..::AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN BIKUM::..

ASSALAMU'ALAIKUM & SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN.

..::MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM::..



MUAT TURUN MUSHAF AL-QURAN AL-KARIM :
MUSHAF AL-QURAN TAJWID BESERTA TERJEMAHAN DALAM BAHASA MALAYSIA

YA ALLAH YA TUHAN KAMI, SAMPAIKANLAH KAMI KE BULAN RAMADHAN TAHUN 1443H

..::GALERI ALBUM PANITIA BAHASA ARAB SKBLM::..

                                                                                                                                                                                                                   

PENDEKATAN BEYBLADE BURST TARIK MINAT MURID SEKOLAH RENDAH PELAJARI BAHASA ARAB DENGAN LEBIH SANTAI, SERONOK DAN TERHIBUR



HARIAN METRO ONLINE :
BEYBLADE BURST LONJAK SEMANGAT BELAJAR MURID DALAM MATA PELAJARAN BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH
SEMINAR PINTAR BESTARI BAHASA ARAB 2022
BERSAMA DR. ABD RAZAK ABU CHIK (DR. ARABIC) KHUSUS UNTUK MURID SKBLM

.::(SABTU, 6 OGOS 2022)::.

.::BERSAMA MEMARTABAT & MEMPERKASAKAN BAHASA AL-QURAN.::.

..::MAKLUMAN TERKINI::..

Blog ini telah dikemaskini pada 16 April 2022.


.::Aktiviti Panitia Bahasa Arab SK Bandar Laguna Merbok Tahun 2022::.

Seminar Pintar Bestari Bahasa Arab 2022 Bersama Dr. Arabic.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 6 Ogos 2022.
Masa : 8.00 Pagi - 1.00 Tengah Hari.

Tempat :
Dewan Serbaguna SK Bandar Laguna Merbok.


Majlis Pelancaran Minggu Bahasa Arab Peringkat Sekolah Tahun 2022.

Hari : Ahad.
Tarikh : 23 Oktober 2022.
Masa : 7.45 Pagi - 8.15 Pagi.
Tempat : Dataran Perhimpunan SK Bandar Laguna Merbok.


Bengkel Digital Classroom Panitia Pendidikan Islam/Bahasa Arab SKBLM Tahun 2022.

Hari : Sabtu.
Tarikh : 5 November 2022.
Masa : 8.30 Pagi - 12.30 Tengah Hari.
Tempat : Bilik Bestari j-QAF SK Bandar Laguna Merbok.


Klik sini :
Telegram Rasmi Ustaz Syahmi Beyblade (USB)


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Pendidikan Islam


Klik sini :
Pembelajaran Interaktif Bahasa Arab

PENGUNJUNG SETIA BLOG RASMI MOHAMAD SYAHMI BIN HARUN (GBA SK LAGUNA MERBOK)

24 November 2008

SUJUD TILAWAH & SUJUD SYUKUR (PART 3)


SUJUD TILAWAH DI LUAR SEMBAHYANG

Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa sujud tilawah itu sunat juga dilakukan di luar sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam sembahyang.

Niat sujud tilawah ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam :

Maksudnya: “Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”

Begitu juga dengan takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah itu menurut pendapat al-ashah.

Di samping berniat di dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:

Ertinya:“Sahaja aku melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”

Kemudian itu bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan bertakbir.

Adalah disunatkan menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561)

Setelah ia bangun dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj.

Kesimpulannya perkara yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga salam.

Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud.(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)

BACAAN ATAU ZIKIR KETIKA SUJUD TILAWAH

Adalah sunat hukumnya membaca zikir ketika di dalam sujud tilawah. Di antara zikir yang di galakkan itu ialah:

Ertinya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta”

Dan zikir yang lain sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya : “Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud”

(Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)

Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :

Ertinya: “Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana”

Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang.

Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:

Ertinya:“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.

Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid.(Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)

APA DIA SUJUD SYUKUR ITU ?

Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau atas terhindarnya seseorang dari malapetaka.

HUKUM SUJUD SYUKUR

Jumhur ulama berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :

“Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)

Sujud syukur di dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.

Di antara sujud yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada surah Shad iaitu:

Tafsirnya: “Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai tempat kembali yang baik”.

Dari itu sujud kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.

BAGAIMANA SUJUD SYUKUR DILAKSANAKAN ?

Sujud syukur dilaksanakan sama halnya seperti melakukan sujud tilawah ketika ia dilakukan di luar sembahyang iaitu berniat untuk melakukan sujud syukur,takbir,sujud dan juga salam.

Syarat-syarat sahnya juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.

Dari segi zikir yang sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang telah dijelaskan di dalam sujud tilawah.

Begitulah cara Islam mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur. ( Mughni Al-Muhtaj 1/219). Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat sujud itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang lebih baik.

Menurut Imam Al-Ramli bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud itu dan sebabnya terlalu lama.

PENUTUP

Sujud tilawah dan sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan sujud tilawah. Dari itu, sayugialah diingatkan supaya jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat tetapi dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam.

SUJUD TILAWAH & SUJUD SYUKUR (PART 2)


SUJUD TILAWAH DAN SUJUD SYUKUR


Sujud tilawah adalah sunat menurut pendapat jumhur ulama. Manakala Imam Abu Hanifah (Imam mazhab Hanafi) berkata bahawa sujud tilawah itu wajib sama ada ke atas pendengar atau pembaca.

Hukum sunat ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Syaikhain (Al-Bukhari dan Muslim) daripada Ibnu Umar katanya yang maksudnya :

"Bahawasanya Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam telah membaca al-Qur’an, lalu Baginda membaca satu surah yang di dalamnya ada ayat ‘sajdah’, maka Baginda pun bersujud lalu kami pun sujud bersama-sama Baginda sehingga sesetengah daripada kami tidak mendapati tempat untuk meletakkan dahinya”.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu tentang fadhilat melakukan sujud tilawah, Baginda bersabda yang maksudnya :

“Apabila anak Adam itu membaca ayat al-Quran yang menuntut untuk sujud, syaitan akan mengasingkan dirinya lalu menangis dan berkata:” “Celakalah! Anak Adam telah diperintahkan untuk sujud ia pun sujud, maka baginya balasan syurga, dan aku diperintahkan untuk sujud maka aku enggan, maka balasan bagiku adalah neraka.

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

AYAT-AYAT SAJDAH DI DALAM AL-QURAN

Ayat-ayat yang disunatkan sujud setelah membacanya, menurut mazhab Asy-Syaf‘ie, adalah seperti berikut:

1. Ayat ke 206 dari surah Al -A’raf.

2. Ayat ke 15 dari surah Al- Ra’d.

3. Ayat ke 50 dari surah Al- Nahl.

4. Ayat ke 109 dari surah Al- Isra’.

5. Ayat ke 58 dari surah Maryam.

6. Ayat ke 17 dari surah Al- Haj.

7. Ayat ke 77 dari surah Al- Haj.

8. Ayat ke 60 dari surah Al -Furqan.

9. Ayat ke 25 hingga 26 dari surah Al- Naml.

10. Ayat ke 15 dari surah Al -Sajdah.

11. Ayat ke 38 dari surah Fusshilat.

12. Ayat ke 62 dari surah Al- Najm.

13. Ayat pertama dari surah Al- Insyiqaq.

14. Ayat ke 21 dari surah Al -Insyiqaq.

15. Ayat ke 19 dari Al- ‘Alaq

Untuk mengenali ayat-ayat sajdah itu pada kebiasaannya, di dalam mushhaf ditanda dengan garis dan di penghujung ayat itu ditanda dengan tanda yang berbentuk seakan-akan dom masjid sementara itu di bidainya tertulis perkataan sajdah.

Adapun hikmah pengkhususan sujud pada tempat-tempat atau ayat-ayat yang tersebut di atas kerana ayat-ayat tersebut adalah merupakan pujian bagi mereka yang bersujud dan celaan bagi yang tidak bersujud sama ada secara terang-terangan ataupun secara isyarat sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam Al-Qalyubiy perkataan Ibnu Hajar.(Al-Hasyiyatan 1/235).

BILA WAKTU SUNAT SUJUD TILAWAH ITU DILAKUKAN ?

Sujud tilawah itu sunat dilakukan apabila ayat sajdah itu dibaca di luar sembahyang bukan pada waktu-waktu yang makruh menunaikan sembahyang sama ada ia bertujuan untuk melakukan sujud atau tidak.

Begitu juga sunat melakukan sujud tilawah ketika dalam sembahyang jika dibacakan ayat sajdah tersebut. Tetapi tidak disunatkan melakukan sujud tilawah jika membaca ayat sajdah itu semata-mata bertujuan (qasad) untuk melakukan sujud, kecuali jika ia membacanya pada sembahyang fardhu Subuh pada hari Jumaat adalah sunat ia melakukan sujud tilawah sekalipun ia bertujuan membacanya untuk sujud.

Berdasarkan keterangan di atas tidak sunat melakukan sujud pada waktu makruh menunaikan sembahyang sekalipun ayat sajdah dibaca di luar sembahyang begitu juga ketika dalam dalam sembahyang dengan tujuan membaca ayat sajdah itu untuk melakukan sujud. Bahkan jika dibaca dalam sembahyang dengan qasad sujud tilawah lalu dia bersujud maka batallah sembahyangnya itu.

HUKUM MEMBACA AYAT SAJDAH

Jika ayat sajdah itu dibaca pada waktu yang dimakruhkan menunaikan sembahyang bukan untuk tujuan sujud, tidaklah dilarang membacanya tetapi tidak disunatkan bersujud padanya, namun jika dia bersujud juga tidaklah batal sujudnya itu. Begitu juga jika dibaca ayat sajdah pada waktu makruh tersebut dengan tujuan melakukan sujud tilawah selepas waktu makruh maka tidaklah disunatkan sujud dan hukum bacaannya pada ketika itu pula adalah makruh.

Berlainan halnya jika dibaca pada waktu makruh atau sebelumnya dengan maksud untuk sujud pada waktu makruh maka dihukumkan bacaannya itu haram dan sujud tersebut adalah batal dan tidak dikira.(Al-Hasyiyatan 1/235)

SYARAT-SYARAT SUJUD TILAWAH

Di dalam kitab Al-Majmuk menurut Ashhab Syafi‘ieyah bahawa hukum sujud tilawah itu sama seperti hukum sembahyang sunat dari segi syarat-syarat sahnya sujud itu, syarat-syarat itu adalah seperti berikut:

(i) Bersih daripada hadas kecil atau besar dan juga bersih daripada najis sama ada pada tubuh badan, pakaian dan juga tempat.

(ii) Orang yang hendak melakukan sujud tilawah itu juga di kehendaki dalam keadaan menutup aurat.

(iii) Untuk melakukannya hendaklah menghadap kiblat.

(iv) Hendaklah masuk waktunya ketika melakukan sujud itu. Adapun masuknya waktu sujud itu ialah sejurus sahaja ia selesai mambaca atau mendengar keseluruhan ayat sajdah. Jika sekiranya ia bersujud sebelum lagi habis ayat itu di bacanya atau didengarnya maka sujud tilawah itu tidak sah dan tidak memadai.

SUJUD TILAWAH DI DALAM SEMBAHYANG

Cara untuk melaksanakan sujud tilawah itu ada dua keadaan iaitu ketika dalam keadaan bersembahyang dan di luar sembahyang.

Sujud tilawah boleh dilakukan di dalam sembahyang, bahkan hukumnya adalah sunat, sama ada sembahyang itu dilakukan secara persendirian atau berjemaah. Kedudukan makmum pula untuk melakukan sujud tilawah itu, bergantung kepada imam. Jika imam bersujud kerana ayat sajdah iaitu ayat yang menuntut sujud, maka wajib ke atas makmum mengikuti perbuatan imam dengan melakukan sujud itu kerana jika tidak, maka batallah sembahyangnya.

Sebaliknya jika imam tidak melakukannya maka makmum adalah tidak dikehendaki untuk melakukan sujud. Jika dilakukannya juga, maka sembahyangnya menjadi batal. Akan tetapi harus dan sunat hukumnya bagi makmum melakukan sujud tilawah selepas selesai memberi salam dengan syarat jarak di antara sujud dan salam itu tidak lama.

Jika sekiranya makmum tidak mengetahui bahawa imam telah melakukan sujud tilawah sehinggalah imam mengangkat kepalanya daripada sujud, maka tidaklah batal sembahyang makmum itu. Dia dimaafkan kerana tertinggalnya daripada perbuatan imamnya itu dan juga tidak dikehendaki melakukan sujud.

Sujud tilawah adalah sunat dilakukan di dalam sembahyang sama ada pada sembahyang yang dinyaringkan bacaan (jahar) atau pada sembahyang yang dibaca secara suara perlahan (sir). Walau bagaimanapun bagi sembahyang yang tidak disunatkan menyaringkan suara, sujud tilawah itu sunat dibuat oleh imam setelah dia selesai menunaikan sembahyang supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan makmum. (Nihayah Al-Muhtaj 2/100)

Diambil daripada illah di atas (sembahyang yang dibaca secara suara perlahan) maka begitu juga halnya pada sembahyang yang disunatkan menyaringkan suara (jahar), sunat (mustahab) bagi imam melakukan sujud tilawah setelah selesai sembahyang, jika (diketahui) jarak di antara imam dan makmum itu jauh sehingga dia tidak mendengar bacaan imam atau tidak dapat melihat perbuatan imam atau diselangi oleh dinding dan sebagainya bagi mengelakkan kekeliruan para makmum. (Nihayah Al-Muhtaj 2/100)

Adapun cara melakukannya ketika di dalam sembahyang hendaklah dia sujud dengan disunatkan dia bertakbir tanpa mengangkat tangannya kerana tangan tidak diangkat ketika hendak melakukan sujud di dalam sembahyang.

Selepas sujud iaitu bangun dari sujud tersebut untuk bangkit semula meneruskan sembahyangnya, maka disunatkan ia bertakbir. Dia tidak wajib berniat untuk menunaikan sujud tilawah di dalam sembahyang kerana ia sudah terkandung di dalam niat sembahyang (iaitu dengan terkandungnya niat sujud itu kerana bacaannya) sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Khatib.(Al-Hasyiyatan1/238) Tetapi jika ia berniat juga hendaklah jangan di lafazkan kerana dengan lafaz itu boleh menyebabkan sembahyangnya itu terbatal.


SUJUD TILAWAH & SUJUD SYUKUR (PART 1)


SUJUD TILAWAH DAN SUJUD SYUKUR


Rahmat Allah sangat luas meliputi tiap-tiap sesuatu. Kerana itulah juga peluang untuk mendapatkan ganjaran pahala adalah sangat banyak dan terbuka luas dengan melakukan ibadat wajib ataupun sunat, sehingga setengah-setengah ibadat itu kerjanya sedikit, tetapi ganjaran pahalanya sangat banyak, tidak terkira. Itulah rahmat Allah kepada hambaNya. Oleh yang demikian sayugia jangan dilepaskan peluang untuk beribadat, sementara umur dan kesempatan masih ada.

Berhubung dengan ibadat wajib, kita tidak ada pilihan. Ia mesti di tunaikan, jika ditinggalkan adalah berdosa. Adakalanya diturunkan balasan azab di dunia lagi sebelum diperkirakan di akhirat. Lebih jauh dari itu, sesiapa yang mengingkari hukum sesuatu yang diwajibkan yang disepakati ulama tentang wajibnya itu terkeluarlah ia daripada agama Islam iaitu menjadi murtad, wal‘iyadzubillah.

Manakala dalam ibadat sunat pula walaupun ia merupakan ibadat pilihan, namun jangan dilepaskan peluang untuk melaksanakannya. Kerana dengan melaksanakannya bererti kita telah menghidupkan sunnah Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seterusnya kita tergolong daripada orang-orang yang mencintai Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Mengamalkan apa jua perkara ibadat itu ianya perlu bersandarkan kepada kehendak syara‘ dari segi rukun, syarat dan caranya supaya apa yang kita lakukan itu tepat dan betul menurut apa yang syara‘ kehendaki semoga diterima Allah amalan kita itu dan seterusya mendapat ganjaran yang dijanjikanNya.

Adapun di antara cara mengabdikan diri kepadaNya ialah dengan melakukan sujud. Sujud itu ada ketikanya dihukumkan wajib seperti sujud dalam sembahyang kerana ia merupakan rukun. Tidak sah sembahyang jika ditinggalkan dengan senghaja. Ada pula ketikanya sujud itu hukumnya sunat seperti sujud sahwi, sujud tilawah dan sujud syukur.

Banyak hadis yang mengkhabarkan kepada kita akan kelebihan sujud ini. Di antara hadis- hadis itu adalah seperti berikut:

Nabi bersabda kepada Tsauban maula Baginda yang maksudnya :

“Engkau perbanyakkanlah bersujud kerana Allah. Sesungguhnya jika engkau bersujud kerana Allah, Allah akan mengangkat darjatmu dengan sujudmu itu dan akan menghapuskan dosamu dengan sebab sujudmu itu”

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi yang ditakhrijkan oleh Imam Muslim yang maksudnya :

“Sesunguhnya saat yang paling hampir di antara hamba dan Allah Ta‘ala pada masa ia sedang bersujud”.

Memandangkan kepada kepentingan sujud bagi kita dan tinggi nilainya di sisi Allah maka Irsyad Hukum kali ini akan menghuraikan beberapa panduan mengenai dengan melaksanakan sujud tilawah dan sujud syukur.

APAKAH SUJUD TILAWAH ITU ?

Sujud tilawah ialah sujud kerana membaca atau mendengar ayat al-Qur‘an yang disunatkan padanya sujud.

Ini bermakna sujud tilawah itu merupakan di antara adab-adab ketika membaca al-Qur‘an. Di samping sujud tilawah ketika membaca atau mendengar ayat ‘sajdah’, ada juga tuntutan-tuntutan lain yang sunat dilakukan ketika kita membaca al-Quran umpamanya:

1. Apabila membaca ayat yang mengandungi rahmat Allah maka disunatkan memohon rahmat Nya seperti mengucapkan:

Ertinya: “Ya Allah, ampuni aku dan rahmatilah aku”

2. Apabila membaca ayat yang mengandungi azab atau siksaan maka disunatkan pula memohon perlindungan daripada azab Allah dengan mengucapkan zikir seperti berikut:

Ertinya: “Ya Allah, lindungilah aku daripada azab api neraka”

3. Apabila membaca ayat tasbih iaitu yang mengandungi pujian kepada Allah umpamanya ayat adalah disunatkan bertasbih seperti mengucapkan:

Ertinya: “Maha suci Allah”

4. Ketika membaca ayat 40 dari surah Al-Qiyamah dan ayat terakhir daripada surah Al-Tin adalah disunatkan membaca setelah itu dengan zikir:

Ertinya: “Ya, Benar! Saya adalah dari kalangan orang yang menjadi saksi ke atas perkara itu (Allah itu berkuasa menghidupkan orang yang mati,iaitu jawapan bagi ayat / Allah itu adalah hakim yang paling adil , iaitu jawapan bagi ayat

5. Apabila membaca ayat 40 Surah Al-Mursalat adalah di sunatkan untuk menyebut selepas itu dengan zikir:

Ertinya: “Kami beriman dengan Aِllah”

Semua perkara di atas sunat dilakukan oleh setiap pembaca al-Quran, termasuk imam dan juga orang yang bersembahyang secara bersendirian kerana mendengar bacaannya sendiri. Begitu juga makmum sunat ke atasnya berbuat demikian kerana mendengar bacaan imamnya atau bacaannya sendiri. Zikir-zikir kerana ayat tertentu itu adalah dibaca secara jahar (dinyaringkan) sama ada imam, makmum dan juga orang bersembahyang secara bersendirian pada sembahyang yang disunatkan menyaringkan bacaan padanya.

Perlu juga diambil perhatian bahawa lafaz zikir itu apabila di dalam sembahyang mestilah diucapkan dengan bahasa Arab dan tidak harus bahkan batal sembahyang jika dilafazkan dengan bahasa Melayu atau lainnya selain daripada bahasa Arab.

Jika perkara-perkara yang tersebut di atas ditinggalkan, tidaklah ia membatalkan sembahyang serta tidak dituntut untuk melakukan sujud sahwi kerana ia hanyalah merupakan sunat hai‘at.

Begitu juga sunat hukumnya mengucapkan zikir-zikir tersebut di atas ketika di luar sembahyang apabila mendengar ayat-ayat yang telah dijelaskan tadi.


09 November 2008

ISTIBRA'


ISTIBRA'


Setiap orang perlu menjaga kebersihan, apatah lagi dalam menjaga kebersihan dirinya, sama ada zahiriah atau batiniah. Ada bermacam-macam cara yang dipraktikkan oleh seseorang untuk menjaga kebersihan, akan tetapi ada satu cara yang mungkin segelintir orang tidak mengetahuinya dengan baik. Cara menjaga kebersihan yang kita maksudkan itu ialah istibra‘. Kalau kita amati, cara ini sebenarnya amat diperlukan kerana kita bukan hanya disuruh beristinja‘ tetapi juga beristibra‘ sebagai langkah permulaan bagi perbuatan menjaga kebersihan itu. Apakah istibra‘ itu sebenarnya?

Pengertian Istibra‘.

Istibra‘ adalah perkataan arab yang membawa erti menuntut kebersihan.

Dari segi syara’, perkataan istibra‘ digunakan dalam dua bentuk:

Pertama: yang berhubungkait dengan kebersihan (thaharah).

Kedua: yang berhubungkait dengan nikah iaitu dalam membicarakan soal penentuan nasab keturunan. (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah: 3/167)

Dalam konteks persoalan istibra‘ ini, kita hanya akan menyentuhnya dalam bentuk pertama sahaja iaitu thaharah.

Istibra‘ Di Dalam Thaharah.

Ibnu ‘Arafah mendefinisikan istibra‘ sebagai menghilangkan kekotoran daripada kedua-dua tempat keluar najis. Pengertian ini bermaksud membersihkan air kencing, tahi, mazi, wadi dan mani sebagaimana yang difahami dari perkataan ulama Mazhab Syafi’e dan Hanbali.

Sementara ulama Mazhab Hanafi mentakrifkan sebagai menuntut kebersihan dari luar dengan sesuatu sehingga yakin bahawa tidak ada kesan-kesan najis yang tinggal atau tersisa, dan mereka tidak membayangkan masalah ini ada kaitannya dengan pihak perempuan kerana pada pendapat mereka, perempuan tidak dituntut beristibra‘.(Hasyiah Ibnu ‘Abidin: 1/359)

Perkataan-perkataan yang ada hubung kaitnya dengan istibra‘ ini ialah istinqa‘, istinzah dan istintar. Kesemua perkataan ini membawa makna membersihkan kedua-dua tempat keluar najis daripada apa yang keluar darinya.

Hukum Istibra‘.

Sebilangan besar ulama Mazhab Syafi’e dan Hanbali mengatakan hukumnya adalah sunat dengan beralasan bahawa selepas berhenti pengaliran air kencing itu, ia tidak akan keluar lagi. Sementara ada juga sebahagian daripada ulama Mazhab Syafi’e yang berpendapat bahawa istibra‘ itu hukumnya wajib, dan inilah juga menjadi pendapat ulama Mazhab Hanafi dan Maliki.

Mereka yang mengatakan hukum beristibra‘ itu wajib berdalilkan dengan hadith Ad-Daraquthni yang maksudnya :

“Bersihkanlah kemaluan kamu daripada air kencing, kerana kebanyakan azab kubur berpunca daripadanya”.

Hadith ini disokong dengan kenyataan bahawa jika seseorang itu menyangka atau merasa yakin bahawa mengikut kebiasaannya, jika dia tidak beristibra‘ nescaya akan keluar sesuatu lagi daripada kemaluannya, maka wajiblah dia melakukan istibra‘.

Dalil mereka yang kedua yang maksudnya :

“Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui salah satu tembok dari tembok-tembok Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Nabi bersabda: “Dua orang sedang disiksa dan keduanya tidak disiksa kerana dosa besar. Kemudian Baginda bersabda: Ya, yang seorang tidak beristibra‘ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba. Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah, lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. Lalu dikatakan: Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini? Baginda bersabda: Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah kurma itu belum kering atau sehinggalah ia kering”.

(Hadith riwayat Al-Bukhari)

Hikmah Beristibra‘.

Ali Al-Ujhuri berkata: “Sesungguhnya beristibra‘ itu tujuannya boleh difahami oleh akal dan dia bukan dari amalan ta’abudiyah (semata-mata menurut perintah Allah), kerana dengan beristibra‘ akan terhenti hadath yang keluar yang boleh membatalkan wudhu”.

Sehubungan dengan ini semua mazhab bersetuju mengatakan, seseorang yang berhadath jika kuat sangkaannya bahawa hadathnya ada yang masih belum habis dan berhenti keluar, maka tidak sah wudhunya tanpa beristibra‘. Ini bersandarkan kepada kata sepakat para ulama dalam menentukan bahawa suatu hukum itu boleh dibina bersandarkan sangkaan kuat.

Cara Untuk Beristibra‘.

Istibra‘ itu dilakukan sama ada untuk membersihkan kotoran daripada dubur atau untuk membersihkan air kencing. Jika dilakukan untuk membersihkan najis daripada dubur, maka memadai dilakukan sekira-kira dia merasakan bahawa tiada ada yang tinggal atau tersisa di tempat keluarnya.

Dengan kemudahan yang ada sekarang ‘kertas tandas golong’ sebagai alat istinja‘ boleh membantu mengesan sama ada masih ada najis yang tinggal atau sudah bersih dengan yakin. Cara ini adalah lebih baik, ini disebut oleh al-Quran bahawa yang tafsirnya:

“Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”.(Surah At-Taubah: 108)

Menurut suatu riwayat yang dinukilkan oleh imam Muhammad Ar-Razi di dalam tafsirnya “Al-Fakhrul Ar-Razi”, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam suatu masa pernah berjalan bersama orang-orang Muhajirin sehinggalah Baginda berhenti di pintu Masjid Quba‘, lalu Baginda bertanya kepada orang-orang Anshar yang sedang duduk di sana: “Adakah kamu orang-orang yang beriman?” Orang-orang Anshar itu diam tidak menjawab, lalu Baginda mengulang pertanyaan Baginda sekali lagi dan dijawab oleh Omar: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka ini orang-orang yang beriman dan saya bersama mereka”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pun bertanya: “Adakah kamu redha dengan ketentuan Allah (qadha‘)?”. Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersabar jika ditimpa bala?” Mereka menjawab: “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Adakah kamu bersyukur di atas kesenangan?”. Mereka menjawab: “Ya”. Lalu Baginda bersabda: “Demi Allah, kamu memang orang-orang yang beriman”, kemudian Baginda bersabda lagi: “Wahai orang-orang Anshar, sesungguhnya Allah telah memuji kamu, apakah sebenarnya amalan kebersihan yang istimewa yang kamu kerjakan (sehingga mendapat pujian setinggi itu)?” Lalu mereka menjawab: “Kami kalau membersihkan sesudah membuang air besar dan buang air kecil, meskipun telah kami beristinja‘ dengan batu, selalu kami ikuti membasuhnya dengan air”. Lalu Baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam membaca ayat di atas.(Tafsir Al-Fakhrul Ar-Razi: 8/201)

Adapun jika istibra‘ itu dilakukan untuk membersihkan air kencing, sama ada daripada perempuan ataupun lelaki, maka jika perempuan, tidaklah dituntut istibra‘ kepada mereka menurut pendapat ulama Hanafi, memadailah dengan menunggu seketika sebelum mereka beristinja‘. Manakala para ulama Syafi’e dan Hanbali mengatakan dituntut istibra‘ dengan cara menekan ari-arinya.

Bagi lelaki pula, istibra‘ dilakukan dengan apa cara yang terbiasa dibuatnya dengan syarat perbuatannya itu tidak mengheretnya ke arah was-was syaitan atau membawa kepada menyusahkannya, kerana di antara adab istibra‘ itu ialah dengan membuang perasaan was-was daripada dirinya.

Imam Al-Ghazali berkata: “Jangan terlalu banyak berfikir dalam perkara hendak melakukan istibra‘ sehingga menimbulkan was-was dan menyusahkan”.

Adapun cara untuk seseorang itu menghentikan aliran air kencing daripada zakarnya ialah dengan cara mengurutnya dengan jari-jari tangan kirinya dari pangkal batang zakar hingga ke kepalanya sebanyak tiga kali sehingga tidak tersisa rasa basah di lubang zakarnya. Cara ini boleh dibuat dengan meletakkan jari tengah tangan kirinya di bawah batang zakar dan meletakkan ibu jarinya di atas batang zakarnya itu, kemudian mengurutnya turun hingga ke kepala zakar, dan disunatkan memicitnya dengan lembut untuk mengeluarkan saki baki air kencingnya itu.

Secara umumnya cara untuk beristibra‘ itu berbeza-beza mengikut kelainan cara yang dilakukan seseorang. Sekalipun begitu, tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan aliran air kencing. Ada yang melakukannya dengan cara yang mudah, ada pula yang terpaksa membuat berulang-ulang kali untuk menghentikannya, dan ada juga yang melakukannya dengan cara berdehem-dehem. Walaupun begitu, makruh membalut kepala zakar dengan kain atau yang seumpamanya untuk menghentikan air kencing dari keluar. Begitu juga makruh memakan masa yang lama berada di dalam tandas hanya semata-mata untuk tujuan beristibra‘. (Al-Feqh Al-Islami Wa Adillatuhu: 1/194-195)

Percikan Air Kencing Yang Terkena Pada Badan Atau Pakaian.

Sehubungan dengan istibra‘ ini, kita juga ingin menyentuh masalah percikan air kencing yang terkena pada badan atau pakaian sewaktu seseorang itu membuang air kecil, kerana apa yang kita sedia maklum bahawa air kencing adalah najis. Namun dalam perkara jenis-jenis najis yang boleh dimaafkan yang di antaranya ialah najis yang mempunyai kadar yang sedikit, apakah kadar percikan air kencing yang sedikit itu boleh dimaafkan?

Kadar Najis Yang Boleh Dimaafkan.

Imam Syafi’e menurut qaul jadidnya ada dua pendapat:

Pertama: Kadar yang banyak itu ialah kadar yang boleh dilihat tanpa memandangnya dengan teliti dan tanpa diperiksa, dan kadar yang sedikit pula adalah yang sebaliknya.

Kedua: Kadar yang ditentukan oleh adat kebiasaan, dan ini adalah pendapat yang lebih diterima (ashah). Pendapat ini mengatakan bahawa apa saja najis yang biasanya berlaku percikan dan susah hendak dielakkan adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit, dan apa jua najis yang jarang berlaku boleh membawa percikan dan mudah untuk dielakkan adalah sebaliknya (najis).(Al-Majmu’: 3/142)

Hukum Percikan Air Kencing.

Percikan air kencing adalah dikira sebagai najis yang mempunyai kadar yang sedikit. Ia merupakan suatu perkara yang sukar untuk dielakkan oleh seseorang yang membuang air kecil iaitu setelah mengambil kira bahawa kita telah berusaha dan berhati-hati mengelakkan daripada terkena percikan air kencing itu.

Ramai orang merasa ragu akan kebersihan badan atau pakaiannya yang terkena percikan najis air kencing, sehinggakan mereka menganggapnya sebagai penghalang dari melakukan ibadat, khususnya sembahyang. Ada pula yang bersusah payah menghilangkan najis percikan air kencing ini dan ada juga yang sanggup menukar pakaiannya semata-mata untuk mengharap agar ibadat yang ditunaikannya itu akan diterima.

Para ulama Mazhab Syafi’e mempunyai pendapat masing-masing dalam menentukan hukum percikan air kencing yang terkena pada badan atau pakaian.

Ada pendapat mengatakan ia adalah di antara najis-najis yang boleh dimaafkan dan ada yang mengatakan ia adalah najis. Para pengarang kitab-kitab feqh berselisih pendapat dalam memilih pendapat yang lebih diterima. Imam Al-Mawardi mengatakan yang ashah adalah pendapat yang mengatakan ia adalah najis. Sebaliknya Al-Qadhi Abu Thayyib mengatakan ia tidak najis jika terkena pada pakaian.

Pendapat yang shahih dan terpilih daripada pendapat-pendapat ini ialah pendapat yang mengatakan bahawa percikan air kencing tidak menajiskan badan atau pakaian. Al-Muhamili mengambil kata putus untuk pendapat ini di dalam kitabnya Al-Muqni’ dan imam Al-Ghazali membenarkannya dengan memberikan alasan bahawa najis ini susah untuk dielakkan dan ia boleh mendatangkan kepayahan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman yang tafsirnya :

(Dan dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama).

(Surah Al-Haj:78)

(Al-Majmu’: 1/177-178)

Kesimpulannya perbuatan beristibra‘ itu dilakukan adalah semata-mata untuk membersihkan lebihan air kencing selepas membuang air kecil. Ia wajib dilakukan jika kita yakin masih ada sisa air kencing yang belum keluar bagi mengelakkan badan atau pakaian kita dari terkena najis. Adapun jika semasa kita membuang air kecil itu, terpercik air kencing ke badan atau pakaian kita, maka ia tidaklah menghalang kita daripada menunaikan fardhu sembahyang kerana ia merupakan di antara najis yang dimaafkan. Meskipun begitu ia tidaklah memberi makna bahawa kita boleh meringan-ringankan soal kebersihan. Kita perlulah berhati-hati semasa membuang air kecil bagi mengelakkan badan atau pakaian kita daripada terkena najis.