..::AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKUM::..

ASSALAMU'ALAIKUM & SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN.

..::MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM::..



MUAT TURUN MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM :
MUSHAF AL-QURAN TAJWID BESERTA TERJEMAHAN DALAM BAHASA MALAYSIA

YA ALLAH YA TUHAN KAMI, SAMPAIKANLAH KAMI KE BULAN RAMADHAN TAHUN 1443H

..::GALERI ALBUM PANITIA BAHASA ARAB SKBLM::..

                                                                                                                                                                                                                   

PENDEKATAN BEYBLADE BURST TARIK MINAT MURID SEKOLAH RENDAH PELAJARI BAHASA ARAB DENGAN LEBIH SANTAI, SERONOK DAN TERHIBUR



HARIAN METRO ONLINE :
BEYBLADE BURST LONJAK SEMANGAT BELAJAR MURID DALAM MATA PELAJARAN BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH
SEMINAR PINTAR BESTARI BAHASA ARAB 2022
BERSAMA DR. ABD RAZAK ABU CHIK (DR. ARABIC) KHUSUS UNTUK MURID SKBLM

.::(SABTU, 6 OGOS 2022)::.

.::BERSAMA MEMARTABAT & MEMPERKASAKAN BAHASA AL-QURAN.::.

..::MAKLUMAN TERKINI::..

Blog ini telah dikemaskini pada 16 April 2022.


.::Aktiviti Panitia Bahasa Arab SK Bandar Laguna Merbok Tahun 2022::.

Seminar Pintar Bestari Bahasa Arab 2022 Bersama Dr. Arabic.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 6 Ogos 2022.
Masa : 8.00 Pagi - 1.00 Tengah Hari.

Tempat :
Dewan Serbaguna SK Bandar Laguna Merbok.


Majlis Pelancaran Minggu Bahasa Arab Peringkat Sekolah Tahun 2022.

Hari : Ahad.
Tarikh : 23 Oktober 2022.
Masa : 7.45 Pagi - 8.15 Pagi.
Tempat : Dataran Perhimpunan SK Bandar Laguna Merbok.


Bengkel Digital Classroom Panitia Pendidikan Islam/Bahasa Arab SKBLM Tahun 2022.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 5 November 2022.
Masa : 8.30 Pagi - 12.30 Tengah Hari.
Tempat : Bilik Bestari j-QAF SK Bandar Laguna Merbok.


Klik sini :
Telegram Rasmi Ustaz Syahmi Beyblade (USB)


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Pendidikan Islam


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Bahasa Arab

PENGUNJUNG SETIA BLOG RASMI MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN (GBA SK LAGUNA MERBOK)

07 October 2008

HUKUM BERKAITAN SUTERA

HUKUM BERKAITAN SUTERA



Sutera adalah sejenis benang yang lembut dan halus yang didapati daripada sejenis ulat, ataupun bermaksud kain atau cita yang dibuat daripada benang sutera. (Kamus Dewan 1331)





Kain yang diperbuat daripada benang sutera ini sudah menjadi popular dikalangan orang ramai terutama sekali kaum perempuan dan tidak kurang pula oleh sebahagian kaum lelaki. Kain yang lembut dan halus serta mempunyai nilai yang tinggi ini menambahkan lagi minat pemakainya bagi menunjukkan status atau kedudukan seseorang itu sama ada sebagai orang yang berada atau ingin bergaya.





Sebagai barang yang mewah, seperti emas, Islam mempunyai penilaiannya tersendiri. Dalam Hal ini bagaimanakah pandangan Islam terhadap penggunaan sutera ini? Maka Irsyad Hukum kali ini akan menjelaskan dan menghuraikan beberapa perkara yang berhubung dengan penggunaan atau pemakaian sutera.





Hukum Memakai Sutera





Hukum memakai pakaian yang diperbuat daripada benang sutera itu tertakluk kepada pemakainya. Jika ia seorang perempuan adalah harus memakainya, sebaliknya haram hukumnya bagi lelaki. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang tafsirnya :





"Emas dan sutera dihalalkan bagi wanita daripada umatku dan diharamkan ke atas lelaki daripada umatku." (Hadis riwayat An-Nasa’ie)





Hadis yang lain lagi daripada Abu Laila katanya:





Maksudnya: "Ketika tiba di Madayin, Hudzaifah meminta minuman. Lalu datang seorang pembesar kampung dengan membawa gelas yang diperbuat daripada perak. (Hudzaifah) membuang gelas tersebut, lalu berkata: "Sesungguhnya aku tidak membuangnya melainkan aku melarangnya tetapi tidak berhenti. Sesungguhnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang kita daripada menggunakan sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta minum daripada bejana emas dan perak. Baginda bersabda: "Ia (sutera dan bejana) bagi mereka di dunia dan ia (sutera dan bejana) bagi kamu di akhirat." (Hadis riwayat Al-Bukhari)





Daripada Ibnu ‘Umar katanya :





Maksudnya: "Aku pernah mendengar ‘Umar menyebutkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa memakai sutera di dunia tidak akan memakainya di akhirat." (Hadis riwayat At-Tirmidzi)





Menurut Asy-Syaukani, bahawa hadis di atas menunjukkan kepada sindiran tidak masuk syurga, kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman bahawa pakaian ahli syurga itu adalah sutera. Oleh yang demikian, barangsiapa yang memakai pakaian sutera maka tidak akan masuk ke dalam syurga. Sementara menurut As-Suyuthi, hadis ini ditakwil oleh kebanyakkan ahli hadis bahawa orang yang memakai sutera itu tidak akan masuk syurga bersama-sama orang yang terdahulu yang berjaya. (Tuhfah Al-Ahwadzi, kitab Al-Adab, bab Ma Ja’a Fi Karahiyah Al-Harir Wa Ad-Dibaj: 8/88) Pendapat ini disokong lagi dengan hadis daripada Juwairiyah katanya :





Maksudnya: "Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Barangsiapa memakai pakaian sutera, nescaya Allah memakaikannya pakaian daripada neraka di hari qiamat kelak." (Hadis riwayat Ahmad)





Titik permulaannya pengharaman memakai pakaian sutera ini adalah ketika Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai sutera lalu dilarang oleh Jibril ‘alaihissalam, sebagaimana diceritakan dalam hadis daripada ‘Uqbah bin ‘Amir katanya:





Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dihadiahkan (oleh Ukaidir) dengan farruj (sejenis pakaian) sutera. Baginda memakainya lalu mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Setelah selesai sembahyang Baginda menanggalkan pakaian itu dengan keras seperti membencinya. Baginda bersabda: "Pakaian ini tidak sesuai bagi orang-orang yang bertakwa." (Hadis riwayat Muslim)





Banyak lagi hadis-hadis yang melarang lelaki memakai pakaian sutera dan mengharuskan perempuan memakainya, di antaranya hadis daripada ‘Ali Radhiallahu ‘anhu:





Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memegang sutera di tangan kirinya dan emas di tangan kanannya. Baginda mengangkat keduanya lalu bersabda: "Sesungguhnya kedua-dua ini haram ke atas lelaki daripada umatku dan halal bagi perempuan daripada umatku." (Hadis riwayat Ibnu Majah)





Adapun memakai sutera kerana dharurah seperti ketika musim sejuk atau panas atau selainnya, dan tiada pakaian lain selain sutera, maka harus dia memakai pakaian tersebut bahkan hendaklah dia memakainya bagi menutup aurat. (Al-Majmu‘, kitab Ash-Shalah, bab Ma Yukrah Lubshu Wa Ma La Yukrah: 4/380)



Kanak-Kanak Dipakaikan Sutera



Ada tiga pendapat dalam hukum orang yang memakaikan kanak-kanak pakaian sutera:



i. Haram ke atas orang yang memakaikan sutera kepada kanak-kanak sebagaimana dalam umum hadis di atas yang melarang lelaki memakai emas dan sutera.



ii. Harus memakaikan kanak-kanak yang belum baligh pakaian sutera itu. Ini kerana kanak-kanak itu belum mukallaf.



iii.Pendapat ketiga pula, jika kanak-kanak itu sampai umurnya tujuh tahun, maka haram dipakaikan sutera. Jika di bawah tujuh tahun, maka harus hukumnya. Dalam ketiga-tiga pendapat ini, pendapat yang kedualah yang ashah iaitu harus dipakaikan sutera ke atas kanak-kanak yang belum baligh. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/377-378)



Hukum Khuntsa Musykil Memakai Sutera



Khuntsa musykil ialah orang yang tidak nyata padanya tanda atau alamat yang menunjukkan dia sebagai lelaki ataupun perempuan, atau bertentangan tanda-tanda tersebut.



Setiap barang perhiasan yang diharamkan ke atas lelaki, diharamkan juga ke atas khuntsa musykil. Oleh yang demikian, haram bagi khuntsa musykil memakai sutera sebagaimana diharamkan ke atas lelaki. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/384)



Kain Sutera Sebagai Pakaian Biasa



Pakaian yang bercampur dengan sutera, menurut pendapat yang shahih dan masyhur adalah mengikut kadar timbangannya. Jika sedikit timbangan sutera itu, maka haruslah dipakai oleh lelaki, namun jika lebih banyak timbangan sutera itu berbanding dengan timbangan bahan yang lain itu, maka haram lelaki memakainya. Adapun jika sama timbangan antara keduanya, maka menurut pendapat yang shahih adalah harus dipakai oleh lelaki kerana ia bukan sutera. Sebagaimana dalam hadis daripada Ibnu ‘Abbas katanya:



Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada pakaian sutera yang tulen. Adapun sujian daripada sutera dan jahitan pakaian maka tidak mengapa." (Hadis riwayat Abu Daud)



Dalam hal pakaian yang disuji dengan sutera (sejenis jahitan untuk membuat bunga pada kain), adalah harus jika tidak melebihi empat jari. Ini termasuklah juga kocek pakaian, tampal dan sebagainya. Jika ia melebihi daripada empat jari, maka haram dipakai. Sebagaimana dalam hadis daripada Suwaid bin Ghafalah:



Maksudnya: "Sesungguhnya ‘Umar bin Al-Khattab berkhutbah di Jabiyah (bandar Syam) lalu berkata: "Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada memakai pakaian sutera melainkan pada kadar dua, tiga atau empat jari." (Hadis riwayat Muslim)



Jika dijahit pakaian itu dengan benang sutera adalah harus dipakai tanpa ada perselisihan pendapat. Melainkan baju besi berzirah (berantai) yang dianyam dengan emas walaupun sedikit adalah haram dipakai kerana ada kesombongan padanya. Sementara tasbih yang mempunyai benang sutera tidak haram menggunakannya. Adapun jubah yang bukan daripada sutera tetapi isi di dalamnya (yakni antara lapis luar dan lapis dalam) ada sutera atau terdapat sutera di dalam bantal atau sebagainya, adalah harus digunakan.



Manakala dalam perkara jubah ini, Imam An-Nawawi mengatakan:



Ertinya: "Jika dilapisan luar jubah sutera dan dilapis dalamnya kapas ataupun dilapis luarya kapas dan dilapis dalamnya sutera adalah haram digunakan tanpa ada perselisihan pendapat." (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/380)



Kain Sutera Sebagai Kapan



Haram mengkapankan mayat lelaki dengan kain sutera sebagaimana haram dia memakai ketika hidupnya. Manakala bagi mayat perempuan, boleh dikapankan dengan kain sutera sebagaimana dia boleh memakainya ketika hidupnya akan tetapi makruh hukumnya, kerana ada pembaziran, berbeza halnya ketika dia hidup kerana berhias-hias untuk suaminya. (Al-Majmu‘ kitab Al-Jana’iz bab Al-Kafan: 5/153)



Sembahyang Dengan Pakaian Sutera



Haram bagi lelaki memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas ketika sembahyang, namun sembahyangnya itu sah. Adapun jika tidak diperolehinya sebarang pakaian melainkan sutera, menurut pendapat yang ashah hendaklah dia memakai pakaian sutera itu. Demikian juga, jika dia hanya terdapat pakaian yang bernajis dan pakaian sutera. Menurut pendapat yang ashah, jika pakaian bernajis itu tidak dapat dibersihkannya, kerana ketiadaan air, maka wajib dia bersembahyang dengan pakaian sutera tersebut, kerana sutera itu suci dan ia hanya haram pada ketika bukan waktu dharurah.



Manakala bagi perempuan pula, harus dia memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas ketika sembahyang. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Satr Al-‘aurat: 3/181-182 & bab Thaharah Al-Badan: 3/ 147)



Rambut Diikat Dengan Benang Sutera



Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan yang menyambung atau meminta sambungkan rambut mereka dengan rambut orang lain. Menyambung rambut itu termasuk dalam dosa-dosa besar.



Adapun mengikat rambut dengan benang sutera atau sebagainya yang bukan menyerupai rambut, maka tidaklah termasuk dalam larangan di atas. Kerana ia tidak termasuk makna tujuan menyambung itu, akan tetapi untuk kecantikan dan mengelokkan. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Thaharah Al-Badan: 3/147)



Memakai Sutera Kerana Penyakit



Harus bagi lelaki memakai sutera jika dia berpenyakit seperti berkurap, berkudis atau sebagainya. Sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:



Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi kelonggaran kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf dan Zubir memakai pakaian sutera kerana ada kudis yang mereka alami." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



Demikian juga, harus memakai sutera bagi menghindarkan kutu sama ada ketika pelayaran ataupun tidak. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/381)



Penggunaan Sutera Pada Selain Pakaian



Haram bagi lelaki menggunakan sutera sama ada dijadikan pakaian, alas tempat duduk atau bersandar, dan segala jenis penggunaan. (Al-Majmu‘ kitab Ash-Shalah bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah: 4/377) Sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada Hudzaifah Radhiallahu ‘anhu katanya:



Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kita minum dan makan pada bejana emas dan perak, dan (melarang kita) daripada memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta duduk di atasnya." (Hadis riwayat Al-Bukhari)



Demikian juga, haram menjadikan sutera sebagai tabir pintu, tabir jendela atau sebagainya. (Asna Al-Mathalib, kitab Shalah Al-Khauf, bab Ma Yajuzu Lubsuhu Li Al-Muharibi Wa Ghairihi Wa Ma La Yajuz: 1/277)



Penutup



Walaupun sutera itu suci, harus dijual beli dan sah juga dijadikan pakaian sembahyang, namun ia haram dan berdosa ke atas lelaki memakainya. Oleh kerana itu hati-hatilah memakai sutera, kerana apalah ertinya suatu pakaian walaupun bermutu tinggi yang tujuannya untuk menutup aurat dan berhias menurut syara‘, akibatnya akan mendatangkan kerugian di akhirat kelak.



No comments: