Pages

05 December 2008

MAHAR (PART 4)

JENIS-JENIS MAHAR


Sudah menjadi kebiasaan di negara kita sebelum melangsungkan perkahwinan, satu majlis yang dikenali sebagai majlis besuruh diadakan bagi kedua belah pihak untuk merundingkan dan menetapkan kadar mahar yang akan diberikan oleh bakal suami. Pada kebiasaannya pihak perempuan akan menyebutkan kadar mahar yang ditetapkan, seterusnya pihak lelaki akan bersetuju dengan kadar yang dicadangkan itu.

Dalam hal ini, pihak lelaki berhak mencadangkan dalam waktu rundingan itu sama ada ingin memberikan mahar lebih tinggi ataupun kurang daripada kadar yang telah dikemukakan oleh pihak perempuan. Dengan ini tiadalah menjadi kesalahan asalkan ianya dipersetujui oleh kedua belah pihak dan mahar itu merupakan sesuatu yang bermanfaat dan bernilai.

Terdapat dua jenis mahar yang dikemukakan oleh para fuqaha, iaitu:

Mahar musamma: Iaitu mahar yang disebutkan di dalam akad atau selepas akad dengan keredhaan kedua pihak. Sama ada mahar itu disepakati dengan jelas di dalam akad atau ditetapkan bagi isteri selepas akad dengan keredhaan atau ditetapkan mahar itu oleh hakim. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: "Padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu."

(Surah al-Baqarah: 237)

Mahar mitsil: Ianya adalah kadar mahar yang ditentukan mengikut kebiasaannya pada nasab dan sifat daripada ‘ashabatnya di sebelah perempuan. Maka didahulukan mengikut susunan seperti di bawah ini:

- Adik beradik perempuan seibu sebapa

- Adik beradik perempuan sebapa

- Anak perempuan kepada adik beradik lelaki seibu sebapa

- Anak perempuan kepada adik beradik lelaki sebapa

- Ibu saudara sebelah bapa seibu sebapa

- Ibu saudara sebelah bapa sebapa

- Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa seibu sebapa

- Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa sebapa

Dijelaskan dalam sebuah hadis daripada ‘Alqamah katanya:

Maksudnya: " ‘Abdullah telah didatangi (ditanya) tentang seorang perempuan yang telah dinikahi oleh seorang lelaki, kemudian lelaki itu mati dan belum menentukan mahar kepadanya dan belum disetubuhinya."

‘Alqamah berkata: "Maka mereka pun berselisih pendapat tentangnya."

Maka ‘Abdullah berkata: "Saya berpendapat baginya seperti mahar perempuan-perempuan kaumnya dan baginya harta warisan dan ‘iddah." Maka mengakui Ma‘qal bin sinan al-Asyja‘i, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah membuat keputusan ke atas Birwa‘ binti Wasyiq sama dengan apa yang diputuskan oleh ‘Abdullah."

(Hadis riwayat Ahmad)

Adapun jika tidak didapati ‘ashabatnya itu (seperti senarai yang disebutkan di atas) sama ada ianya belum bernikah atau tidak diketahui berapa kadar maharnya, maka dilihatlah mahar itu pada dzawil arhamnya. Yang dimaksudkan dengan dzawil arham itu ialah ibu dan karabatnya. Bukanlah dzawil arham yang disebutkan dalam hukum faraidh, kerana ibu dan ibu-ibunya itu di dalam hukum faraidh adalah tergolong dalam ashabul furudh.

Menurut al-Mawardi dan ar-Ruyani, didahulukan daripada perempuan dzawil arham itu adalah seperti berikut:

- Ibu

- Adik beradik perempuan seibu

- Nenek perempuan

- Ibu saudara sebelah ibu

- Anak perempuan kepada adik beradik seibu

- Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah ibu

Jika tidak diperolehi juga perempuan-perempuan dzawil arham seperti senarai di atas sama ada belum berkahwin atau tidak diketahui kadar maharnya, maka dilihatlah kepada perempuan ajnabi (asing, bukan karabat) yang berdekatan dengannya di negerinya yang sudah bernikah dan setaraf dengannya. Sebagai contoh jika dia seorang hamba, maka dilihat pada hamba sepertinya dan jika dia orang badawiyyah (orang kampung), maka dilihatlah pada perempuan badawiyyah yang sepertinya dan jika dia orang bandar, maka dilihatlah pada perempuan bandar sepertinya.

Apabila tiada diketahui kadar mahar perempuan itu daripada ‘ashabat dan dzawil arhamnya. Baharulah dilihat kepada perempuan ajnabi yang berhampiran dengannya dan diambil kira juga pada sifat-sifat perempuan tersebut dalam menentukan banyak dan sedikit kadar mahar yang akan diberi seperti berikut:

- Akal: Perempuan yang mempunyai akal yang pintar lebih tinggi maharnya berbanding dengan perempuan yang kurang pintar.

- Umur: Perempuan yang muda lebih diingini daripada perempuan yang sudah lanjut usia.

- Kecantikan: Mahar perempuan yang cantik lebih tinggi daripada mahar perempuan yang kurang cantik.

- Senang dan susah: Mahar perempuan yang kaya lebih tinggi berbanding mahar perempuan yang miskin.

- Al-‘iffah (menjauhkan diri daripada maksiat): Perempuan yang ‘afifah lebih tinggi maharnya daripada perempuan yang suka berbuat maksiat.

- Al-hurriyyah (kebebasan): Mahar perempuan yang merdeka lebih tinggi berbanding mahar perempuan hamba.

- Al-bakarah (keperawanan): Anak dara lebih mahal maharnya daripada janda.

- Adab dan akhlak: Perempuan yang berperangai dan berakhlak mulia lebih tinggi maharnya daripada perempuan yang berperangai dan berakhlak buruk.

- Keturunan.

Di antara sifat-sifat yang disebutkan di atas terdapat sifat yang paling masyhur untuk diambil kira dalam mahar mitsil, ianya adalah agama, al-‘iffah dan al-hurriyyah. (al-Majmuk: 18/51-53)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.