti panas (seperti di Masjid Al-Haram ada saf jauh-jauh dan putus kerana panas terik matahari pada tempat-tempat lapang), tidak meluputkan fadhilat berjemaah. Maka begitu juga di sini (makmum yang batal sembahyangnya berada dalam saf-saf sembahyang) dan kerana dia berhak di tempat itu dengan sebab dia telah datang dahulu serta taklidnya yang mengatakan sah sembahyang dan begitu juga jika dia tidak bertaklid (kepada mana-mana ulama) di atas asas bahawa orang awam itu tiada mempunyai mazhab.

Maka dari itu diketahui, bahawa barangsiapa telah berada di dalam saf, tidak harus (tidak boleh) diketepikan dia itu dari safnya, melainkan jika diketahui sembahyangnya batal dengan ijma‘ ulama, atau dia beriktikad bahawa sembahyang orang itu rosak ketika dia mengerjakan sembahyangnya itu.”

Maka jika didapati kanak-kanak lelaki yang dibawa oleh bapanya duduk dalam mana-mana saf sembahyang dan tidak diketahui kanak-kanak itu sudah berkhatan atau belum, dan tidak diketahui sama ada dia telah membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau belum, maka menurut pendapat atau fatwa Al-‘Allamah Al-Sayyid Abdullah bin Yahya yang di atas ini perkara itu tidak meluputkan fadhilat sembahyang berjemaah dan sah sembahyang orang yang berada dekat dengan kanak-kanak itu di dalam saf-saf itu.



PENUTUP





Melalui penjelasan mengenai adab-adab dan permasalahan kedudukan makmum dan imam di dalam saf sembahyang, sayugialah diharapkan kepada kita semua untuk memenuhi tuntutan atau galakan syara’ di dalam permasalahan saf-saf sembahyang. Demi mendapatkan pahala dan fadhilat berjemaah yang lebih sempurna.

Oleh yang demikian, diharapkan kepada para jemaah agar memberi kerjasama dalam menyempurnakan saf-saf sembahyang seperti memberi ruangan kepada makmum yang hendak masuk ke saf mereka, memberi isyarat kepada makmum yang lain supaya meluruskan atau memenuhi saf yang kosong dan sebagainya. Begitu juga, imam-imam disunatkan agar menyuruh atau menyeru para makmum untuk membetulkan dan menyempurnakan saf-saf mereka.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menjelaskan di dalam sebuah hadis Baginda bahawa mendirikan atau meluruskan saf itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan dan keelokan sembahyang berjemaah.

No comments: