Pages

03 September 2009

BOLEHKAH ZAKAT UNTUK MEMBINA MASJID?


Ada khilafiyah di kalangan ulama mengenai boleh tidaknya memanfaatkan zakat untuk membina masjid. Khilafiyah ini berpangkal dari perbezaan penafsiran istilah fi sabilillah pada ayat tentang 8 ashnaf (golongan) mustahiq zakat (Surah At-Taubah : 60).


Sebahagian ulama menafsirkan fi sabilillah secara umum, iaitu segala jalan kebajikan (fi jami'i wujuh al-khair). Maka mereka membolehkan zakat untuk membina masjid, kerana termasuk jalan kebajikan. Imam Fakhrur Razi, misalnya, menafsirkan fi sabilillah dalam erti segala jalan kebajikan, misal mengkafani mayat, membangun benteng, dan memakmurkan masjid ('imaratul masajid). (Fakhrur Razi, Mafatihul Ghaib, 8/76).


Pendapat semakna juga dikemukakan antara lain oleh Imam Al-Khazin (Lubab At-Ta`wil fi Ma'ani At-Tanzil, 3/295), Imam Jamaluddin Al-Qasimi (Mahasin At-Ta`wil, 8/3181), Imam Al-Alusi (Ruhul Ma'ani, 7/271), Sayyid Rasyid Ridho (Al-Manar, 10/587), Sayyid Quthub (Fi Zhilal Al-Qur`an, 4/34), dan Syaikh Al-Maraghi (Tafsir Al-Maraghi, 10/145).


Namun jumhur ulama menafsirkan fi sabilillah secara khusus, iaitu jihad fi sabilillah dalam erti perang (qital) dan segala sesuatu yang berhubung dengan perang, misalnya membeli senjata dan alat perang. Maka menurut jumhur ulama, zakat tidak boleh digunakan untuk membina masjid, kerana membina masjid tidak termasuk jihad fi sabilillah. Imam Suyuthi, misalnya, menafsirkan fi sabilillah dalam Surah At-Taubah : 60 dengan berkata, "Mereka adalah para mujahid (humul mujahidun)."(Imam Suyuthi, Ad-Durr Al-Mantsur, 5/101). Pendapat ini merupakan pendapat majoriti (jumhur) ulama, antara lain pendapat Imam Ath-Thabari (Tafsir Ath-Thabari, 14/319), Imam Al-Qurthubi (Tasfir Al-Qurthubi, 8/185), Imam Ibnul Arabi (Ahkamul Qur`an, 4/337), Imam Al-Jashash (Ahkamul Qur`an, 7/70), dan Imam Syafi'i (Ahkamul Qur`an, 1/123).


Pendapat yang rajih (lebih kuat) menurut kami adalah pendapat jumhur ulama, kerana dua alasan.


Pertama, dengan melakukan penelusuran induktif (istiqra`) pada ayat-ayat Al-Qur`an terkait, dapat disimpulkan kata "fi sabilillah" jika dihubungkan kata infaq (pembelanjaan harta) atau yang semakna, pada dasarnya mempunyai erti khusus, iaitu jihad fi sabilillah, kecuali jika redaksi ayat bermakna umum, maka "fi sabilillah" bererti umum (misal Surah 2:261). Imam Taqiyuddin An-Nabhani berkata,"Jika kata fi sabilillah dihubungkan dengan infaq, ertinya adalah jihad, kecuali jika terdapat qarinah (indikasi) yang memindahkan maknanya dari makna jihad." (Muqaddimah Ad-Dustur, hal. 334).


Kedua, jika kata fi sabilillah dalam Surah At-Taubah: 60 diertikan secara umum, iaitu untuk semua jalan kebajikan (wujuh al-khair), maka ayat itu malah menjadi tidak jelas maknanya. Sebab semua jalan kebajikan (wujuh al-khair) ertinya luas dan umum, termasuk di dalamnya memberi zakat kepada tujuh ashnaf lainnya, yakni orang fakir, miskin, amil zakat, muallaf, ibnu sabil, dan orang berhutang. Lalu apa bezanya memberikan zakat kepada ke tujuh ashnaf itu, dengan memberi zakat kepada fi sabilillah? Ertinya, kata fi sabilillah pada ayat itu haruslah memiliki makna khusus (iaitu jihad), agar dapat dibezakan maknanya dengan tujuh ashnaf lainnya.


Kesimpulannya, makna fi sabilillah yang tepat adalah jihad, bukan yang lain. Maka memberikan zakat untuk membina masjid tidak dibolehkan secara syar'i, kerana membina masjid tidak termasuk jihad. Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.