Pages

04 October 2014

APLIKASI i-THINK DALAM PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

   Contoh-contoh peta i-Think yang telah dipraktikkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (pdp) Bahasa Arab. Murid-murid SK Laguna Merbok mengulangkaji pelajaran menggunakan alat berfikir i-Think (peta bulatan / peta buih) sebelum menghadapi peperiksaan akhir tahun yang akan diadakan pada 14 Oktober 2014 (PKSR 2 Bahasa Arab - Ujian Bertulis). 

   Alhamdulillah, proses ulangkaji pelajaran menjadi lebih mudah, ringkas dan cepat. Mudah mengingat kalimah-kalimah arab dalam setiap tajuk yang dipelajari. Begitu juga halnya dengan qawaid-qawaid arab yang terdapat dalam tajuk-tajuk tertentu seperti isim isyarah, dhamir munfasil, dhamir muttasil, alif lam asy-syamsiah, alif lam al-qamariah, jamak taksir, jamak muzakkar, jamak muannas, huruf mad dan harakat-harakatnya serta berbagai-bagai lagi. 

  Pengaplikasian peta-peta i-Think ini sedikit sebanyak dapat membantu mencetuskan kreativiti dan inovasi murid dalam proses pembelajaran mereka. Sekali gus, meningkatkan lagi kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). 

  Murid-murid juga tidak merasa beban untuk mengulangkaji pelajaran, khususnya murid-murid sederhana dan lemah. Mereka merasa lebih seronok, malahan ada juga dalam kalangan murid-murid yang lemah, yang melibatkan diri secara aktif dalam kelas melakarkan peta-peta berkenaan mengikut kreativiti masing-masing. Akhirnya, pdp berjaya dilaksanakan dengan jayanya kerana ia lebih berpusatkan murid. 

   Inilah yang kita cuba terapkan dalam pdp, di mana kita perlu melibatkan murid-murid dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan dalam kelas. Pelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, agar objektif pembelajaran dapat dicapai dengan jayanya. Murid-murid juga lebih seronok belajar, di samping bergiat aktif dalam kelas kerana guru mengaplikasikan berbagai-bagai kaedah yang menarik untuk memberi peluang kepada mereka melibatkan diri secara langsung dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Akhirnya, murid-murid minat dengan subjek Bahasa Arab. 

   Terungkailah segala persepsi negatif murid-murid tentang subjek Bahasa Arab merupakan satu subjek yang susah. Persepsi negatif mereka selama ini telah pun bertukar menjadi positif dengan menganggap bahawa mempelajari Bahasa Arab sangat mudah dan cepat. 

   Pendekatan sebeginilah yang perlu guru-guru Bahasa Arab aplikasikan dalam rangka menarik minat murid-murid mempelajari Bahasa Arab. Seterusnya dapat merungkai segala persepsi negatif murid terhadap subjek Bahasa Arab sebagaimana yang telah disebutkan sebentar tadi.















No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.