Pages

05 December 2008

MAHAR (PART 5)


Perkara Yang Mewajibkan Mahar Mitsil



Terdapat beberapa perkara yang mewajibkan mahar mitsil di antaranya:

Nikah at-tafwidh: Pernikahan yang berlaku dengan akad yang sah akan tetapi tidak disebutkan di dalamnya mahar. Apa yang dimaksudkan dengan at-tafwidh itu adalah menyerahkan perempuan kepada suami atau walinya untuk menentukan kadar mahar.

Sebagai contoh, seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang baligh lagi rasyidah sama ada dara atau janda tanpa mahar dengan keizinan dan keredhaan perempuan itu. Seperti dia berkata kepada walinya: "Kahwinkan aku tanpa mahar." Maka wali tersebut mengahwinkannya dengan menafikan adanya mahar ataupun tidak menyebutkannya, dinamakanlah ia sebagai nikah at-tafwidh. Oleh yang demikian, nikah at-tafwid itu diwajibkan mahar mitsil dan nikahnya itu sah walaupun disyaratkan oleh perempuan tersebut bahawa tidak ada mahar baginya.

Diwajibkan bagi suami memberi mut‘ah sahaja jika belum berlaku persetubuhan (dukhul) dan belum ditentukan maharnya. Jika berlaku persetubuhan atau kematian sebelum dukhul dan sebelum ditentukan mahar, maka diwajibkan mahar mitsil. Adapun jika dalam keadaan nikah at-tafwid ini terjadi thalaq sebelum dukhul dan mahar belum lagi ditentukan, maka isteri hanya mendapat separuh mahar. (al-Majmuk: 18/48-49, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu: 9/6777-6781) Sebagaimana dalam mafhum ayat al-Qur’an, firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: "Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu." (Surah al-Baqarah: 237)

Bersepakat tidak ada mahar: Iaitu apabila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan tanpa mahar dengan persetujuannya, maka wajiblah mahar mitsil jika berlakunya persetubuhan (dukhul) atau kematian.

Mahar yang tidak sah di dalam akad: Apabila mahar yang disebutkan atau ditentukan di dalam akad sesuatu yang tidak sah untuk dijadikan mahar seperti bangkai, arak, sebutir biji gandum, setitik air, burung yang terbang di udara atau sebagainya adalah diwajibkan mahar mitsil dan nikahnya itu tetap sah walaupun maharnya fasid. (al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh: 9/6777-6781)

Perkara Yang Mewajibkan Mahar Musamma

Adapun perkara yang menyebabkan wajibnya mahar musamma itu ialah, apabila berlakunya akad yang sah dan mahar yang sah yang disebutkan di dalam akad atau selepasnya atas dasar keredhaan dan persetujuan.

Jika berlakunya akad pernikahan itu fasid (tidak sah) bukan disebabkan mahar yang tidak sah akan tetapi fasid pada nikah disebabkan oleh yang lain seperti pernikahan tanpa saksi, pernikahan mut‘ah atau sebagainya, adalah diwajibkan bagi suami membayar mahar jika berlaku dukhul yang hakiki. (al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh: 9/6782-6783) Sebagaimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Setiap perempuan yang telah bernikah tanpa izin walinya maka nikahnya itu batal, maka nikahnya itu batal, maka nikahnya itu batal. Jika suami menyetubuhinya (dukhul) maka baginya (perempuan itu) mahar kerana dia (suaminya) telah menghalalkan farajnya. Jika ada pertengkaran antara mereka maka hakim adalah wali bagi orang yang tidak mempunyai wali."

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penutup

Berdasarkan penjelasan di atas adalah menjadi tuntutan yang wajib ke atas para suami untuk memberikan mahar kepada isteri-isteri mereka sama ada sebelum, sesudah atau ketika akad nikah dilangsungkan sebagaimana dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadits yang telah diutarakan di atas.

Mahar itu boleh diberikan secara tunai, bertangguh (hutang) ataupun dibayar secara beransur-ansur dan ia juga menjadi hak mutlak kepada si isteri. Orang lain sekali-kali tidak berhak ke atasnya sekalipun wali untuk membiayai perbelanjaan majlis perkahwinan anak perempuannya itu melainkan dengan keizinannya.

Berdasarkan hadis yang disebutkan di atas juga, nikah yang paling besar berkatnya adalah yang sedikit maharnya, oleh itu sewajarnya mahar itu diringankan demi untuk mendapat keberkatan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanhu wa Ta‘ala melalui hadis Baginda itu. Walau bagaimanapun bagi bakal suami yang berkemampuan adalah mustahab (sunat) bertabaruk dengan perbuatan Nabi di dalam memberikan kadar mahar, demi mendapatkan keberkatan melalui setiap perbuatan yang dilakukan oleh Baginda.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.