Dalam riwayat Imam Bukhari tidak disebutkan berapa rakaat Ubay bin Kaab melaksanakan Solat Terawih. Di dalam hadis yang diriwayatkan ‘Aisyah r.a. tentang Solat Terawih selama tiga malam yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersama para sahabat, juga tidak disebutkan jumlah rakaatnya, sekalipun dalam riwayat ‘Aisyah lainnya ditegaskan tidak adanya perbezaan oleh Nabi Saw tentang jumlah rakaat solat malam, baik di dalam mahupun di luar Ramadhan.
Namun, riwayat ini berbicara pada konteks yang lebih umum iaitu solat malam. Hal itu terlihat pada kecenderungan para ulama yang meletakkan riwayat ini pada bab solat malam secara umum, misalnya Imam Bukhari meletakkannya pada bab solat tahajud, Imam Malik dalam al-Muwatha’ pada bab solat Witir Nabi Saw. [Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, jld. 4, hal. 250; Imam Malik, al-Muwatha’, bab Tanwir Hawalaik, hal. 141.]
Hal tersebut memunculkan perbezaan dalam jumlah rakaat Solat Terawih yang berkisar dari 11, 13, 21, 23, 36, bahkan 39 rakaat. Akar persoalan ini sesungguhnya kembali pada riwayat-riwayat berikut ini:
Pertama, hadis ‘Aisyah:
“Nabi tidak pernah melakukan solat malam lebih dari 11 rakaat baik di dalam mahupun di luar Ramadhan.” [Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, jld. 4, hal. 250.]
Kedua, Imam Malik dalam al-Muwatha’-nya meriwayatkan bahawa Umar bin Khattab menyuruh Ubay bin Kaab dan Tamim ad-Dari untuk melaksanakan Solat Terawih 11 rakaat dengan rakaat-rakaat yang sangat panjang. Namun dalam riwayat Yazid bin ar-Rumman bahwa jumlah rakaat yang didirikan di masa Umar bin Khattab 23 rakaat. [Imam Malik, al-Muwatha’, bab Tanwirul Hawalaik, hal. 138.]
Ketiga, Imam at-Tirmizi menyatakan bahawa Umar r.a. dan Ali r.a. serta sahabat lainnya melaksanakan Solat Terawih sejumlah 20 rakaat (selain witir). Pendapat ini didukung oleh ats-Tsauri, Ibn Mubarak dan Imam Syafi’i. [Sayyid Sabbiq, Fiqh as-Sunnah, jld.1, hal. 195.]
Keempat, bahkan di masa Umar bin Abdul Aziz kaum muslimin solat Terawih hingga 36 rakaat ditambah dengan Solat Witir 3 rakaat. Hal ini dikomentari Imam Malik bahawa masalah tersebut sudah lama menurutnya. [Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, jld. 4, hal. 250.]
Kelima, Imam Syafi’i dari riwayat az-Za’farani mengatakan bahawa ia sempat menyaksikan umat Islam melaksanakan Solat Terawih di Madinah dengan 39 rakaat, dan di Makkah 33 rakaat, dan menurutnya juga, hal tersebut memang memiliki kelonggaran.[Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, jld. 4, hal. 250.]
Dari riwayat di atas jelas, bahawa akar persoalan dalam perbezaan jumlah rakaat Solat Terawih, bukanlah persoalan jumlahnya melainkan kualiti rakaat yang hendak didirikan. Al-Hafidz Ibn Hajar berpendapat: “Bahawa perbezaan jumlah rakaat dalam rakaat Terawih muncul disebabkan panjang dan pendeknya rakaat yang hendak didirikan. Jika dalam mendirikannya dengan rakaat-rakaat yang panjang, maka berakibat pada sedikitnya jumlah rakaat dan demikian sebaliknya.” Hal senada juga diungkapkan oleh Imam Syafi’i, “Jika solatnya panjang dan jumlah rakaatnya sedikit itu baik menurutku. Dan jika solatnya pendek, jumlah rakaatnya banyak itu juga baik menurutku, sekalipun aku lebih senang pada yang pertama.” Selanjutnya beliau juga menyatakan bahawa orang yang melaksanakan Solat Terawih 8 rakaat dengan Witir 3 rakaat dia telah mencontohi Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam dan yang melaksanakan dengan solat 23 rakaat, mereka telah mencontoh Umar r.a., sedangkan yang melaksanakan 39 rakaat atau 41 mereka telah mencontoh salafus soleh dari generasi sahabat dan tabiin. Bahkan menurut Imam Malik r.a., hal itu telah berjalan lebih dari ratusan tahun.
Hal yang sama juga diungkapkan Imam Ahmad r.a. bahawa tidak ada pembatasan yang signifikan dalam jumlah rakaat Solat Terawih, melainkan tergantung panjang dan pendeknya rakaat yang didirikan. [Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, jld. 4, hal. 250.]
Imam az-Zarkani cuba menjawab persoalan ini dengan menukil pendapat Ibn Hibban bahawa Terawih pada mulanya 11 rakaat dengan rakaat yang sangat panjang namun bergeser menjadi 20 rakaat (tanpa witir) setelah melihat adanya fenomena keberatan umat Islam dalam mendirikannya. Bahkan hingga bergeser menjadi 36 (tanpa witir) dengan alasan yang sama. [Lihat hasyiah Fiqh as-Sunnah, jld. 1, hal. 195.]
Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua al-Lajnah ad-Da’imah, Arab Saudi, pernah ditanya, “Banyak di kalangan ulama yang menolak solat Terawih 20 rakaat, dan mereka berkata bahawa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam tidak melakukan lebih dari 11 rakaat.”
Maka Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz menjawab: “Solat Terawih 11 rakaat atau 13 rakaat, melakukan salam pada setiap 2 rakaat dan 1 rakaat witir adalah afdal (yakni lebih baik), meniru dan mencontohi cara Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam. Dan, siapa yang melaksanakan solat terawih 20 rakaat atau lebih, maka juga tidak salah. Ini kerana Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda, ‘Solat malam setiap 2 rakaat, jika dikhawatirkan akan Subuh, bersolatlah satu rakaat, yang menjadi witir baginya dari solat yang dilakukan.’ [HR. Mutafaq ‘Alaih].
Maka tidak dihadkan rakaat solat dan salamnya kerana sesungguhnya Umar r.a. dan sahabat-sahabat r.a. melakukan solat pada beberapa malam dengan 20 rakaat melainkan witir, dan mereka adalah orang yang lebih tahu akan sunnah.” [Al-Lajnah ad-Da’imah li’l-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa’l-Ifta’, jld. 7, hal. 198, fatwa nombor 6148. Cetakan ke 3, Riyad: Dar al-Mu’ayyad, 2000.]
Sedangkan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata, “Jika seseorang melakukan Solat Terawih sebagaimana mazhab Abu Hanifah, Asy-Syafi’i dan Ahmad iaitu 20 rakaat atau sebagaimana Mazhab Malik iaitu 36 rakaat, atau 13 rakaat, atau 11 rakaat, maka itu yang terbaik. Ini sebagaimana Imam Ahmad berkata, ‘Kerana tidak ada apa yang dinyatakan dengan jumlah, maka lebih atau kurangnya jumlah rakaat tergantung pada berapa panjang atau pendek qiyamnya (berdirinya)’.” [Al-Ikhtiyarat, hal. 64.]
Dengan demikian, tidak ada alasan yang mendasar untuk membezakan satu pendapat dengan pendapat lainnya dalam jumlah Solat Terawih; apalagi menjadi sebab perpecahan umat Islam. Jika kita perhatikan dengan cermat, maka yang menjadi kesepakatan dalam Solat Terawih adalah kualiti dalam menjalankannya dan bagaimana solat tersebut benar-benar menjadi media komunikasi antara hamba dan Rabb-Nya, zahir dan batin sehingga memberi ketenangan dalam kehidupan dan merasa selalu bersamaNya dimanapun berada.
No comments:
Post a Comment