Pages

28 November 2009

INGIN BERKAHWIN, TETAPI TIADA WANG


Islam bukanlah agama yang mempersulitkan seseorang, melainkan memberi kemudahan (yusrun), termasuk bagi orang miskin yang ingin berkahwin. Nabi SAW bersabda;"Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah seseorang memperberat urusan agama, kecuali dia akan dikalahkan oleh agama." (HR Bukhari, no. 38).

Kemudahan itu nampak dalam penyelesaian berikut :

Pertama, Islam menetapkan bahawa kemiskinan bukanlah penghalang (mani') bagi orang miskin untuk berkahwin. Berkahwin hukumnya boleh bagi orang miskin, tidaklah haram. Kepada mereka, Allah SWT berfirman : "Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya." (Surah An-Nuur : 32). Imam Ath-Thabari menafsirkan ayat ini bahawa;"Kemiskinan mereka tidaklah mencegah mereka untuk dinikahkan." (Tafsir Ath-Thabari, 19/166).

Kedua, Islam menganjurkan agar mahar seringan mungkin yakni tidaklah mahal. Nabi SAW bersabda;"Sebaik-baik mahar, adalah yang paling ringan [bagi laki-laki]." (HR Al-Hakim, Al-Mustadrak no. 2692). Mahar boleh berbentuk benda ('ain), atau dalam bentuk jasa (manfaat). Nabi SAW pernah bersabda kepada lelaki miskin yang akan menikah;"Carilah [mahar] walau hanya sebentuk cincin besi." Namun lelaki itu tidak mampu untuk mendapatkannya. Lalu Nabi SAW bertanya;"Apakah kamu menghafaz Al-Qur`an?" Lelaki itu menjawab;"Ya, surat ini dan surat itu." Lalu Nabi SAW menikahkan lelaki itu dengan mahar berupa hafazan surah yang dia miliki. (HR Malik no. 968, Bukhari no. 4740, An-Nasa`i no. 3306, Ahmad no. 21783).

Ketiga, Islam membolehkan seseorang berhutang (istiqradh) untuk mengatasi permasalahan ini. Berhutang hukumnya jaiz (boleh), kerana Nabi SAW juga pernah berhutang (istiqradh) kepada orang lain. (An-Nabhani, An-Nizham Al-Iqtishadi fi Al-Islam, h. 259).

Keempat, Islam juga membolehkan akad dhaman (jaminan), iaitu akad yang dilakukan seseorang untuk menggabungkan tanggungan pihak lain kepada tanggungan orang itu. (Rawwas Qal'ah Jie, Mu'jam Lughah Al-Fuqaha, h. 213). Kalau ada orang lain yang menjamin pembayaran mahar untuk isteri anda, ini dinamakan akad dhaman, dan ini boleh menurut syara'. (An-Nabhani, An-Nizham Al-Iqtishadi fi Al-Islam, h. 185).

Kelima, Islam memberikan penyelesaian berbentuk puasa, sebagai usaha menjaga kesucian diri (iffah). (An-Nabhani, An-Nizham Al-Ijtima'I fi Al-Islam, h. 97). Firman Allah : "Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurnia-Nya." (Surah An-Nuur : 33). Sabda Nabi SAW,"Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu sudah sanggup berkahwin, maka kahwinlah. Kerana berkahwin itu lebih menjaga pandangan mata dan memelihara kemaluan. Kalau ia belum mampu, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah perisai baginya." (HR Bukhari no. 4677, Muslim no. 2485)

Inilah sebahagian penyelesaian Islam, yang jika diamalkan akan dapat mengurangi beban pembiayaan nikah. Kadang-kadang seseorang memperberat dirinya dengan sesuatu yang di luar kemampuannya, padahal itu tidak diwajibkan syara'. Misalnya kenduri, padahal kenduri hukumnya sunnah, tidak wajib. Demikian pula memberikan hadiah kepada calon isteri, hukumnya mubah, tidak wajib. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.