Pages

05 December 2008

MAHAR (PART 1)

MAHAR


Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia juga menjadi fitrah semula jadi manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

"Maha suci Allah Tuhan yang telah menciptakan (makhluk-makhluk) semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, atau pun dari apa yang mereka tidak dapat mengetahuinya."

(Surah Yasin: 36)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi yang tafsirnya :

"Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan kami)"

(Surah adz-Dzariyat: 49)

Cuma perkahwinan atau pengawanan binatang mengikut sesuka hatinya, tidak mengira anak atau ibunya sendiri atau pasangan binatang yang lain. Sedangkan perkahwinan manusia mestilah mengikut peraturan dan undang-undang, kerana itu apabila pasangan itu melakukan persetubuhan rambang, maka perbuatan itu adalah haram dan berdosa besar.

Dalam makna yang lain manusia tidak boleh sewenang-wenangnya menjalin hubungan atau bergaul dengan pasangannya tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara‘, seperti adanya ijab qabul, wali nikah, saksi dan pasangan yang halal dikahwini. Mana-mana perhubungan di luar syarat nikah adalah haram lebih-lebih lagi jika terjebak kepada perkara yang membawa perzinaan.

Sesudah terlaksananya perkahwinan dengan cara yang betul dan sah disisi syara‘, terdapat beberapa tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dalam kehidupan suami isteri. Iaitu hak isteri ke atas suami, hak suami ke atas isteri dan hak mereka bersama.

Di antara hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami ialah memberi maskahwin. Maskahwin dalam perkataan Arab disebut dengan mahar. Mahar adalah pemberian wajib daripada seorang suami kepada isterinya disebabkan pernikahan atau persetubuhan (dukhul).

Mahar dipanggil juga sebagai Shadaq, Nihlah, Faridhah, Hiba’, Ajr, ‘Aqr, ‘Ala’iq, Thaul dan Nikah. Terdapat enam perkataan yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu perkataan Shadaq dan Nihlah dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

"Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib."

(Surah an-Nisa’: 4)

Perkataan Nikah dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirya :

"Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatan."

(Surah an-Nur: 33)

Perkataan Thaul dalam firmanNya yang tafsirnya :

"Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup."

(Surah an-Nisa’: 25)

Sementara perkataan Ajr dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

"Berikanlah maskahwinnya menurut yang patut."

(Surah an-Nisa’: 25)

Perkataan Faridhah dalam firmanNya yang tafsirnya :

"Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pemberiannya)."

(Surah an-Nisa’: 24)

Dengan wujudnya kewajipan membayar mahar kepada perempuan itu, menunjukkan penghargaan Islam terhadap kaum wanita sekaligus menaikkan martabat mereka. Ini kerana pada zaman jahiliyah, wanita tidak boleh memiliki atau mewarisi harta bahkan mereka dijadikan sebagai barangan yang boleh dijual beli atau dipinjam-pinjamkan.

Mahar Para Isteri Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Dan Anak Perempuan Baginda

Mahar atau maskahwin memang sudah wujud sejak zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sahabat-sahabat Baginda. Mahar itu telah pun menjadi ketetapan dalam syara’.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi mahar kepada isteri-isterinya sebanyak dua belas setengah uqiyyah iaitu lima ratus dirham (kira-kira B$877.62 mengikut kiraan dirham masa kini, di mana 200 dirham bersamaan dengan B$351.05. (Lihat Kitab Hukum Zakat Dr. Yusuf Qardhawi: 256). Sebagaimana telah di dalam hadis daripada Abu Salamah, beliau bertanya kepada Sayyidatuna ‘Aisyah tentang mahar yang diberikan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu ‘Aisyah berkata maksudnya :

"Baginda memberi mahar kepada isteri-isterinya sebanyak dua belas uqiyyah dan satu nasy. ‘Aisyah berkata: "Tahukah kamu apa itu nasy?"

Abu Salamah berkata: "Aku berkata: "Tidak tahu."

‘Aisyah berkata: "Setengah uqiyyah. Demikian itu kesemuanya sebanyak lima ratus dirham. Maka inilah kadar mahar yang diberikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada isteri-isterinya."

(Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Daripada Abu al-‘Ajfa’ as-Sulamiy, berkata ‘Umar bin al-Khatthab yang maksudnya :

"Saya tidak pernah tahu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menikahi isteri-isterinya dengan sesuatu (mahar) dan tidak menikahkan anak-anaknya dengan sesuatu (mahar) lebih daripada dua belas uqiyyah."

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud dan an-Nasa’ie)

Dikatakan bahawa mahar Ummu Habibah iaitu isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebanyak empat ribu dirham atau empat ratus dinar. Namun kadar mahar yang tinggi itu bukannya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda tidak berakad nikah dengan kadar yang banyak itu. Akan tetapi ianya adalah merupakan tabarru‘ daripada an-Najasyie sebagai memuliakan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebagaimana dalam hadis Ummu Habibah yang maksudnya :

"Bahawasanya dia (Ummu Habibah) di bawah tanggungan ‘Ubaidullah bin Jahsy (suaminya). Lalu suaminya meninggal dunia di tanah Habsyah, maka an-Najasyie menikahkannya dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dia (an-Najasyie) memberikan maharnya (Ummu Habibah) bagi pihak diri Rasulullah sebanyak empat ribu dirham. An-Najasyie mengutus Ummu Habibah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan ditemani oleh Syurahbil bin Hasanah. Berkata Abu Daud: "Hasanah itu adalah Ibunya (Syurahbil)."

(Hadis riwayat Abu Daud)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.